Undang-Undang, program terapi Kerajaan sekat hak LGBT di Malaysia - Laporan

HWR dan Justice for Sisters menggesa kerajaan Malaysia agar menerima dan tidak mendiskriminasi golongan gay.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
2022.08.10
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Undang-Undang, program terapi Kerajaan sekat hak LGBT di Malaysia - Laporan Wanie Mohtar (tengah), rakyat Malaysia, memenangi segmen pakaian tradisional pada pertandingan ratu cantik transgender Miss International Queen 2020 di Pattaya, Thailand, 7 Mac 2020.
[Mladen Antonov/AFP]

KEMASKINI pada 1 petang waktu tempatan ETS - 2022-08-10

Malaysia telah didakwa menyekat hak-hak asasi golongan LGBT melalui penggunaan undang-undang jenayah serta program terapi untuk gay yang dibiayai kerajaan, demikian menurut laporan kumpulan pemantau hak asasi manusia antarabangsa dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Menerusi laporan yang diterbitkan bersama pada Rabu, Human Rights Watch (HRW) dan Justice for Sisters, NGO tempatan yang memperjuang hak transgender, menggesa kerajaan agar tidak mendiskriminasi hubungan sejenis dan kepelbagaian gender selain menghentikan program serta cadangan retorik bahawa golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender perlu ‘dipulihkan’ atau ‘dirawat.’

Laporan setebal 101 muka surat itu adalah berdasarkan temu bual yang dilakukan oleh kumpulan itu dengan 73 rakyat Malaysia daripada golongan LGBT antara tahun 2018 dan 2021. Ia bertajuk I Don’t Want to Change Myself: Anti-LGBT Conversion Practices, Discrimination, and Violence in Malaysia.

“Pendekatan terkini Malaysia terhadap golongan LGBT iaitu pemulihan dan penjenayahan adalah tidak berasaskan kepada hak-hak asasi manusia atau sebarang bukti,” kata Thilaga Sulathireh, pengasas bersama Justice for Sisters.

“Kementerian yang menjaga hal ehwal agama menyamarkan keganasan dan penindasan terhadap golongan LGBT sebagai belas ihsan sedangkan hakikatnya, dasar serta tindakan mereka hanya menimbulkan kebencian dalam kalangan golongan minoriti seksual dan gender ini selain permusuhan dalam kalangan penduduk lain.”

Dalam rumusan laporan mereka, kedua-dua kumpulan berkata Malaysia “adalah antara segelintir negara yang secara eksplisit menjadikan ketidakpatuhan gender sebagai satu kesalahan jenayah. Malaysia turut menjenayahkan perlakuan seks sesama jenis di peringkat negeri dan persekutuan.”

Para pegawai Malaysia sering menegaskan bahawa undang-undang tidak berhasrat menghukum golongan LGBT sebaliknya berusaha membawa mereka “ke jalan yang benar,” dakwa laporan itu.

Bagaimanapun, “di bawah sistem persekutuan Malaysia, Kanun Keseksaan mentadbir seluruh negara dan merangkumi kebanyakan perlakuan jenayah. Kanun Keseksaan turut menjenayahkan hubungan seks sesama jenis yang konsensual dengan mengenakan hukuman penjara 20 tahun dan mandatori sebatan,” menurut laporan itu.

“Selain diskriminasi yang diinstitusikan dan pencabulan hak asasi manusia yang terjumlah kepada penyeksaan, golongan LGBT turut berdepan diskriminasi serta keganasan daripada orang awam. Pelaku jarang diheret ke muka pengadilan.”

Selain penjara, kerajaan terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri, telah menganjurkan pemukiman yang dikenali sebagai mukhayyam untuk membawa golongan LGBT, terutama wanita, supaya lebih dekat kepada Islam, agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia berbangsa Melayu.

“Lebih berbahaya ialah tujuan sebenar mukhayyam: Menggunakan sumber negara untuk memajukan visi ‘fitrah semula jadi’ yang tidak sesuai dengan kepelbagaian seksual dan gender, memanipulasi golongan LGBT sehingga mempercayai bahawa mereka telah terpesong,” menurut laporan itu.

“JAKIM mengamalkan cakap berbelit berkaitan mukhayyam, ada ketika memberi jaminan kepada peserta bahawa ia tidak berhasrat untuk mengubah mereka namun pada masa yang sama, mendakwa kepada umum bahawa ia berjaya dalam misinya untuk ‘memulihkan’ golongan LGBT.

Kerajaan berkata setakat Jun 2021, sekurang-kurangnya 1,733 orang daripada golongan LGBT telah menghadiri program ini, menurut laporan itu.

Ia berkata kerajaan “sudah lama” berhasrat untuk menghentikan ekspresi budaya yang pro-LGBT dan lain-lain termasuk menapis adegan gay dalam ‘Rocketman,’ filem cereka biografi mengenai bintang pop Elton John serta membatalkan konsert yang dirancang oleh seorang penyanyi lesbian dari Hong Kong. Kerajaan turut mengharamkan buku Gay is OK! A Christian perspective.

Pada Rabu, Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, berkata kerajaan dan jabatan agama komited menyekat penyebaran budaya LGBT di negara itu, sambil menyalahkan sumber dari media luar.

