Follow us

Geng Husen Maungdaw Dalang Bawa Masuk Rohingya ke Malaysia Ditahan

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-30
E-mel
Komen
Share
Sekumpulan nelayan tempatan Aceh menolong pelarian Rohingya turun dari bot untuk dibawa ke Pantai Lancok, Aceh Utara, Indonesia, 25 Jun 2020.
Sekumpulan nelayan tempatan Aceh menolong pelarian Rohingya turun dari bot untuk dibawa ke Pantai Lancok, Aceh Utara, Indonesia, 25 Jun 2020.
[AFP]

KEMASKINI pada 5.00 petang waktu tempatan ETS - 2020-06-30

Pihak berkuasa Malaysia mengatakan bahawa mereka telah menumpaskan sindiket jenayah, diketuai oleh seorang lelaki Rohingya yang fasih berbahasa Melayu dan bertanggungjawab terhadap penyeludupan ratusan etnik Rohingya ke Pulau Langkawi di utara Semenanjung Malaysia sepanjang tahun ini, termasuk 269 yang mendarat pada 8 Jun lepas.

Selain itu, sumber keselamatan Malaysia memberitahu BeritaBenar yang Putrajaya tetap akan menghantar 269 pelarian Rohingya kembali ke Bangladesh, tempat bermulanya perjalanan laut mereka, tetapi negara berkenaan menolak untuk menerima mereka kerana "kawasan penempatan yang sudah penuh."

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Huzir Mohamad berkata sindiket yang dikenali sebagai geng Husen Maungdaw aktif melakukan jenayah pemerdagangan etnik berkenaan sejak 2014 lagi, dan kumpulan berkenaan dipanggil dengan nama sedemikian kerana ketua kumpulannya bernama Husen dan berasal dari Maungdaw, iaitu sebuah bandar di wilayah Rakhine, Myanmar.

“Kumpulan Husen Maungdaw aktif di perairan utara Semenanjung dan Pulau Pinang, menyeludup migran dan samun dari tahun 2014 sehingga kini di mana ianya diketuai lelaki Rohingya yang dikenali sebagai ‘Husen Maungdaw' dengan keahlian kumpulan itu dianggarkan seramai 19 orang,” katanya pada satu sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata dalang utama serta beberapa ahli kumpulannya pernah beberapa kali ditahan atas kesalahan jenayah pemerdagangan manusia dan samun juga pernah dituduh di mahkamah tetapi mereka masih terus melakukan kesalahan sama berulang kali.

"Kesemua mereka ditahan secara berperingkat… Dalang utama sindiket fasih berbahasa Melayu adalah antara yang terawal ditahan dalam operasi berkenaan. Sindiket ini bertanggungjawab untuk pendaratan bot etnik Rohingya di Langkawi," kata Huzir merujuk kepada 269 etnik Rohingya yang dibenarkan mendarat di Langkawi pada awal Jun selepas bot yang dinaiki mereka bocor dan nyaris tenggelam.

Sementara itu, menurut sumber yang arif dengan modus operandi sindiket Maungdaw memberitahu BeritaBenar yang dalang utama kumpulan itu ditahan di Kajang, Selangor pada 4 Jun.

"Dalang utama seorang warga Rohingya yang memiliki kad agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu UNHCR serta sudah berkahwin dan lama menetap di Malaysia. Sindiket ini adalah tekong darat, di mana mereka akan menguruskan ketibaan etnik Rohingya ke Malaysia melalui jalan laut di utara Malaysia, iaitu di Kedah dan Perlis dan mendalangi semua pendaratan bot Rohingya melalui Langkawi termasuk yang gagal mendarat, pernah diusir balik selain yang sudah mendarat di Acheh, Indonesia.

"Sebelum ini beberapa lelaki Rohingya yang merupakan ahli kumpulan tersebut dan menjadikan rumah kampung di Kedah sebagai transit pernah ditahan bersama mangsa penyeludupan manusia baru-baru ini," katanya sumber itu kepada BeritaBenar.

Hantar pulang Rohingya

Sementara itu seorang lagi sumber keselamatan Malaysia yang enggan dinamakan kerana tidak dibenarkan memberi komen secara terbuka menyatakan bahawa Malaysia tetap akan menghantar 269 pelarian kembali ke Bangladesh, tetapi negara berkenaan menolak untuk menerima mereka kerana "kawasan itu sudah penuh."

Oleh itu, tarikh perjalanan pulang tersebut belum dapat ditetapkan, kata sumber itu, sambil menambah bahawa perbincangan dengan pegawai Bangladesh sedang diadakan.

"Tarikh belum dimuktamadkan kerana Malaysia sedang berbincang dengan Bangladesh, dan sudah mendapat kepastian bot yang tiba pada awal Jun itu berlayar dari Cox's Bazar. Jika ikut perancangan, kesemua mereka akan ditempatkan di penempatan yang disediakan kerajaan Bangladesh untuk etnik Rohingya namun penempatan itu juga sudah penuh dan itu adaklah masalahnya sekarang,” tambah sumber itu lagi

Seperti yang dilaporkan BeritaBenar pada awal Jun, Menteri Luar Bangladesh menolak cadangan Malaysia untuk menghantar pelarian berkenaan menaiki bot itu kembali ke negaranya.

“Etnik Rohingya adalah warganegara Myanmar dan Malaysia harus menghantar etnik Rohingya itu ke Myanmar dan bukannya ke Bangladesh. Jika tidak, mereka (Malaysia) boleh membiar etnik Rohingya itu berada di negara mereka sendiri,” kata Menteri Luar Negeri A.K. Abdul Momen kepada BeritaBenar.

"Kami tidak akan menerima etnik Rohingya lagi," katanya, sambil menegaskan bahawa pelarian itu bukanlah tanggungjawab Bangladesh.

Kira-kira 1 juta etnik Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine di Myanmar sedang diberi perlindungan di kem-kem pelarian di dan sekitar daerah Cox's Bazar di Bangladesh.

Penyiasat PBB  menuduh tentera Myanmar melakukan pembunuhan dan kekejaman lain terhadap etnik Rohingya tanpa kewarganegaraan semasa serangan 2017, hingga memaksa lebih daripada 730,000 etnik itu menyeberangi sempadan ke Bangladesh untuk menyertai ribuan orang lagi yang telah melarikan diri ke sana.

Dalam pada itu, Huzir memberitahu selain kumpulan Husen Maungdaw, Polis Bukit Aman juga berjaya menahan anggota Geng Otong dan Geng Halim di mana kumpulan-kumpulan ini menjalankan aktiviti jenayah pemerdagangan manusia di Johor dan Perak.

‘Geng Otong mempunyai lebih 51 ahli kumpulan aktif sejak 2014, diketuai seorang lelaki warga Indonesia dipanggil Otong yang menjalankan penyeludupan warga asing terutamanya Indonesia antara 500 dan 600 orang sebulan… Otong masih bebas dan sedang diburu pihak berkuasa," katanya.

Beliau memberitahu Geng Halim pula dianggotai kira-kira 13 orang didapati aktif dalam penyeludupan manusia di sekitar perairan Hutan Melintang, Perak sejak tahun 2017 sehingga kini

Katanya selain itu, seramai 24 pegawai penguatkuasa termasuk 17 pegawai polis, lima tentera dan dua imigresen yang terbabit dalam aktiviti sindiket pemerdagang manusia ini telah ditahan pihak berkuasa.

Katanya seramai 81 masing-masing 50 yang ditahan di Johor, 13 [Perak] dan 18 di Pulau Pinang akan dihadapkan ke mahkamah pada 2 Julai ini dengan kesemua mereka ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.


Lihat Laman Penuh