Isu Holocaust Yahudi kedua, Anwar Ibrahim gelar sarjana Amerika “rendah kualiti”

Profesor Universiti Portland, Bruce Gilley tinggalkan Malaysia selepas kuliah kontroversi dakwa negara itu tidak selamat dan menggalakkan ‘Holocaust Yahudi’ yang kedua.
Iman Muttaqin Yusof
2024.04.26
Kuala Lumpur
Isu Holocaust Yahudi kedua, Anwar Ibrahim gelar sarjana Amerika “rendah kualiti” Bruce Gilley, profesor Universiti Negeri Portland, menyampaikan syarahan di Universiti Malaya di Kuala Lumpur, 23 April 2024.
[Melalui X/BruceDGilley]

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat menggelar seorang profesor dari Amerika Syarikat (AS) sebagai "ahli akademik rendah kualiti" selepas kenyataannya menuduh Malaysia menggalakkan “Holocaust Yahudi” yang kedua.

Kenyataan Bruce Gilley, profesor sains politik dari Universiti Negeri Portland itu mencetuskan pelbagai kritikan terhadapnya selepas beliau pulang ke AS atas kehendaknya sendiri namun mendakwa berasa tidak selamat kerana serangan kumpulan Islamofasis yang digalakkan oleh kerajaan.

“Sejak dari awal lagi cendekiawan ‘rendah kualiti’ tidak sepatutnya dibawa masuk sebagai profesor pelawat,” kata Anwar mengulas ringkas mengenai perkara itu pada satu majlis di Sepang, Selangor pada Jumaat.

Pada Rabu, dalam catatannya di X (Twitter) yang kemudiannnya dipadamkan, Gilley mendakwa Malaysia tidak akan pernah menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia terutamanya apabila ahli politiknya menyokong ‘Holocaust Yahudi’ kedua.

“Negara yang pemimpin politiknya menganjurkan holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia dan pastinya tidak akan pernah menjadi rakan atau rakan kongsi AS,” katanya memetik ucaptama di Universiti Malaya.

“Ini adalah maksiat lama ahli politik Malaysia kembali kepada nasihat Mahathir untuk belajar daripada orang Jerman tentang cara membunuh orang Yahudi,” kata Gilley merujuk kepada kenyataan anti-semitisme bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang dibuat beberapa tahun lalu.

"Hari ini hos berita TV menamatkan siaran harian dengan slogan "Dari Sungai ke Laut" dan "Israel Cuak",” ujarnya.

Gilley kemudian menjelaskan bahawa beliau memadamkan kenyataan tersebut dalam ucaptamanya itu bagi tujuan keselamatan rakan-rakannya di Universiti Malaya.

Beliau berkata petikan itu mewakili pandangan peribadinya dan menyatakan rasa kekesalan atas sebarang kesusahan yang menimpa rakan akademiknya.

Gilley dijemput untuk memberi tiga syarahan dan ucaptama di bawah Program Profesor Pelawat Jabatan Antarabangsa dan Kajian Strategik UM 2024. Program tiga hari itu berakhir pada Rabu.

Apabila tercetus kontroversi itu, ahli akademik tersebut membuat hantaran di X mengatakan beliau telah selamat meninggalkan Malaysia pada Khamis dengan memetik kebimbangan keselamatan yang disebabkan oleh “gerombolan Islamofasis” yang digalakkan oleh kerajaan.

"Ini bukan negara yang selamat untuk dilawati," katanya merujuk kepada Malaysia.

Beliau juga melancarkan kempen mengumpul dana dalam talian di GoFundMe untuk menampung perbelanjaan perjalanan dan penginapan berjumlah AS$ 2,346 (RM11,222) selepas menolak pembayaran balik daripada Universti Malaya kononnya "akibat daripada tingkah laku yang memalukan pihak universiti dan kerajaan Malaysia".

BenarNews telah cuba menghubungi Gilley melalui e-mel namun tidak menerima sebarang jawapan.

MY-pic-TWO (1).jpg

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Himpunan Malaysia bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Tidak sekat kebebasan akademik

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir pada Jumaat mengkritik kenyataan Gilley sebagai "biadap dan merbahaya".

