Hukuman Mati Ke Atas Rakyat Malaysia Cetus Debat Mengenai Penghapusan Amalan Itu
2021.11.12

KEMASKINI pada 9.30 pagi waktu tempatan ETS - 2021-11-15
Video menunjukkan seorang ibu kepada sembilan anak meraung dan merayu supaya diberikan peluang hidup selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh sebuah mahkamah di Malaysia telah menarik perhatian dunia serta mencetuskan debat di negara itu berkenaan penghapusan hukuman mati.
Satu lagi kes membabitkan lelaki rakyat Malaysia - yang dikatakan mempunyai masalah kebolehan berfikir - yang kini menunggu hukuman serupa di Singapura turut mendapat kritikan antarabangsa serta rayuan ramai supaya hukuman itu ditarik semula.
Dobby Chew, penyelaras eksekutif Jaringan Anti Hukuman Mati Asia, berkata dengan rakyat Malaysia kini terpaksa menghadapi realiti jelik hukuman mati melalui dua kes tersebut, isu berkenaan boleh dibicangkan dalam cara yang lebih berperikemanusiaan dan rasional.
"Saya rasa bahawa kes ibu tunggal anak sembilan yang dijatuhi hukuman mati, serta terkini, kes di mana seorang lelaki kekurangan upaya intelek di Singapura [menunggu] dihukum mati, telah membawa kepada perbincangan lebih positif mengenai isu hukuman mati," Chew memberitahu BenarNews.
"Sebelum ini, orang ramai tidak melihat sisi jelik hukuman mati namun kini mereka dapat melihatnya dengan jelas di depan mereka."
Hairun Jalmani, seorang wanita berusia 55 tahun dan mempunyai sembilan orang anak, telah dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah di negeri Sabah pada bulan lepas, selepas ibu tunggal itu disabitkan bersalah kerana memiliki dan mengedar 4 auns metamfetamin pada tahun 2018.
Nagaentharan K. Dharmalingam, 33, dijatuhkan hukuman serupa di Singapura pada 2010 kerana menyeludup 1.5 auns heroin. Hukuman itu dijadualkan pada minggu ini namun terpaksa ditangguhkan selepas lelaki itu disahkan positif COVID-19.
Sementara peluang untuk Nagaentharan selamat dari tali gantung adalah tipis, kes Hairun di Malaysia mempunyai sedikit kelebihan memandangkan moratorium terhadap hukuman mati di negara itu sejak 2018.
Moratorium itu dikenakan ketika kerajaan progresif Pakatan Harapan memerintah Malaysia, di mana ia menyatakan bahawa langkah untuk menghentikan hukuman mati akan dimulakan. Kerajaan berkenaan menggelar tindakan itu sebagai satu perkara yang betul untuk dilakukan bagi "Malaysia baru".
Kerajaan Pakatan Harapan, bagaimanapun telah membuat pusingan U terhadap keputusan itu. Pada 2019, ia mengumumkan bahawa hukuman mati akan dikekalkan tetapi ia tidak akan menjadi hukuman mandatori dalam undang-undang, yang mana akan membolehkan hakim menentukan jenis hukuman yang bersesuaian terhadap pesalah.
Dua tahun sebelum itu, Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dipinda, kata peguam dan bekas timbalan pendakwa raya Samantha Chong kepada BenarNews.
Dalam pindaan tersebut, sekiranya kes menepati syarat tertentu, seperti tiada bukti adanya aktiviti jual beli dadah, mahkamah hanya boleh menghukum seseorang pesalah dengan penjara seumur hidup, "serta hukuman sebat tidak kurang 15 kali sekiranya syarat-syarat dipenuhi," kata Chong.
Walaupun dengan pindaan terhadap undang-undang dadah Malaysia yang telah berusia 69 tahun, mahkamah negara itu bagaimanapun terus menerus menjatuhkan hukuman mati kerana tidak ada pilihan lain di bawah undang-undang.
Ahli Parlimen UMNO gesa hapus hukuman mati
Menurut statistik sejak tahun 2019 - yang terkini boleh didapati orang awam - seramai 1,281 individu berada di 26 pusat tahanan di seluruh negara bagi menanti untuk digantung, iaitu cara hukuman mati dilaksanakan di Malaysia.
Amnesty International, yang menjalankan kajian pada 2019 mengenai mengapa Malaysia patut menghapuskan hukuman mati, melaporkan bahawa kebanyakan daripada pesalah itu telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan berkaitan dadah.
"Dari jumlah keseluruhan, 73 peratus daripada mereka disabitkan atas kesalahan mengedar dadah. Angka ini naik mendadak kepada 95 peratus dalam kes pesalah wanita," kata Amnesty dalam laporannya.
"Berdasarkan maklumat yang terhad yang boleh didapati, ia menunjukkan bahawa kebanyakan daripada pesalah yang menanti dihukum mati adalah mereka yang datang dari latar belakang ekonomi yang kurang baik."
Situasi mereka adalah seperti apa yang digambarkan oleh Amnesty pada 18 Okt, tiga hari selepas hukuman ke atas Hairun diumumkan, bahawa "takdir hidup telah dipaksakan ke atas dirinya."
"Beliau adalah ibu tunggal di negeri termiskin di Malaysia, yang cuba menyara 9 orang anak. Kes beliau adalah contoh bahawa hukuman mati di Malaysia menghukum orang miskin dengan diskriminasi lebih spesifik kepada golongan wanita," kata badan pemerhati hak asasi manusia itu.
"Wanita yang terpaksa menghadapi keganasan, penderaan, dan eksploitasi "mempunyai peluang amat sedikit atau tiada langsung peluang untuk semua faktor berkenaan diambil kisah sewaktu hukuman dijatuhkan," tambah Amnesty.
"Polisi mengenai dadah yang ada sekarang telah gagal mengambil kira faktor sosioekonomi yang meningkatkan risiko yang membawa kepada individu menyalahguna serta mengedar dadah, termasuk masalah kesihatan, tidak mendapat peluang pelajaran, tiada pekerjaan, kekurangan perumahan, kemiskinan dan diskriminasi," kata Amnesty.
BenarNews telah menghubungi pejabat Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mendapatkan komen, namun pegawai media beliau berkata bahawa satu kenyataan akan dikeluarkan apabila menteri itu bersedia untuk bercakap mengenainya.
Chew dari Jaringan Anti Hukuman Mati Asia bersikap optimistik bahawa hukuman mati di Malaysia akan dapat dihentikan di masa hadapan, bermula dengan menghentikan hukuman tersebut buat kesalahan dadah.
"Kita mempunyai pendokong kuat dalam usaha menghapuskan hukuman ini dari dua parti politik utama di negara ini," kata beliau.
Awal minggu ini, Nazri Abdul Aziz, seorang pemimpin kanan dalam parti pemerintah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu telah menggesa kerajaan supaya menghapuskan hukuman mati untuk kesalahan berkaitan dadah, dan menyatakan bahawa hukuman itu selalunya dikenakan kepada orang biasa dan bukannya raja dadah.
"Kita berada dalam kedudukan yang mampu untuk menghapuskan hukuman mati," Nazri memberitahu Parlimen.
"Kita ada kuasa untuk duduk berbincang dan menghentikan ini."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.