PENJELASAN: Apa perlu diketahui tentang HMPV, virus menyebabkan wabak di China
2025.01.07
Washington
China telah melaporkan peningkatan kes metapneumovirus manusia (HMPV) di wilayah utaranya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menimbulkan kebimbangan di media sosial bahawa mungkin terdapat satu lagi wabak seperti COVID-19.
Beijing telah mengakui peningkatan kes HMPV dan mengaitkannya dengan musim sejuk, tetapi lonjakan itu tidak seharusnya menimbulkan ketakutan atau kebimbangan tentang ancaman kesihatan global yang lebih besar, lebih maut, menurut pakar kesihatan antarabangsa.
"Tahap jangkitan pernafasan China yang dilaporkan berada dalam julat biasa untuk musim sejuk," kata Dr Margaret Harris, jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada Selasa.
“Ia bukan virus baharu.”
Pakar kesihatan lain bersetuju.
“Tidak perlu panik. Tetapi bagi mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi, ini adalah masa untuk berhati-hati, [untuk] berjaga-jaga, " William Schaffner, seorang doktor penyakit berjangkit dan profesor di Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt, memberitahu Scientific American pada Isnin.
Apakah HMPV?
Virus pernafasan biasa, HMPV diketahui meningkat setiap musim sejuk dan bunga, kata pegawai kesihatan.
Virus itu telah beredar dalam kalangan manusia selama sekurang-kurangnya enam dekad, tambah pakar.
Gejala biasa termasuk demam, batuk dan hidung tersumbat. Dalam kes yang teruk, gejala boleh menyebabkan bronkitis dan radang paru-paru.
HMPV biasanya merebak dalam kalangan orang melalui batuk, bersin, berjabat tangan atau menyentuh objek yang mengandungi virus.
Selepas terdedah kepada virus, seseorang biasanya akan jatuh sakit dalam tempoh tiga hingga enam hari.
Kanak-kanak, orang dewasa yang berusia lebih 65 tahun dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dianggap berisiko tinggi untuk mengalami penyakit serius.
Pada masa ini, tiada vaksin untuk merawat HMPV. Doktor biasanya mengesyorkan ubat penurun demam atau penghilang kesakitan untuk mereka yang sakit akibat virus ini.
Langkah pencegahan termasuk mengikuti langkah kebersihan asas seperti mencuci tangan dengan sabun dan air, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang berpusat di Amerika Syarikat.
CDC juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh mata, hidung, atau mulut dengan tangan yang belum dicuci.
Sehingga Selasa, berikut adalah bagaimana pelbagai kerajaan di seluruh Asia telah bertindak balas terhadap situasi HMPV.
MALAYSIA
Pegawai kesihatan Malaysia berkata kes HMPV bukan baharu dan mereka sedang memantau perkembangan itu.
Tahun lepas, negara itu mencatatkan 327 kes HMPV berbanding 225 kes tahun sebelumnya.
“Peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada hujung dan awal tahun adalan fenomena yang dijangka sepenuhnya, selaras dengan peningkatan jangkitan salurah pernafasan yang turut dilaporkan di negara-negara lain terutamanya yang bermusim sejuk seperti China,” kata Kementerian Kesihatan pada Sabtu.
INDONESIA
Indonesia mempunyai kes HMPV yang kesemuanya melibatkan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan pada Isnin, tanpa menyatakan angka.
"HMPV telah berada di Indonesia untuk sekian lama," kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin dalam satu kenyataan pada Isnin.
Walaupun HMPV bukanlah virus yang boleh membawa maut, beliau menasihati orang ramai supaya mengekalkan gaya hidup sihat dan mendapatkan bantuan perubatan jika perlu.
THAILAND
Thailand tiada kes HMPV yang dilaporkan, kata Menteri Kesihatan Somsak Thepsuthin pada Selasa.
Namun, beliau berkata kementerian bersedia untuk mengenal pasti dan bertindak balas terhadap sebarang kes sekiranya virus itu dikesan di negara itu. Beliau menggesa orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan.
FILIPINA
Pegawai kesihatan di Manila berkata mereka juga sedang memantau situasi tersebut.
"Sumber yang boleh dipercayai pada masa ini tidak menyokong hantaran yang tersebar di media sosial mengenai dakwaan kebimbangan kesihatan antarabangsa. Tiada pengesahan daripada negara yang disebutkan atau [WHO]," kata jabatan kesihatan pada 3 Januari.
BANGLADESH
Bangladesh belum merekodkan sebarang kes HMPV pada masa ini, menurut laporan media yang memetik pegawai kesihatan tempatan.
Namun, virus itu sentiasa wujud di negara tersebut, kata pakar kesihatan awam Mushtuq Husain kepada portal berita bdnews24.com.