Pemain hoki Malaysia digantung muatnaik komen berbaur perkauman
2023.02.09
Kuala Lumpur
Majlis Sukan Malaysia (MSN) pada Khamis membuat keputusan untuk menggantung seorang pemain hoki wanita negara daripada menyertai sebarang kejohanan termasuk temasya Sukan SEA di Kemboja pada Mei ini, selepas atlet itu didapati bersalah memuatnaik komen berbaur perkauman terhadap kaum minoriti India di media sosial.
Walau bagaimanapun, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berkata badan tersebut akan mengkaji semula penggantungan terhadap Hanis Nadiah Onn sekiranya atlet berkenaan menunjukkan perubahan positif dalam tingkah lakunya.
Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan media berkata keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa siasatan MSN bersama KHM bermesyuarat pada Selasa berhubung isu membabitkan satu kenyataan yang dibuat Hanis di ruangan komen akaun Instagram akhbar Kosmo yang memaparkan video konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Januari lalu.
"Jawatankuasa mendapati Hanis telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain. Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.
"Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan supaya KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023. Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut," kata kenyataan media itu.
Menurut kementerian tersebut, Hanis semasa sesi temubual dengan jawatankuasa siasatan telah mengaku perbuatannya memuatnaik komen "bau best la kat dalam tu", yang dilihat sebagai berbaur perkauman terhadap masyarakat India. Jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan juga telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Sebelum itu, Hanis yang merupakan pemain hoki utama negara telah menzahirkan kekesalan beliau terhadap keterlanjurannya dan membuat permohonan maaf di media sosial serta memadamkan komen kontroversi berkenaan.
Hanis turut menegaskan bahawa beliau bukanlah seorang yang mempunyai sifat perkauman terhadap mana-mana bangsa sebaliknya turut membesar dalam kalangan masyarakat majmuk di Kluang, Johor serta memiliki ramai rakan berbangsa India.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama dengan kaum India merupakan yang ketiga terbesar di negara itu selepas Melayu Bumiputera dan Cina.
Oleh itu, sebarang bentuk perlakuan dan percakapan yang dikira boleh mencetuskan keresahan, kemarahan serta menyentuh sensitiviti sesuatu kaum atau agama adalah sesuatu yang dipandang serius oleh kerajaan kerana boleh menganggu keharmonian antara kaum di dalam negara.
Penghinaan agama dan kaum
Tindakan pihak berkuasa sukan menggantung Hanis daripada bermain dalam kejohanan disebabkan oleh komennya di Instagram itu telah menerima pelbagai reaksi termasuk daripada rakan atlet, aktivis dan parti politik.
Khalid Mohd Ismath, seorang aktivis hak asasi manusia, berkata konteks kebebasan bersuara tidak terpakai dalam penghinaan terhadap kaum atau agama, dan menyifatkan komen dibuat Hanis adalah satu bentuk kesalahan dari segi moral serta undang-undang.
"Kebebasan bersuara adalah tidak termasuk penghinaan kepada agama atau kaum. Kenyataan Hanis itu memang adalah satu kesalahan baik dari segi moral mahupun undang-undang. Dia wajib memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dan bertanggungjawab di atas kenyataannya," kata beliau.
Walau bagaimanapun, aktivis itu menyuarakan rasa tidak setuju dengan tindakan Kementerian Belia dan Sukan menggantung atlet tersebut daripada menyertai mana-mana kejohanan sambil menyatakannya adalah tidak wajar bagi majikan untuk masuk campur dalam urusan peribadi pekerjanya.
"Majikan tidak seharusnya masuk campur dalam urusan atau komen peribadi yang dikeluarkan oleh pekerja. Sekiranya kenyataan itu berbaur hasutan atau wujud unsur jenayah, biarlah kerajaan yang mengambil tindakan melalui peruntukan undang-undang yang ada.
"Komen tersebut tidak ada kena mengena dengan kerjaya Hanis sebagai pemain hoki justeru saya rasa tindakan kementerian itu adalah tidak wajar,” kata Khalid kepada Benar News.
Parti pembangkang Perikatan Nasional pula menyuarakan rasa kesal atas keputusan Jawatankuasa Disiplin MSN dan KHM, dan mengecam tindakan menggantung Hanis yang disifatkan sebagai "sangat keras" berbanding kesalahan yang dibuat.
"Tindakan ini sangat keras berbanding dengan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh beliau apatah lagi beliau sendiri telah memohon maaf secara terbuka terhadap ciapan yang dibuatnya dan memadam komen tersebut," kata Ahmad Fadhli Shaari, yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dan memegang peranan portfolio belia dan sukan bagi pembangkang.
"Tindakan penggantungan ini akan menjejaskan masa depan beliau dan sekaligus menjejaskan peluang skuad negara untuk meraih pingat di dalam Sukan Sea Cambodia 2023.
"Saya menggesa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk campur tangan dalam isu ini dan penggantungan Hanis wajib ditarik balik," tambahnya.
Ikon silat negara, Al-Jufferi Jamari yang juga merupakan bekas juara dunia sebanyak empat kali, turut mengutarakan pandangan serupa.
Dalam kenyataan kepada BenarNews, atlet seni bela diri itu bersetuju bahawa tidak wajar bagi mana-mana atlet mahu pun individu untuk menjadikan isu perkauman sebagai satu gurauan dan ia adalah sesuatu yang dilarang keras dalam pasukan sukan.
"Berkenaan tindakan menggantung Hanis, saya bagaimanapun berpendapat bahawa beliau masih boleh diberi peluang untuk terus menyertai pasukan negara memandangkan beliau merupakan ketua pasukan dan perancang utama pasukan dan dia pun sudah membuat permohonan maaf secara terbuka.
"Peluang untuk Hanis beraksi ini juga bukan peluang kepada dia semata-mata, tetapi peluang kepada pasukan negara utntuk membuat kutipan pingat nanti.
"Penggantungan Hanis itu sudah tentu memberikan kesan kepada keseluruhan pasukan beliau, lagipun kesalahan yang dia lakukan bukan berkenaan dengan sukan beliau sama ada masalah disiplin atau ponteng latihan dan sebagainya," kata Al-Jufferi.