Keluarga Mangsa Bunuh Desak Kerajaan Tidak Hapuskan Hukuman Mati

Hadi Azmi
2018.11.09
Kuala Lumpur, Malaysia
181109-MY-Death620.jpg Anggota keluarga mangsa pembunuhan Anthony Kevin Morais, Sosilawati Lawiya dan Wong Jing Kui mengadakan sidang akhbar yang mahukan kerajaan Malaysia tidak membatalkan hukuman mati, di Kuala Lumpur, 9 Nov, 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Keluarga mangsa yang dibunuh meminta pentadbiran kerajaan Putrajaya supaya tidak memansuhkan hukuman mati mandatori terhadap pembunuh kerana ia satu langkah yang tidak adil dan boleh menyumbang kepada peningkatan jenayah berat.

Keluarga mangsa yang terdiri daripada Erni Dekritawati Yuliana, anak perempuan sulung jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh dengan kejam pada tahun 2010 hadir bersama Wong Hie Huong, kakak kepada pegawai bank, Wong Jing Kui yang mati dibunuh pada 2012, di satu sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sidang media itu turut dihadiri Richard Morais iaitu adik bongsu kepada timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais pada 2015 yang antara lain membantah keras cadangan memansuhkan hukuman mati terhadap pembunuh.

"Tidak adil bagi mangsa keluarga yang dibunuh sekiranya kerajaan menghapuskan hukuman mati. Walaupun begitu, saya bersetuju dengan hak asasi manusia,” tegas Erni pada sidang media itu.

Sosilawati dan tiga yang lain telah dipukul sampai mati oleh bekas peguam dan dua pekerja ladang, sebelum mayat mereka dibakar. Kes yang mengerikan itu menjadi satu kes berprofil tinggi serta  mencengkam negara pada 2010.

Pada 16 Mac, 2017 Mahkamah Persekutuan telah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman mati bagi kesemua tertuduh selepas beberapa cubaan untuk mendapatkan hukuman penjara seumur hidup.

Sementara itu, Richard pula berkata mereka yang tidak kehilangan orang tercinta dalam keadaan  sedemikian tidak akan memahami perasaan anggota keluarga mangsa.

"Anda perlu kehilangan seorang ahli keluarga yang dibunuh untuk memahaminya," katanya dengan air mata berlinangan.

Kevin yang bertugas di Pejabat Peguam Negara telah diculik ketika dalam perjalanan ke pejabatnya pada 4 September 2015 dan mayat mangsa ditemui di dalam sebuah tong dram yang disimenkan di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September.

"Seluruh badannya seperti batu, saya tidak dapat menyentuh tubuhnya. Adakah ini adil? "tanya Richard.

Enam orang telah didakwa atas pembunuhan Kevin. Mereka mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan itu dan perbicaraan masih berjalan.

Tidak mempertimbangkan perasaan keluarga

Peguam Christina Teng yang turut mewakili kesemua keluarga berkenaan berkata kerajaan tidak harus 'membuli' keputusan berkenaan walaupun ianya diperlukan sebagai pencegahan.

Teng berkata keluarga merasakan kerajaan gagal mempertimbangkan perasaan anggota keluarga mangsa yang dibunuh apabila mereka mengumumkan keputusan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori tersebut.

Dalam memberi maklumbalas, Amnesty International menafikan dakwaan keluarga itu yang menyatakan bahawa hukuman mati itu dapat menghalang berlakunya jenayah, sambil mengatakan bahawa tidak ada bukti yang boleh dipercayai bahawa hukuman mati adalah lebih berkesan serta dapat mengurangkan jenayah daripada penjara seumur hidup.

"Menghapuskan hukuman mati tidak bermakna mereka yang terbabit dalam jenayah akan bebas dan keadilan tidak akan dijalankan," kata Pengarah Eksekutifnya, Shamini Darshni Kaliemuthu dalam e-mel kepada BeritaBenar.

Shamini berkata hukuman mati adalah satu tindakan mengambil nyawa dengan prinsip, negara tidak mempunyai hak untuk mengambil nyawa seeorang manusia.

"Rancangan Malaysia untuk menghapuskan hukuman mati untuk semua jenayah akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengadakan perdebatan yang membina mengenai keberkesanannya dalam menghalang jenayah dan juga untuk menegakkan pembaharuan hak asasi manusia," katanya.

Menurut Amnesty, terdapat bukti yang menunjukkan penurunan kadar jenayah, berikutan penghapusan hukuman mati. Di Kanada kadar pembunuhan bagi tahun 2008 berkurangan sebanyak separuh daripada itu berbanding dengan tahun 1976, apabila hukuman mati dimansuhkan di sana.

Pada Khamis, delegasi Malaysia di satu mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UPR) di Geneva telah mengesahkan keputusan kerajaan untuk meratifikasi semua perjanjian hak-hak PBB yang ditetapkan, dan juga mewujudkan satu moratorium terhadap semua hukuman mati sehingga hukuman mati dihapuskan di negara itu.

Bercakap kepada BeritaBenar, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph, yang merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia, berkata walaupun beliau bersimpati terhadap kesemua keluarga mangsa, ia tidak mencukupi untuk membuatkan hukuman mati terus dikekalkan.

"Saya dapat memahami penderitaan mereka, tetapi hukuman mati bukan pencegahan terhadap jenayah yang mengerikan itu," kata Jerald.

Ketika sambutan Hari Anti-Hukuman Mati Sedunia 10 Okt lepas, menteri kabinet yang bertanggungjawab terhadap undang-undang Liew Vui Keong mengumumkan bahawa kabinet telah memutuskan untuk menghapuskan hukuman mati di negara itu tanpa pengecualian.

"Malaysia baru, wajah baru, harapan baru di mana setiap orang mempunyai hak untuk hidup, ia selaras dengan konvensyen yang diterima di peringkat antarabangsa mengenai hak asasi manusia,” tambah menteri itu kepada BeritaBenar.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman pada Oktober lalu, terdapat kira-kira 1,200 daripada 59, 245 tahanan yang sedang berada di dalam penjara sedang menunggu hukuman mati.

Sehingga kini, pegawai kerajaan yang dihubungi oleh BeritaBenar tidak memberi sebarang respons terhadap rayuan oleh ahli keluarga mangsa yang dibunuh.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.