Malaysia 'Menjenayahkan' Kebebasan Bersuara, Kata Pemerhati Hak Asasi

Staf BeritaBenar
2015.10.26
151026-MY-RALLY620 Seorang penuntut Universiti Malaya memegang sepanduk semasa perhimpunan menentang Akta Hasutan Malaysia di kampusnya di Kuala Lumpur. 10 September 2014.
AFP

Kebebasan bersuara dan perdebatan awam menjadi semakin sempit di Malaysia apabila kerajaan menggunakan undang-undang untuk menyekat pendapat dan kritikan terhadap dasar-dasarnya, kata Human Rights Watch (HRW) yang berpejabat di Amerika Syarikat dalam satu laporan yang diumumkan pada Selasa di Kuala Lumpur.

Laporan tersebut, "Mewujudkan Budaya Takut: Menjenayahkan Kebebasan Bersuara Secara Aman di Malaysia," mengkaji pelbagai undang-undang berkaitan kebebasan bersuara, perdebatan dan perhimpunan di Malaysia yang telah diperketatkan, diperkenalkan atau dihidupkan semula sejak Perdana Menteri Najib Razak mengambil alih jawatan pada 2009 - khususnya Akta Hasutan, yang mana beliau telah berikrar untuk menghapuskannya, kata HRW.

Laporan itu juga menyorot trend penyalahgunaan proses undang-undang, seperti tahan reman yang tidak berasas, dan corak pendakwaan secara terpilih, kata HRW.

"Kebebasan bersuara dan berhimpun di Malaysia pada masa ini diserang, dibantu oleh kewujudan undang-undang yang mengandungi interpretasi yang luas, namun samar, yang membolehkan kerajaan untuk menangkap, menyiasat, dan memenjarakan pengkritik.

Penggunaan undang-undang yang menjenayahkan kebebasan bersuara semakin meningkat. Ini merupakan tindakan yang boleh memundurkan kebebasan dan hak asasi bagi rakyatnya; walaupun kerajaan sering menyatakan kepada dunia bahawa ia telah membawa kemajuan dalam melindungi hak asasi rakyatnya, menurut salinan awal laporan tersebut yang dikeluarkan kepada BeritaBenar.

HRW akan melancarkan laporan itu pada sidang berita 10.30 pagi pada Selasa (waktu tempatan) di Park Royal Hotel, Kuala Lumpur.

"Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Malaysia telah berkali-kali mungkir janji untuk menyemak semula undang-undang yang menjadikan kebebasan bersuara secara aman sebagai jenayah. Sebaliknya, Malaysia sewenang-wenangnya telah menghukum para pengkritik, "kata Brad Adams, Pengarah Asia di Human Rights Watch, dalam satu kenyataan sebelum laporan itu dikeluarkan.

"Kerajaan mempersendakan dakwaannya tentang demokrasi dan hak asasi apabila ia menganggap kritikan itu sebagai satu jenayah," kata beliau.

Menyekat tindakan penentang

Tindakan keras terhadap kebebasan bersuara dilakukan susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam undi popular pada pilihan raya umum 2013.

Ia terus dipertingkatkan sejak beberapa tahun lepas di tengah-tengah kritikan umum terhadap penahanan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat, tindak balas orang ramai terhadap cukai baru ke atas barang dan perkhidmatan, dan skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membawa desakan supaya Najib meletakkan jawatan, kata HRW.

Pada April lalu, seramai 114 orang telah dipenjarakan atas dakwaan hasutan kerana mengkritik kerajaan, dalam apa yang terbukti menjadi tindakan keras paling besar terhadap penentang di seluruh negara sejak 1987. Pemimpin pembangkang, aktivis masyarakat sivil dan wartawan adalah antara mereka yang ditangkap kerana menghasut.

Ini termasuk Zulkifli Anwar Ulhaque, kartunis yang lebih dikenali sebagai Zunar, yang mungkin menghadapi hukuman penjara selama 43 tahun bagi sembilan tuduhan hasutan, jika sabit kesalahan. Lakaran kartun Zunar, yang diminta oleh Human Rights Watch, menghiasi kertas kulit laporan itu.

Pada April lalu, Parlimen Malaysia telah meminda Akta Hasutan untuk memasukkan hukuman lebih berat bagi ucapan yang dianggap menghasut, dan ucapan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina agama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.