Malaysia Sekat Kebebasan Bersuara Demi Lindungi Perdana Menteri: Pemerhati Hak Asasi

Staf BeritaBenar
2016.10.12
Washington DC
161012-MY-free-speech-620.jpg Aktivis penuntut membawa sepanduk sambil berarak menuju ke Dataran Merdeka semasa perhimpunan bagi menuntut penangkapan "Pegawai Malaysia 1" di Kuala Lumpur, 27 Ogos, 2016.
[AFP/EyePress News]

Kerajaan Malaysia meningkatkan tindakan keras terhadap "ucapan secara aman" bagi melindungi Perdana Menteri Najib Razak daripada kritikan seperti rasa tidak puas hati orang ramai terhadap skandal rasuah yang membimbangkan, kata Human Rights Watch dalam satu laporan baru.

Kerajaan menggunakan beberapa undang-undang untuk mengambil tindakan jenayah terhadap mereka yang memberi pendapat berbeza ketika kerajaan Najib menjadi perhatian antarabangsa berhubung beberapa kontroversi termasuk skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata HRW.

"Ketika nasib politik Perdana Menteri Najib merosot, sikap tidak bertoleransi Malaysia terhadap mereka yang menyuarakan kritikan nampaknya meningkat," kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia bagi Human Rights Watch (HRW), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama-sama dengan laporan itu. "Masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang menghormati hak-hak tidak sepatutnya menjadi tebusan bagi mempertahankan reputasi kerajaan Najib."

Badan pemerhati hak itu, yang berpejabat di Amerika Syarikat, dijadual mengeluarkan laporan setebal 40 muka surat itu yang bertajuk "Deepening the Culture of Fear: The Criminalization of Peaceful Expression in Malaysia”  pada sidang media di ibu negara Malaysia pada pagi Khamis(waktu tempatan).

"Mengenakan tindakan jenayah terhadap ucapan secara aman nampaknya menjadi sebahagian daripada usaha besar kerajaan Malaysia untuk mengekang sesiapa pun daripada menyatakan rasa tidak puas hati politik," kata Robertson. "Pihak berkuasa perlu berhenti mendakwa orang yang mengkritik atau dianggap 'menghina,' dan kerajaan perlu segera menyemak semula undang-undangnya bagi memenuhi standard bebas bersuara antarabangsa."

Menurut HRW, kerajaan Najib menggunakan Akta Rahsia Rasmi, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dan Akta Hasutan untuk menyasarkan orang ramai yang mengkritik Najib termasuk mereka yang menggesa perdana menteri supaya meletak jawatan berhubung skandal 1MDB dan masalah lain.

"Daripada melayani kenyataan sedemikian sebagai amalan memberi dan menerima yang biasa dalam masyarakat yang demokratik, pihak berkuasa Malaysia sebaliknya menjadikan ucapan sebegitu sebagai perbuatan jenayah, menyiasat mereka yang terlibat kerana hasutan," menurut laporan itu yang salinannya telah dilihat BeritaBenar.

Sejak Julai 2015, Najib terus mengalami tekanan supaya berundur di tengah-tengah dakwaan bahawa hampir AS$700 juta dalam dana berkaitan 1MDB dimasukkan dalam akaun bank peribadinya. Najib enggan meletakkan jawatan dan menafikan dakwaan melakukan sebarang salah laku, dengan berkata bahawa wang itu adalah sumbangan derma.

Pada Julai 2016, Jabatan Kehakiman AS memfailkan dokumen mahkamah bagi mendapatkan kembali lebih daripada $1 bilion dalam bentuk aset dan harta yang telah dibayar dengan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Laporan itu juga menggesa Malaysia supaya memansuhkan Akta Hasutan secara keseluruhannya serta meminda Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Rahsia Rasmi.

Tiada had kepada rahsia negara?

HRW berkata kerajaan telah menggunakan Akta Rahsia Rasmi untuk meyekat kebocoran mengenai laporan yang dikeluarkan kerajaan  pada Januari berhubung siasatan skandal 1MDB.

