Malaysia Mahu Mansuhkan Hukuman Mati Mandatori, kata Menteri
2018.10.10
Kuala Lumpur, Malaysia
Malaysia memberi kejutan kepada sambutan Hari Anti-Hukuman Mati Sedunia dengan mengumumkan keputusannya untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, dengan Jemaah Menteri Kabinet bersedia membentangkan usul pemansuhan itu di persidangan Parlimen minggu depan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perundangan, Liew Vui Keong, pada Rabu mengumumkan keputusan tersebut selepas mesyuarat kabinet awal pagi, sambil berkata kajian mengenai penghapusan hukuman mati yang dibuat sebelum ini telah dibentangkan di mesyuarat berkenaan.
"Semua hukuman mati akan dihapuskan. Itu saja.
“Kita perlu melihat dan mendengar pandangan semua, tetapi seperti yang dinyatakan hari ini (Rabu), keputusannya adalah untuk menghapuskan hukuman mati," kata menteri itu kepada media selepas Sesi Perbincangan Pembaharuan Undang-undang di Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
Liew mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa pemansuhan hukum mati mandatori itu merangkumi semua jenayah yang kini dikenakan hukuman mati.
Menteri itu berkata sebelum pemansuhan hukuman mati dibuat secara rasmi, perlu ada penangguhan bagi tahanan yang telah dijadualkan untuk menjalani hukuman itu.
"Moratorium bagi hukuman mati perlu dilaksanakan terlebih dahulu supaya hukuman mati yang akan dijatuhkan boleh dihentikan,"
Di bawah undang-undang Malaysia, terdapat 17 kesalahan jenayah yang membawa kepada hukuman mati termasuk melancarkan serangan terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan Raja, keganasan, pembunuhan, percubaan untuk membunuh ketika menjalani hukuman penjara seumur hidup, pembunuhan mangsa semasa diculik, pengedaran dadah, memiliki dan menggunakan senjata api serta merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.
"Malaysia baru, wajah baru, harapan baru di mana setiap orang mempunyai hak untuk hidup, ia selaras dengan konvensyen yang diterima di peringkat antarabangsa mengenai hak asasi manusia,” tambah menteri itu kepada BeritaBenar.
Hapuskan syarat tahanan teruk
Beberapa jam sebelum pengumuman itu dibuat, Amnesty International mengeluarkan kenyataan sempena Hari Anti-Hukuman Mati Sedunia yang turut melancarkan kempen baru dalam usaha untuk memberi tekanan kepada Malaysia dan empat negara lain supaya menamatkan penahanan tidak berperikemanusiaan dan hukuman mati ke atas banduan.
"Hakikat bahawa sesetengah kerajaan memberitahu banduan dan sanak saudara mereka beberapa hari atau, dalam beberapa kes, beberapa saat sebelum hukuman mati dilaksanakan adalah kejam.
“Semua kerajaan yang mengekalkan penalti hukuman mati perlu segera menghapuskannya dan menghentikan syarat-syarat penahanan yang teruk yang terpaksa dihadapi oleh banduan yang berdepan dengan hukuman mati,” kata Stephen Cockburn, Timbalan Pengarah Program Isu-isu Global Amnesty International.
Selain daripada Malaysia, kempen itu juga menyasar negara seperti Belarus, Ghana, Iran, Jepun yang menurut mereka, mengekalkan "kekejaman hukuman mati.”
Sejajar dengan perkembangan mendadak di negara ini, jurucakap Amnesty International di Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa mereka juga terkejut dengan pengumuman itu.
"Kami baru saja mendapat berita itu, kami sedang memprosesnya," kata Nisshanthan Dhanapalan dari Amnesty International di Kuala Lumpur.
Pengumuman pada Rabu itu dibuat tepat 100 hari selepas kerajaan mengumumkan bahawa 17 tahanan yang sedang menanti hukuman mati telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan daripada kajian semula penalti hukuman mati mandatori yang mula dibuat pada 2 Julai lepas.
Pada 7 Oktober lepas, Menteri Undang-undang itu memberitahu agensi berita nasional Bernama bahawa kajian mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori itu berada pada peringkat terakhir sebelum dibentangkan ke kabinet pada Rabu.
"Bagi saya secara peribadi, dalam kes dadah ini kadang kala kita terlebih keras terhadap mereka yang dianiayai atau menjadi keldai dadah dan undang-undang kita terhadap sesiapa didapati bersalah mengedar dadah lebih daripada jumlah yang ditetapkan (Di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952) adalah hukuman mati mandatori.
"Saya rasa ia tidak adil kepada mereka dan setakat ini hakim diberikan pengkhususan untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak terhadap mereka yang didapati bersalah dibawah Seksyen 39B ADB 1952," kata Liew seperti dilaporkan Bernama.
Menurut Anggota Parlimen Batu Sapi itu, sekiranya pemansuhan hukuman mati mandatori ini dapat dimansuhkan, tumpuan akan diberikan kepada Seksyen 39B ADB 1952 dan mereka yang didapati bersalah melakukan jenayah tertentu akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
"Tetapi bagi jenayah lain seperti membunuh dan pengganas yang menceroboh kedaulatan negara seperti tragedi berlaku di Tanduo Lahad Datu hingga menyebabkan kematian penduduk kampung dan anggota pasukan keselamatan, perkara ini kita kena pertimbangkan," katanya.
Beliau berkata ini bagi memastikan mereka yang ditangkap kerana melakukan kesalahan itu dijatuhkan hukuman yang setimpal.
Di Malaysia, hukuman gantung sampai mati dijatuhkan ke atas pesalah yang membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah yang ditetapkan dan mereka yang melakukan kesalahan bersabit pemilikan senjata api.
Kerajaan perlu timbang semula
Sementara itu, Geshina Ayu Mat Saat, seorang penganalisis kriminalogi di Universiti Sains Malaysia meminta kerajaan untuk menimbang semula keputusan itu dengan mengatakan beberapa penjenayah yang ganas layak mendapat hukuman mati.
"Memasukkan mereka di dalam penjara, hanya untuk melepaskan mereka kembali ke masyarakat bukan sesuatu yang baik untuk keselamatan awam, terutamanya bagi penjenayah yang sentiasa melakukan jenayah atau menganggapnya sebagai kerjaya,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Geshina juga mempersoalkan kesediaan sistem penjara untuk menampung kemasukan banduan yang menjalani hukuman mati dengan memberi sebab ‘ia akan menambah tekanan kepada infrastruktur dan tenaga kerja’.
"Kita harus proaktif dengan melihat ke akar umbi mengapa jenayah itu dilakukan dan tidak bersikap reaktif apabila seseorang menjadi mangsa," katanya.