“Saya kecewa kerana dunia luar yang mempromosikan LGBT. Kami tidak boleh mengawal platform luar negara yang mudah dicapai dalam talian – tetapi aktiviti di negara ini, kami tiada masalah. Kami sentiasa tegas dan komited,” katanya menjawab soalan di Parlimen.

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Bahagian Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan ulasan mengenai laporan yang dikeluarkan oleh HRW itu.

‘Kita semakin mundur’

Golongan LGBT memberitahu penemu bual daripada HRW dan Justice for Sisters bahawa situasi di Malaysia semakin memburuk.

“Kita semakin mundur dalam kebanyakan aspek apabila segelintir pandangan Islam yang konservatif menjadi dominan dalam membentuk politik dan dasar yang menentukan hidup rakyat di negara ini termasuk golongan LGBT,” kata seorang aktivis di Kuala Lumpur yang hanya ingin dikenali sebagai Mitch.

Nadia, seorang transgender wanita yang tinggal di Sungai Petani, pula berkata saudara mara dan sahabat handai telah memberikan tekanan terhadapnya untuk berubah susulan hantaran di media sosial serta media lain.

“Kesemua hantaran dan berita di laman Facebook juga telah menyebabkan bekas rakan sekolah berkata ‘Oh, anda perlu berubah atau kembali kepada keadaan semasa anda bersekolah dan lakukan perubahan itu secara perlahan-lahan.’Namun mereka tidak faham,” katanya.

Nadia berkata beliau tidak dibenarkan menjadi diri sendiri semasa masih bersekolah dan menambah bahawa rambutnya ketika itu pendek selain diwajibkan memakai pakaian seragam.

“Jika saya berpeluang, sudah tentu saya akan berubah semasa masih bersekolah,” katanya.

Nadia berkata laporan media juga telah mengelirukan orang ramai.

“Ia turut meningkatkan transfobia dan pada akhirnya, ibu bapa akan memberi tekanan kepada anak mereka supaya berubah kerana mereka sendiri keliru. Saya menerima tekanan daripada ibu bapa saya untuk berubah terutama apabila mereka melihat golongan [bekas transgender] di media.”

Laporan itu turut memasukkan maklumat mengenai Bern Chua, ahli akademik yang menjalankan kajian ke atas golongan lelaki Islam berbangsa Melayu.

“Secara asasnya, mereka memberitahu saya ketika mereka kecil, ketika menghadiri sebarang kelas agama, antara perkara yang dipelajari ialah liwat, kisah Nabi Lut. Jadi, ia menjadi sebahagian daripada sosialisasi awal bahawa homoseksualiti adalah sesuatu yang menjelikkan. Dan perkara ini diperkukuh oleh wacana arus perdana kerajaan,” kata Bern.

Satu seksyen dalam laporan itu turut memberikan maklumat terperinci mengenai kes Nur Sajat, seorang transgender wanita dan usahawan kosmetik yang gagal menghadiri prosiding mahkamah di negeri Selangor pada 2021 untuk menjawab pertuduhan jenayah selepas didakwa “menghina Islam” melalui pakaiannya.

Jabatan Agama Islam Selangor mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau dan mengumumkan telah menggerakkan sejumlah 122 pegawai untuk memburu Nur Sajat. Nur Sajat telah melarikan diri ke negara jiran Thailand di mana beliau telah ditahan atas permintaan Kuala Lumpur, menurut laporan itu.

“Kerajaan Malaysian telah meminta agar Nur Sajat diekstradisi dan mendakwa bahawa mereka ingin ‘memulihkan’ berbanding menghukum beliau,” katanya. “Idris bin Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama memberitahu pemberita bahawa ‘Jika [beliau] telah mengaku bersalah … jika [beliau] ingin kembali kepada fitrah asal [beliau], maka tidak ada masalah. Kami tidak ingin menghukum [beliau], kami hanya ingin mendidik.’”

Susulan bantahan orang ramai di peringkat antarabangsa, Thailand membenarkan Nur Sajat tinggal di negara itu di bawah perlindungan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian. Beliau akhirnya memilih untuk menetap di Australia.

Kes Nur Sajat menggambarkan sejauh mana kesediaan pihak berkuasa Malaysia untuk menguatkuasakan norma-norma gender yang tegar dan berdiskriminasi, kata HRW dan Justice for Sisters.

Kumpulan itu telah mengemukakan beberapa syor kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen, Peguam Negara, JAKIM serta Kementerian Kesihatan dan Pendidikan di Malaysia.

Syor itu termasuk mengambil langkah untuk mencegah sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan orientasi seksual dan identiti gender, membenarkan golongan transgender menukar kad pengenalan mereka serta menangani isu buli terhadap pelajar LGBT dan kumpulan rentan lain di sekolah.

“Kerajaan Malaysia hendaklah segera menghentikan penajaan dan pembiayaan (bagi program pemulihan) dan sebaliknya menyokong amalan menukar gender dan hendaklah berunding dengan kumpulan komuniti LGBT untuk mendidik pegawai awam seperti polis, hakim serta kakitangan kerajaan mengenai isu gender, kepelbagaian dan hak asasi manusia,” menurut laporan itu.

“Logik larangan, pemulihan dan hukuman terhadap golongan LGBT hendaklah digantikan dengan komitmen kerajaan ke arah penerimaan, penglibatan dan tanpa diskriminasi.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.