Laporan HRW: Malaysia Bertindak Agresif Terhadap Kenyataan Kritik Kerajaan

Laporan tahunan dikeluarkan badan hak asasi kemanusiaan Human Rights Watch menyentuh tentang kebebasan akhbar dan tindakan tegas kerajaan terhadap pelarian.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-01-13
Share
Laporan HRW: Malaysia Bertindak Agresif Terhadap Kenyataan Kritik Kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berucap pada satu majlis semasa berkempen Pilihan Raya Negeri Sabah di Tuaran, 25 September 2020.
[Ryu Syakur/BeritaBenar]

Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin bersikap agresif terhadap kenyataan-kenyataan kritikal mengenai kerajaan dan mengamalkan pendirian keras berhubung pelarian, demikian menurut laporan tahunan sebuah badan hak asasi kemanusiaan berpusat di Amerika Syarikat bagi tahun lalu yang dikeluarkan pada Rabu.

Human Rights Watch (HRW) dalam laporannya juga berkata bahawa sektor media di Malaysia turut dihentam sepanjang 2020, dengan merujuk kenyataan menteri bertanggungjawab terhadap keselamatan, Ismail Sabri Yaakob yang berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap media online yang ‘salah melaporkan’ berita.

“Kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan secara agresif mengambil tindakan tegas terhadap ucapan kritikal, protes, dan berundur daripada usaha mewujudkan satu suruhanjaya yang benar-benar bebas untuk menyiasat aduan terhadap pihak polis, dan mempunyai berpendirian keras dalam isu layanan terhadap pelarian dan pendatang tanpa dokumen sah,” kata laporan yang dikelurakan jam 6.30 petang waktu Malaysia itu.

Susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020, Malaysia mendapat kerajaan baharu pada 1 Mac lalu hasil daripada ketidaktentuan politik selama seminggu ekoran peletakkan jawatan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Ia menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memperkenankan perlantikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-lapan negara pada masa itu kerana percaya beliau mendapat sokongan majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan hasil kerjasama bersama Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia(PAS).

Laporan itu juga menyebut mengenai tindakan kerajaan Muhyiddin pada 26 Ogos lalu, yang menarik balik dua Rang Undang-Undang (RUU), iaitu RUU Perlembagaan (Pindaan) membabitkan had tempoh jawatan Perdana Menteri dan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang telah dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen.

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan pada ketika itu berkata kerajaan memutuskan untuk menarik balik RUU IPCMC 2019 susulan bantahan yang diterima daripada pelbagai pihak.

"Keputusan dibuat oleh kerajaan dengan sesetengah isi kandungan dalam RUU IPCMC tidak dipersetujui oleh anggota polis, jadi kerajaan, memutuskan untuk perkenalkan RUU baharu," katanya kepada media pada 19 Ogos lepas.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dalam satu kenyataan beberapa hari selepas itu berkata RUU baharu yang diperkenalkan bagi mengantikan IPCMC kurang ‘sengat’ kerana ia mempunyai fungsi yang lemah dan kurang bebas selalin kekurangan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah laku.

Tindakan terhadap media

Laporan HRW itu juga berkata pada 7 Julai, Polis Malaysia mula menyoal wartawan yang bertanggungjawab bagi laporan media antarabangsa Al Jazeera berhubung layanan terhadap pendatang tanpa izin semasa pandemik COVID-19, sebagai sebahagian daripada penyiasatan mereka terhadap kemungkinan berlakunya hasutan, fitnah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Susulan itu, Putrajaya bertindak mengusir seorang warga Bangladesh, Mohammed Rayhan Kabir, berikutan kemunculannya dalam dokumentari berita TV asing itu, dengan mendakwa pihak berkuasa tempatan melakukan penganiayaan terhadap pekerja asing semasa pandemik COVID-19.

Lelaki itu ditahan tanpa sebarang pendakwaan dan telah disenarihitamkan sebagai orang ‘tidak diingin’ oleh kerajaan Malaysia sebelum dihantar pulang ke Bangladesh pada 2 Ogos lepas.

Laporan itu juga menyebut yang Malaysia menyifatkan dokumentari yang diterbitkan itu tidak berasas dan mencemarkan imej Putrajaya, walaupun pembela nasib pekerja asing menggambarkannya sebagai tepat manakala kumpulan hak asasi mempersoalkan peningkatan penggunaan undang-undang "kasar" untuk mendakwa perkritik kerajaan.

Polis Malaysia menurut HRW telah menyoal siasat wartawan akhbar South China Morning Post, Tashny Sukumaran mengenai ciapan Twitter beliau berhubung serbuan terhadap migran yang pada masa itu kumpulan hak asasi mengingatkan bahawa kerajaan baharu negara itu mungkin menghidupkan semula amalan menindas media.

Beliau disoal siasat polis tiga hari selepas menteri komunikasi dan multimedia menyatakan bahawa wartawan itu berhak menerbitkan beritanya dan telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tidak mengambil tindakan terhadap Tashny.

Kerajaan juga berusaha memastikan portal berita dalam talian bertanggungjawab terhadap komen yang disiarkan oleh pembaca mereka, kata pemerhati hak tersebut.

Ketua Editor portal beritaMalaysiakini Steven Gan telah diheret ke mahkamah setelah beberapa pembaca menyiarkan komen mereka di talian yang mengkritik badan kehakiman negara itu berhubung sebuah artikel yang diterbitkan oleh laman berita tersebut.

Malaysia tergelincir

Pada 16 April lalu, Malaysia bertindak untuk menghalang sebuah bot yang dinaiki sekumpulan 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan Malaysia oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tindakan pihak tentera itu bagaimanapun telah mengundang kecaman dari pelbagai badan hak asasi manusia yang menggelarkan tindakan itu sebagai membahayakan nyawa para pelarian di tengah lautan dan menghalang krisis kemanusiaan.

Mengulas laporan HRW itu, pejuang hak asasi kemanusiaan Cynthia Gabriel dari C4 Center bersetuju bahawa hak asasi manusia di Malaysia tergelincir teruk ke belakang sepanjang tahun lalu.

“Kerajaan pada hari ini tidak endah dengan sebarang penambaikan sebaliknya hanya berusaha untuk kekal berkuasa, dengan membuat keputusan yang menguntungkan kedudukan politik, termasuklah darurat sehingga Ogos seperti yang diumumkan.

“Kerisauan utama kami ialah apabila darurat dilanjutkan, ini bermakna kita terus tidak dapat mengadakan pilihan raya. Ia akan bertambah buruk, negara boleh musnah kerana kini terdapatnya defisit keyakinan terhadap kerajaan yang semakin meruncing,” tambah beliau.

Pada Selasa pagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan pengumuman dari Istana Negara mengenai pengisytiharan darurat ke atas seluruh negara sehingga 1 Ogos sebagai satu langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 walaupun kerajaan telah pun mengumumkan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) di hampir seluruh negara pada Isnin.

Muhyiddin dalam satu ucapan khas menerusi televisyen bagaimanapun berkata beliau memohon pengisytiharan darurat sebagai langkah membendung penularan COVID-19, dan bukannya untuk menghalang pilihan raya. Yang di-Pertuan Agong telah menolak permintaan serupa daripada Muhyiddin pada Oktober lalu.

"Kerajaan awam akan terus berfungsi. Ini bukanlah rampasan kuasa tentera. Perintah berkurung tidak akan dilaksanakan, dan saya memberi jaminan bahawa pentadbiran negara tidak akan terjejas,” kata Muhyiddin.

BeritaBenar cuba mendapatkan kenyataan balas dari Pejabat Perdana Menteri, Menteri Undang-Undang dan Menteri Dalam Negeri berkaitan laporan HRW namun tiada maklum balas dari mereka sehingga laporan ditulis.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh