Follow us

Laporan Hak Asasi 2016 Jabatan Negara Amerika Terbit 36 Mukasurat Mengenai Malaysia

Ray Sherman
Kuala Lumpur
2017-03-06
E-mel
Komen
Share
Sekumpulan Orang Asli Malaysia berpakaian "baju kuning" semasa menghadiri perhimpunan oleh kumpulan reformis BERSIH di Kuala Lumpur, 19 November, 2016.
Sekumpulan Orang Asli Malaysia berpakaian "baju kuning" semasa menghadiri perhimpunan oleh kumpulan reformis BERSIH di Kuala Lumpur, 19 November, 2016.
AFP

Jabatan Negara Amerika Syarikat minggu lepas telah menyiarkan laporan hak asasi manusia bagi tahun 2016 dengan menegur bahawa Malaysia telah melanggar beberapa hak asasi kemanusiaan, antaranya, penahanan tanpa bicara, kematian dalam tahanan dan penyeludupan manusia.

Dalam laporan yang dikeluarkan Jumaat lepas yang menyenaraikan butir-butir hak asasi meliputi 200 buah negara telahpun dikemukakan kepada Kongres Amerika, kata Setiausaha Negara Rex Tillerson.

Laporan ke-41 yang boleh dibaca oleh orang awam itu turut menerbitkan sebanyak 36 mukasurat mengenai Malaysia yang didakwa mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara individu, pertubuhan tertentu dan media.

Menurut laporan Jabatan Negara itu, terdapat 50 kematian dalam tahanan polis sejak tahun 2013 sehingga April tahun lepas, tetapi menurut polis, hanya satu daripadanya disebabkan oleh penderaan polis.

"Menurut aktivis sivil, angka sebenarnya ialah lebih tinggi daripada versi yang disebut pihak berkuasa,” menurut laporan itu.

"Pada ketika sebuah skandal kewangan melibatkan kerajaan pada tahun 2014 berlaku, penyebar maklumat dan pengkritik kerajaan telah menghadapi penapisan, intimidasi oleh pihak polis, penyiasatan, beserta tuduhan jenayah.

"Media cetak dan elektronik tidak menyiarkan berita mengenai skandal tersebut, tetapi media atas talian, yang menawarkan liputan yang lebih bebas dan kritikal terhadap kerajaan, telah menjadi sasaran  serta gangguan dari pihak berkuasa. Ini telah menyebabkan sebuah portal media ditutup," kata laporan itu.

Kenyataan itu merujuk kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat.

Beberapa individu, mahupun portal berita atas talian yang menyiarkan berita mengenai skandal berkenaan, dan kaitannya dengan Perdana Menteri Najib Abdul Razak, telah dikenakan tindakan, termasuk penggantungan selama tiga bulan ke atas akhbar kewangan The Edge, kerana menyiarkan beberapa laporan berkaitan 1MDB.

Laporan Jabatan Negara itu kemudian turut menyebut bahawa pihak berkuasa Malaysia juga telah menangkap aktivis dan ahli politik pembangkang yang mengkritik kerajaan, dengan sewenang-wenangnya.

"Pihak polis juga menahan dan menuduh anggota parlimen pembangkang Rafizi Ramli atas kesalahan membongkar rahsia kerajaan, setelah beliau mengeluarkan sebahagian laporan audit oleh Ketua Audit Negara yang mengaitkan 1MDB dengan   kelewatan bayaran kepada veteran tentera.

Seterusnya, laporan berkenaan menyentuh gangguan yang dihadapi oleh para wartawan dan mereka yang bekerja dengan portal berita atas talian, termasuk portal Malaysiakini.

"Menurut undang-undang Malaysia, pemilik sesebuah percetakan diwajibkan memiliki permit yang sah, dan atas sebab ini, kebanyakan pencetak keberatan untuk mengkritik kerajaan.

"Kerajaan Malaysia juga pernah menolak untuk memberi lesen percetakan kepada syarikat yang memiliki portal berita yang mengkritik pihak pentadbiran. Ini seterusnya menyebabkan ketandusan kewartawanan penyiasatan, " menurut laporan itu lagi.

Selain itu, ia juga menyentuh mengenai bab kebebasan internet di Malaysia, yang menurut laporan berkenaan adalah "terhad" dan sentiasa diawasi kerajaan.

Cabaran yang dihadapi oleh Bersih 2.0, gabungan badan yang mahukan pilihanraya yang bersih, juga disebut dalam laporan itu.

Seterusnya, laporan tersebut berkata, kerajaan Malaysia secara umumnya bertoleransi terhadap pelarian, yang sebahagian besarnya dari Myanmar, untuk berada di dalam negara tersebut.

Juga disebut adalah proses persempadanan semula atau "gerrymandering" oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

Berkenaan rasuah, pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dicatatkan menangkap dan mendakwa beberapa pegawai kerajaan, tetapi tiada tindakan diambil terhadap individu-individu yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, yang namanya terpalit dalam rasuah.

"Orang Asli, yang populasinya seramai 180,000, adalah golongan termiskin di Malaysia. Mereka tidak memiliki tanah di mana mereka tinggal. Sebaliknya, kerajaan memberikan mereka peluang untuk mendiami sesetengah kawaan pendalaman tanpa sebarang dokumentasi. Oleh itu,  kerajaan boleh merampas balik tanah tersebut pada bila-bila masa, dengan hanya memberi pampasan kepada penduduk di situ.

"Terdapat juga beberapa insiden di mana Orang Asli telah berkonfrontasi dengan syarikat pembalakan yang beroperasi di kawasan mereka." tambah laporan itu.

Seterusnya Malaysia juga dicatat dalam laporan itu  sebagai tidak memberi layanan baik kepada  golongan LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transsexual).

"Malah, hukuman terhadap LGBT adalah asas kepada pemenjaraan ahli politik pembangkang Anwar Ibrahim, yang sedang meringkuk dalam penjara selama lima tahun, atas kesalahan sodomi dengan bekas penolongnya.

Penyokong Anwar dan pihak pembangkang berkata tuduhan terhadap Anwar adalah tidak benar, dan bersifat politik.
Menurut laporan tersebut, sesetengah pekerja asing menjadi mangsa eksploitasi oleh majikan atau agensi pekerjaannya.

"Kebanyakan pekerja asing ini diambil untuk bekerja oleh pihak ketiga, iaitu agensi atau syarikat pengambilan pekerja, dan ini menyebabkan pihak ketiga itu lebih berkuasa menentukan nasib pekerja tersebut, berbanding majikan pekerja asing.

"Sesetengah pihak merampas paspot pekerja asing, yang kemudiannya dipaksa bekerja sehingga selesai  melangsaikan hutang untuk membawa mereka masuk ke negara itu. Pekerja seperti itu akan dipaksa bekerja lebih lapan jam, dibayar gaji yang lebih rendah daripada yang dijanjikan dan ditempatkan di penempatan yang berkeadaan teruk."

Ada juga pihak majikan yang tidak menghormati undang-undang buruh dengan membenarkan tempoh bekerja yang panjang, memberi gaji minima yang banyak terdapat di dalam sektor perkhidmatan, tambah laporan berkenaan.



Lihat Laman Penuh