Malaysia Bayar Singapura AS$76 juta Batal Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi

Penyelesaian itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama pada Isnin, dua tahun selepas Malaysia nyatakan hasrat batalkan projek tersebut.
Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-03-29
Share
Malaysia Bayar Singapura AS$76 juta Batal Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Penumpang sedang menunggu keretapi di Stesen Keretapi Komuter Kuala Lumpur, 3 Julai 2020.
[Reuters]

Malaysia telah membuat pembayaran sebanyak SG$102,815,576 (AS$76.3 juta) kepada Singapura sebagai pampasan penuh bagi pembatalan projek rancangan projek keretapi berkelajuan tinggi yang dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dengan republik tersebut kepada hanya 90-minit.

Penyelesaian itu dicapai hampir dua tahun setelah Putrajaya pada 2018 yang diterajui Pakatan Harapan ketika itu mengumumkan hasrat untuk membatalkan projek berkenaan kerana ia dikatakan menelan belanja yang ‘amat besar’ selain menghasilkan pulangan pelaburan yang rendah.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan Menteri Ekonomi Malaysia dan Menteri Pengangkutan Singapura pada Isnin, mereka berkata jumlah pampasan itu dipersetujui oleh kedua-dua negara sebagai "penyelesaian penuh dan muktamad" bagi membatalkan Perjanjian Dua Hala dalam projek keretapi tersebut.

"Kerajaan Malaysia dan kerajaan Republik Singapura telah memuktamadkan penyelesaian pampasan berkenaan penamatan Perjanjian Dua Hala Projek HSR pada 31 Disember 2020.

“Pembayaran sebanyak SG$102,815,576.00 atau RM320,270,519.24 itu telah dibuat oleh kerajaan Malaysia sebagai gantirugi kepada kos yang telah ditanggung kerajaan Singapura bagi projek HSR, dan berkaitan dengan sambungan penangguhan projek tersebut," kata kenyataan bersama itu.

Pemimpin-pemimpin negara jiran itu juga berkata. "Kedua-dua negara terus kekal komited dalam menjaga hubungan baik dan menjalin kerjasama rapat bagi kebaikan rakyat kedua-dua negara,"

Kerjasama kedua-dua negara dalam projek HSR itu bermula apabila satu perjanjian persefahaman dimeterai pada tahun 2016, ketika kerajaan Malaysia diterajui Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Ke-Enam, Najib Razak.

Menurut perancangan, projek itu dijangka menyaksikan keseluruhan landasan sepanjang 350km dengan 335km melibatkan Malaysia manakala 15km lagi di Singapura, dengan dua trek laluan bertentangan. Ia bakal menyaksikan pergerakan kelajuan melebihi 300km sejam.

Perjalanan keretapi laju itu akan bermula dari Bandar Malaysia, di Kuala Lumpur ke Jurong East, di negara jiran itu dengan melibatkan enam stesen perantaraan lain iaitu Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Ia dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan antara kedua-dua negara, berbanding dengan perjalanan keretapi sedia ada pada jarak yang sama mengambil masa hampir 11 jam manakala perjalanan darat melalui Projek Lebuhraya Utara-Selatan adalah kira-kira lima jam.

Akan tetapi, selepas gabungan politik Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018 dan sekaligus menyaksikan kekalahan Barisan Nasional buat pertama kali dalam 60 tahun, kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Ketujuh Mahathir Mohamad telah membatalkan projek-projek yang dimulakan oleh Najib bagi menangani masalah hutang negara sebanyak RM1 trilion (AS$241 bilion).

"Ia tidak memberi manfaat," kata Mahathir pada bulan Mei 2018, "Ia akan membebankan kita dengan sejumlah besar wang, kita tidak akan mendapat pulangan daripada operasi ini."

Pada September tahun yang sama, Malaysia menandatangi perjanjian untuk membayar Singapura sebanyak AS$10.9 juta kerana menangguhkan projek HSR tersebut.

Bekas menteri kritik

Sementara itu, seorang bekas menteri kabinet semasa zaman Najib pada Ahad mengkritik keputusan yang diambil kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional kerana membatalkan HSR dan beberapa projek lain yang telah dirancang kerajaan Barisan Nasional.

Menurut Shabery Cheek, HSR telah dirancang bagi melonjakkan Malaysia sebagai pusat pertumbuhan ekonomi ASEAN.

"HSR yang sepatutnya memendekkan masa perjalanan Singapura ke Kuala Lumpur hanya kepada 90 minit, supaya satu masa nanti kita hendak melonjakkan Kuala Lumpur dan Malaysia sebagai pusat pertumbuhan ekonomi ASEAN.

"Syarikat seperti Google dan sepertinya tidak perlu membuat pejabat mereka di Singapura kerana ia mahal di sana. Buat di sini, hanya satu jam setengah boleh sampai ke sana (Singapura). Tetapi naik kerajaan baru, dihentikan perkara ini," kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu ketika satu wawancara pada Ahad.

Beliau turut membandingkan keputusan pembatalan itu dengan apa yang berlaku di Indonesia, di mana kerajaan Indonesia sedang membina projek keretapi laju bagi menghubungkan ibu negara Jakarta dengan beberapa bandar utama.

"Di Indonesia sedang rancak berjalan projek ini... Keretapi laju Jakarta-Bandung-Surabaya. Nanti jika kita hendak naik keretapi laju, kita kena ke Indonesia," sinis Shabery.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh