Malaysia berisiko tinggi dikenakan peraturan penebangan hutan EU

Sarawak didakwa rancang menebang 2.3 juta hektar hutan hujan bagi tujuan pembalakan dan ladang sawit, kata pertubuhan alam sekitar.
Iman Muttaqin Yusof
2024.09.24
Kuala Lumpur
Malaysia berisiko tinggi dikenakan peraturan penebangan hutan EU Keadaan kawasan hutan hujan yang telah digondolkan bagi tujuan pembalakan dilihat dari pemandangan udara di Kuala Kangsar, Perak, 4 Januari 2023 .
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kumpulan pejuang alam sekitar dan hak asasi manusia pada Selasa menggesa Kesatuan Eropah (EU) agar mengklasifikasikan negeri pengeksport kayu utama di Malaysia sebagai “berisiko tinggi” dikenakan tindakan di bawah peraturan kontroversi untuk membendung import hasil berkaitan penebangan hutan yang berkuat kuasa akhir tahun ini.

Banyak negara termasuk Amerika Syarikat telah menggesa EU supaya menangguhkan peraturan itu dengan mengatakan mereka mungkin akhirnya tidak dapat menggalakkan amalan mampan dengan kumpulan alam sekitar berkata hutan hujan yang luas dan hak-hak Orang Asli terancam di negeri Sarawak, Borneo Malaysia.

“Terdapat dua kebimbangan utama,” kata Luciana Téllez Chávez, seorang penyelidik kanan alam sekitar dan hak asasi manusia di Human Rights Watch kepada BenarNews.

“Sarawak merancang untuk menukar 2.3 juta hektar hutan hujan kepada pembalakan atau ladang kelapa sawit berdasarkan pajakan yang diberikan kepada syarikat.

“Kedua, kawasan yang agak besar daripada pajakan itu didapati menceroboh Tanah Adat Asli dan sememangnya masyarakat Orang Asli bergelut untuk memperoleh dan mengekalkan hak milik tanah mereka di bawah kerangka undang-undang semasa.” tambah beliau lagi.

Kumpulan pemerhati alam sekitar RimbaWatch sebelum ini memberi amaran bahawa hutan Sarawak, antara yang tertua di dunia dan menjadi penempatan ribuan komuniti Orang Asli telah dibersihkan pada keadaan yang membimbangkan.

Bagi tempoh antara 2017 dan 2021, Malaysia kehilangan 349,222 hektar hutan akibat penebangan hutan, dengan Sarawak dan Pahang masing-masing mengalami kadar tertinggi, kata RimbaWatch pada tahun lepas.

Kumpulan itu dalam kenyataan terbaru tahun ini juga menganggarkan bahawa sebanyak 16 peratus daripada hutan semula jadi di Malaysia berisiko disebabkan oleh konsesi yang diberikan kepada syarikat pembalakan.

Peraturan EU mewajibkan sesebuah syarikat membuktikan komoditi mereka tidak dihasilkan di atas kawasan tanah yang ditebang selepas Disember 2020 dan menilai risiko pelanggaran hak asasi manusia berkaitan dengan pengeluaran.

Kegagalan untuk memenuhi keperluan itu boleh mengakibatkan syarikat didenda atau dikenakan larangan import.

Peraturan itu akan digunakan untuk pelbagai barangan termasuk minyak sawit, kayu, kopi dan getah.

Penebangan hutan secara meluas

Human Rights Watch (HRW) dan kumpulan alam sekitar lain dalam kenyataan pada Selasa berhujah bahawa amalan perhutanan Sarawak melanggar hak Orang Asli dan menyumbang kepada penebangan hutan secara meluas dan merayu EU agar mempertimbangkan petisyen mereka.

“Undang-undang Sarawak gagal menegakkan hak Orang Asal untuk memiliki, menggunakan dan mengawal wilayah tinggalan nenek moyang mereka,” dakwa mereka dalam satu kenyataan bersama.

“Negeri mempunyai keupayaan untuk membatalkan hak milik tanah Orang Asal secara unilateral tanpa persetujuan atau pampasan.”

Peruntukan undang-undang negeri membenarkan syarikat beroperasi di kawasan tanpa kajian lengkap mengenai hak tanah Orang Asli, menyerahkan tanggungjawab kepada syarikat yang sering mengabaikan tuntutan sedemikian tanpa dikenakan penalti, kata mereka.

Tambahan pula, kumpulan itu mendakwa bahawa tidak ada keperluan bagi syarikat untuk mendapatkan persetujuan daripada masyarakat Orang Asli sebelum menjalankan aktiviti di atas tanah mereka.

Program pensijilan yang memerlukan persetujuan telah dibelenggu oleh ketidakpatuhan, pengauditan pilihan, penguatkuasaan yang tidak mencukupi dan kekurangan bantuan untuk komuniti yang terjejas, kata mereka.

Menurut mereka, peta guna tanah yang tepat dan terkini tidak tersedia secara umum menyebabkan masyarakat Orang Asli tidak tahu tentang pencerobohan ke atas wilayah mereka.

Helmy Othman, pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengkritik risiko petisyen klasifikasi itu dengan mengatakan bahawa semua negara diberi penarafan risiko standard.

“Soal [Sarawak] diberi kategori risiko berbeza tidak timbul…kategori risiko adalah berdasarkan negara,” katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, Chávez pula menolak pandangan itu dengan merujuk Perkara 29 Peraturan EU, yang membenarkan kawasan tertentu dalam sesebuah negara diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.

“Suruhanjaya [EU] mengikuti proses yang ditetapkan oleh undang-undang yang memerlukannya untuk menjalankan penanda aras di mana mereka telah berkata ia akan dimuktamadkan pada akhir tahun ini,” katanya.

“Kami [telah] bertemu dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Minyak Sawit Mampan Malaysia pada November 2023 dan menghantar surat ini kepada mereka pada Mei lalu tetapi masih belum menerima jawapan balas.”

Perbadanan Perhutanan Sarawak dan Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia tidak menjawab pertanyaan BenarNews berhubung dakwaan kumpulan hak asasi itu.

Pejabat media EU Malaysia juga tidak memberikan jawapan segera ketika ditanya mengenai tindakan mereka berikutan petisyen tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Perhutanan Sarawak dalam laporannya berkata kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan ladang hutan seluas satu juta hektar menjelang 2025 selaras dengan kempen hijau negeri itu melalui penanaman 35 juta batang pokok.

“Penubuhan industri perladangan hutan dengan spesies yang berkembang pesat bertujuan untuk mengurangkan pergantungan kepada sumber kayu daripada alam semula jadi hutan serta menambah bahan mentah untuk industri berasaskan kayu di Sarawak,” kata laporan itu.

Peraturan tidak realistik

Laporan media tempatan pada Mei lalu memetik Timbalan Premier negeri itu, Awang Tengah Ali Hasan berkata hutan di Sarawak masih luas dan kekal pada keluasan 7.65 juta hektar atau 62 peratus iaitu penyumbang terbesar kawasan liputan hutan di Malaysia.

Malaysia bersama-sama Indonesia dan Brazil telah menjadi antara penentang yang paling lantang, mendakwa bahawa EU telah gagal berunding secukupnya dengan negara pengeluar sawit tentang kesan undang-undang tersebut.

Negara Asia Tenggara itu pada minggu lalu berhujah bahawa garis masa yang diberikan oleh EU adalah 'tidak realistik' dan peraturan itu boleh membahayakan petani berskala kecil secara tidak adil.

“Suruhanjaya EU mesti mematuhi gesaan yang semakin meningkat untuk menangguhkan pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

“Penangguhan adalah satu-satunya laluan yang bertanggungjawab ke hadapan untuk melindungi petani kecil, menyediakan kestabilan kepada perniagaan dan memberi kerajaan masa yang mereka perlukan untuk membuat persediaan,” kata Belvinder Sron, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia dalam satu kenyataan pada minggu lepas.

“Pelaksanaan yang terburu-buru pada Januari tahun depan akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.”

Meskipun tekanan kian meningkat, EU telah menolak gesaan daripada beberapa industri dan negara untuk menangguhkan dasar tersebut, menurut agensi berita Reuters pada Julai.

EU mengulangi bahawa ia tidak akan menangguhkan pelaksanaan peraturan utamanya untuk memerangi penebangan hutan, katanya.

Belanda, Jerman, Perancis dan Belgium berada dalam kedudukan antara 10 pembeli teratas produk kayu Malaysia yang disahkan, menurut laporan pada 2022 daripada Majlis Pensijilan Kayu Malaysia.

EU merupakan destinasi ketiga terbesar untuk eksport minyak sawit Malaysia, data yang ditunjukkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.