Follow us

Pembangkang Mahu Kerajaan Tangguh Mansuhkan Hukuman Mati Mandatori

Lex Radz
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-16
E-mel
Komen
Share
Seorang lelaki berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Malaysia, 27 Ogos 2018.
Seorang lelaki berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Malaysia, 27 Ogos 2018.
AP

Ahli Parlimen pembangkang cuba meletakkan ‘brek’ kepada usaha untuk menghapuskan hukuman mati di Malaysia, dengan meminta kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak maklum balas daripada mangsa jenayah berat dan pihak berkepentingan lain terlebih dahulu sebelum pemansuhan hukuman itu dibuat sepenuhnya.

Ketua pembangkang PAS yang juga presiden parti itu, Abdul Hadi Awang tidak bersetuju hukuman mati mandatori dimansuhkan tetapi mahu lebih banyak kajian mengikut proses yang adil dibuatkan sebelum pelaksanaan pemansuhan hukuman itu dijalankan sepenuhnya.

“Bukan batalkan [hukuman mati mandatori], saya tidak bersetuju, tetapi perlu dijalankan kajian terperinci melalui proses yang adil and betul mengikut peringkat. Kita minta kajian semula.

Dalam undang-undang Islam, kes dadah terletak di bawah ‘Takzir’, Takzir merupakan satu hukuman berperingkat yang bukan mandatori. Ianya patut dimulakan dengan hukuman yang ringan dahulu dan pada peringkat akhir barulah hukuman mati yang bukannya mandatori,” kata beliau kepada pemberita di Parlimen.

Dalam pada itu, Wee Ka Siong yang merupakan Timbalan Presiden parti MCA turut mendesak kerajaan supaya tidak bergopoh gapah memansuhkan hukuman mati seperti yang dipersetujui oleh Kabinet pada minggu lalu.

Beliau mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang disertai oleh pertubuhan bukan kerajaan dan juga ahli keluarga mangsa yang terkesan dengan penjenayah yang dikenakan hukuman gantung sampai mati sebelum memuktamadkan keputusan mereka.

“Melihat kepada reaksi orang ramai, terutamanya mereka yang pernah kehilangan orang tersayang di tangan penjenayah, ahli keluarga ini amat marah dengan keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati.

“Saya tidak fikir keputusan yang dibuat telah mengambil kira pendapat dari semua pihak,” kata Wee kepada media di Parlimen pada Selasa.

MCA merupakan parti kedua terbesar dalam komposisi Barisan Nasional yang pernah memerintah Malaysia selama 60 tahun sebelum ianya kehilangan kuasa pada PilihanRaya Umum ke 14 selepas kalah kepada Pakatan Harapan.

Mansuh hukuman


Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian hal ehwal undang-undang Liew Vui Keong berkata kerajaan mahu membentangkan satu cadangan untuk memansuhkan hukuman mati untuk semua jenis jenayah ketika persidangan Parlimen kali ini yang akan berlangsung sehingga Disember.

Pada Isnin, Liew berkata sehingga kini, seramai 1,267 pesalah menanti hukuman mati di penjara di Malaysia dan hukuman ditangguh sehingga kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati.

Lebih kurang 70% atau seramai 900 orang yang sedang menunggu giliran hukuman mati adalah berkaitan dengan kesalahan dadah.

“Saya fikir kali ini ada penangguhan untuk memastikan perkara ini dibawa ke badan pengampunan untuk dihalusi- tetapi ia bukan bermakna mereka akan bebas, mereka tetap harus menghabiskan hukuman,” kata Liew pada Isnin.

Pada minggu lepas, Malaysia mengejutkan dunia pada hari  Anti-Hukuman Mati Sedunia dengan mengumumkan keputusannya untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesemua kesalahan,  dan susulan daripadanya, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Keputusan yang dibuat pada mesyuarat mingguan Kabinetnya itu juga menimbang untuk mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Ketika ini ada 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Pada Isnin pula, Perdana Menterinya, Mahathir Mohamad seperti dilaporkan oleh media tempatan berkata, buat masa ini cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori belum lagi dimuktamadkan

"Kerajaan belum lagi luluskan pemansuhan hukuman mati mandatori itu ia baru dibincangkan, belum bermaksud ia telah dimansuhkan.

"Hukuman ini hanya akan dimansuhkan apabila kita meluluskan akta yang berkaitan untuk menggantikannya," ujarnya ketika ditemui media di lobi Parlimen

Di Asia Tenggara, Indonesia, Singapura dan Thailand mengamalkan undang-undang hukuman mati tetapi di Filipina, yang sekarang ini menangani isu perang terhadap dadah mula melihat keberangkalian untuk kembali mewujudkan hukuman mati di negara itu.

Menurut laporan Amnesty Antarabangsa tentang hukuman mati 2017 yang dikeluarkan pada September, cuma 23 negara yang mengekalkan hukuman mati, dengan China dipercayai sebagai negara yang paling kerap mengenakan hukuman tersebut.

Laporan itu turut menyatakan bahawa 993 hukuman direkodkan pada 2017 di 23 buah negara. Amnesty juga percaya bahawa “ribuan” hukuman mati telah dilaksanakan di China dan diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan.

Selain dari China, Amnesty turut melaporkan 84% perlaksanaan hukuman mati dilakukan di negara Timur Tengah seperti Iran, Saudi Arabia, Iraq dan Pakistan.

Lihat Laman Penuh