Akta itu, menurut HRW, adalah "ketinggalan zaman, undang-undang terlalu meluas yang meletakkan hampir tiada had terhadap apa yang boleh ditentukan sebagai 'rahsia' dan bertentangan dengan kepentingan awam dalam mendapat akses kepada maklumat mengenai aktiviti kerajaan."

Walaupun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menerima laporan daripada Ketua Audit Negara Malaysia, kandungan laporan itu kekal menjadi rahsia negara, kata HRW.

Laporan pemerhati hak itu memetik kes penangkapan Ahli Parlimen pembangkang Rafizi Ramli, yang sedang menyiasat kegagalan kerajaan membuat pembayaran pencen kepada veteran tentera dan mencabarnya untuk mengesahkan bahawa pelaburan dana tentera dalam 1MDB tidak menjejaskan keupayaannya membuat pembayaran.

Rafizi mendakwa beliau telah menerima dokumen daripada laporan Ketua Audit Negara yang menyokong kebimbangan beliau bahawa 1MDB berhutang wang kepada dana itu, kata HRW.

Rafizi memaparkan dokumen itu pada sidang berita pada 28 Mac, tetapi tidak memberikan salinannya kepada pemberita. Seminggu kemudian, polis menahan Ramli dan mendakwanya dengan dua tuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi dan satu tuduhan fitnah jenayah. Beliau menghadapi perbicaraan bagi pertuduhan itu.

'Senjata pilihan'

Menurut laporan HRW, Akta Komunikasi dan Multimedia "telah menjadi senjata pilihan kerajaan terhadap mereka yang mengkritik atau menyindir kerajaan atau pemerintah Malaysia."

HRW membangkitkan kes pereka grafik Fahmi Reza yang didakwa mengikut undang-undang itu kerana menghantar imej di Twitter dengan menggambarkan Najib bersama lakaran muka badut dan diiringi dengan kapsyen: "Pada 2015, Akta Hasutan telah digunakan 91 kali. [Tetapi di negara yang penuh dengan rasuah, kita semua penghasut]. "

Kerajaan juga telah menggunakan akta itu untuk menyekat laman web, walaupun Najib berjanji pada 1996 dan 2011 untuk tidak menapis Internet, menurut HRW.

HRW menamakan secara khusus empat laman web - Sarawak Report, Medium, Malaysia Chronicle dan Asia Sentinel - yang telah ditutup berikutan laporan kritikal berhubung skandal 1MDB dan isu-isu politik yang lain.

Kerajaan juga menyalahgunakan kuasanya dengan menggunakan Akta Hasutan Malaysia yang berusia 68 tahun untuk menahan para  pengkritik Najib dan pentadbirannya, kata HRW.

Pada Ogos, selepas DOJ AS memfailkan tindakan undang-undang, sekumpulan penuntut menganjurkan perhimpunan bagi menggesa supaya individu yang dikenal pasti sebagai "Pegawai Malaysia 1" (MO1) didakwa. Seorang pegawai AS yang terlibat dalam tuntutan mahkamah itu memberitahu Wall Street Journal bahawa Najib adalah MO1.

Para penuntut itu telah memberitahu polis tentang rancangan mereka, tetapi polis mengisytiharkan pemberitahuan itu tidak sah dan enggan memberi kebenaran untuk mengadakan perhimpunan itu yang berlangsung secara aman pada 27 Ogos, dakwa HRW. Peguam Melissa Sasidaran berkata aktivis berkenaan sedang disiasat kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman dan kerana menghasut, kata HRW.

Sehari selepas DOJ memfailkan tindakan undang-undangnya, Najib memberitahu pemberita bahawa pentadbiran beliau adalah "serius tentang tadbir urus yang baik."

"Saman sivil yang dibawa oleh Jabatan Kehakiman AS mengenai 1MDB harus diberi ruang dan peluang supaya proses kehakiman dapat dijalankan. Mana-mana individu yang telah dinamakan, perlulah membersihkan nama mereka sendiri, "kata Perdana Menteri dalam catatannya kemudian di laman Facebook beliau.

"Kerajaan akan memberi kerjasama penuh dalam kes ini dan, Insya-Allah, lambat laun kita akan mengetahui kebenaran. Seperti yang sering ditekankan, kerajaan akan memastikan bahawa tidak ada wang awam yang  disalahgunakan, "kata Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.