Beliau pada Rabu telah mengarahkan Universiti Malaya yang segera memohon maaf atas kejadian itu untuk menyiasat perkara tersebut dan melaporkan butirannya kepada kementerian.

"Ini bukan persoalan akademik tetapi kenyataan terhadap keselamatan, imej negara yang dibuat seorang daripada luar datang dan buat kenyataan yang terlalu celupar.

"Saya harap mereka yang membuat komen perlu membezakan di antara konteks kebebasan akademik dengan kebebasan yang menyentuh tentang kedudukan dan imej negara dengan membuat kenyataan terlalu biadap dan sangat merbahaya. Ini bukan tentang menyekat kebebasan akademik," katanya kepada pemberita di Putrajaya pada Jumaat.

Zambry berkata Gilley sepatutnya menghormati kebebasan akademik dan mengkritik kenyataan beliau berhubung amalan Islamofasis Malaysia dan keselamatan negara.

“Kita perlu membezakan antara mereka. Ini bukan tentang mengekang kebebasan akademik,” katanya.

Beberapa tahun lalu, Gilley menerbitkan sebuah makalah bertajuk “The Case for Colonialism” (Third World Quarterly, September 2017).

Dalam tulisan ini, beliau menyarankan agar dibenarkan replikasi tadbir urus pasca kolonial di negara membangun, dan cuba menjadikan kolonialisme sesuatu yang baik dan memanfaatkan golongan terjajah, kata Syed Farid Alatas dari Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura dalam tulisannya disiarkan portal FMT.

26-my-US-professor3.jpg

Polis Israel menahan seorang aktivis keamanan yang menyertai ahli kumpulan "Rabbi untuk Gencatan Senjata" semasa perarakan ke arah utara bersempadanan dengan Semenanjung Gaza bagi menggesa gencatan senjata kekal, 26 April 2024. [Jack Guez/AFP]

Malaysia selamat untuk dilawati

Walaupun Gilley mendakwa Malaysia adalah negara berbahaya untuk dikunjungi, Kedutaan Amerika Syarikat ketika memberikan maklum balas kepada BenarNews menyatakan bahawa Malaysia kekal pada Tahap 1 nasihat perjalanannya, menunjukkan bahawa ia adalah tempat yang selamat untuk melancong.

“Tiada perubahan pada nasihat perjalanan AS untuk Malaysia yang kekal pada Tahap 1, tahap paling rendah daripada empat,” kata pegawai hal ehwal awam kedutaan itu.

Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sangat menyokong perjuangan Palestin.

Melalui konflik tujuh bulan yang masih berlaku antara tentera Israel dan pejuang Hamas, Malaysia seperti kebanyakan negara majoriti Islam yang lain, kekal berada di barisan hadapan dalam menyokong pembentukan negara Palestin yang merdeka.

Mengkritik sarjana Amerika itu, ahli politik Malaysia Amira Aisya Abd Aziz menyifatkan kenyataan Gilley sebagai “mengelirukan dan tidak dapat diterima,” dengan mengatakan beliau telah menggambarkan secara salah tentang matlamat Malaysia dalam berusaha mencapai keamanan dan kemerdekaan Palestin.

“Kami tidak pernah menganjurkan holocaust kedua sebaliknya kerajaan Zionis Israel yang kini melakukan pembunuhan beramai-ramai pada setiap saat.

"Institusi akademik perlu berhati-hati dalam menjemput penceramah dan pensyarah yang menyebarkan naratif pro-Zionis," katanya dalam X pada Rabu.

Sementara itu, seorang ahli akademik, Bridget Welsh dari Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia berkata kenyataan Gilley mencerminkan kekurangan pengetahuannya tentang Malaysia.

“Malaysia adalah sebuah negara yang selamat dan mesra. Kemarahan orang ramai adalah wajar.

“Golongan sarjana harus menggalakkan persefahaman, bukan mendatangkan mudarat dan menyatakan perbezaan secara bertanggungjawab,” katanya mengulas perkara itu di X.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.