Kumpulan Muslim Gesa Kerajaan ‘Tegas’ Lindungi Keistimewaan Orang Melayu

Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.12.03
Kuala Lumpur, Malaysia
181213-MY-temple-1000.jpg Sebuah kenderaan musnah terbakar di luar pejabat pemaju hartanah MCT Berhad di Subang, di negeri Selangor, selepas kekecohan berlaku berhubung pertikaian mengenai penempatan semula sebuah kuil Hindu, 27 November 2018.
[AP]

Beberapa kumpulan konservatif Muslim pada Isnin menggesa kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad supaya terus melindungi hak keistimewaan majoriti etnik Melayu selepas beliau menarik balik janjinya untuk meratifikasi satu dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai diskriminasi kaum.

Pada 23 Nov, Mahathir menarik balik janji yang dibuat semasa kempen untuk menyokong Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di tengah-tengah kecaman para pengkritik yang menyatakan kebimbangan mereka bahawa ia boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan ringkas pada 10 hari lalu, mengesahkan bahawa kerajaan tidak menyokong konvensyen PBB itu dan akan terus mendukung Perlembagaan. Ia tidak memberikan sebarang sebab bagi keputusan itu.

Selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengumumkan pada  Isnin bahawa ia meluluskan permohonan kumpulan konservatif itu untuk mengadakan perhimpunan bagi menentang konvensyen PBB tersebut pada 8 Dis, penganjur perhimpunan berkenaan berkata, adalah tidak mencukupi bagi Mahathir untuk membuat pengumuman itu menerusi kenyataan media yang ringkas.

"Kami mahu kerajaan membuat satu kenyataan tegas di Parlimen ... di hadapan semua penggubal undang-undang," kata Aminuddin Yahaya, pengerusi Gerakan Pembela Ummah, sebuah badan bukan kerajaan Islam, kepada BeritaBenar. "Kerana nampaknya, mereka mudah mengubah keputusan yang dibuat."

Aminuddin merujuk kepada ucapan Mahathir di hadapan Perhimpunan Agung PBB pada September di mana beliau berkata Malaysia akan meratifikasikan semua konvensyen yang berkaitan dengan hak yang masih belum diterima pakai termasuk ICERD.

Mahathir menarik balik keputusan itu baru-baru ini susulan latar politik berasaskan kaum di Malaysia, yang menimbulkan keraguan tentang ratifikasi terhadap perjanjian lain.

Negara yang pelbagai etnik itu telah meratifikasi tiga daripada sembilan konvensyen teras berkaitan hak iaitu Konvensyen PBB mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita; Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya dan Konvensyen PBB mengenai Hak Anak.

Minggu lalu, Mahathir memberitahu portal berita Free Malaysia Today bahawa beliau masih ingat dengan jelas tentang apa yang diperkatakan dalam ucapannya pada persidangan PBB di New York, dan menolak komen bahawa pengumumannya tentang ICERD akan diubah.

"Semasa saya bercakap di PBB, saya masih ingat dengan jelas, saya berkata bahawa kita akan meratifikasi semua konvensyen PBB. Tetapi, saya menekankan bahawa kita adalah negara yang berbilang-bilang kaum dan berbilang-bilang agama. Kita akan menghadapi masalah dengan perkara itu," katanya. "Jadi sekarang, masalah yang kita jangkakan itu telah berlaku, dan kita perlu menanganinya."

Mahathir, 93, ditemu bual sehari selepas polis Malaysia menahan 17 suspek susulan kekecohan yang berlaku di sebuah kuil Hindu di kawasan perbandaran Subang Jaya berhampiran Kuala Lumpur, di mana pihak berkuasa menggambarkan kejadian itu berlaku akibat pertikaian berhubung penempatan semula rumah ibadat tersebut.

Tujuh orang mengalami kecederaan selepas sekumpulan lelaki menyerang penganut Hindu selain beberapa kenderaan dimusnahkan, kata polis.

Beberapa diplomat dan penganalisis berkata bahawa kenyataan Mahathir untuk menarik balik janjinya meratifikasi konvensyen itu akan memberi kesan kepada imej negara di persada dunia berhubung kesediaan dalam memerangi perkauman.

"Negara mesti konsisten untuk menjadi model peranan global. Komitmen dan pematuhan hak asasi manusia akan menjadi pencetus perubahan di peringkat global," kata Denison Jayasooria, anggota Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar di Kementerian Luar kepada South China Morning Post.

"Kerajaan Pakatan Harapan berjanji melakukan perubahan tetapi sekarang ia berdepan dengan gesaan Melayu Muslim ke arah pemahaman dan pendekatan yang sempit," kata Denison. "Adalah penting bagi Pakatan Harapan - terutamanya para penggubal undang-undang Melayu Muslim - untuk berbincang dengan akar umbi  Melayu tentang bagaimana pematuhan hak asasi manusia adalah selaras dengan Islam dan tadbir urus yang baik."

ICERD, yang menjadikan anggotanya komited kepada penghapusan diskriminasi kaum dan menggalakkan pemahaman tentangnya di kalangan semua kaum, telah diterima pakai dan dibuka untuk ditandatangani oleh Perhimpunan Agung PBB pada 21 Dis 1965 dan mula berkuat kuasa pada 4 Januari 1969.

Sehingga Januari tahun ini, konvensyen itu ditandatangani oleh  88 negara dan 179 pihak. Malaysia, Myanmar dan Brunei adalah tiga negara Asia Tenggara yang belum menandatangani konvensyen tersebut.

Agama dan kaum sering menjadi tumpuan politik di Malaysia, yang separuh daripada kira-kira 33 juta orang penduduknya adalah terdiri daripada orang Melayu.

UMMAH dan NGO Melayu lain di Malaysia berpendapat bahawa peruntukan tertentu dalam konvensyen itu, yang bertujuan  menghapuskan diskriminasi kaum, adalah bertentangan dengan peruntukan perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan jawatan dan insentif khusus untuk etnik Melayu dan bumiputera lain termasuk peruntukan kuota institusi awam.

Insentif berkenaan tidak terpakai untuk etnik Cina dan India yang merupakan 27 peratus daripada penduduk Malaysia.

Perhimpunan kesyukuran


Perhimpunan pada 8 Dis, yang pada mulanya dirancang oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi menekan kerajaan untuk menolak ratifikasi konvensyen PBB itu, telah diubah menjadi perhimpunan kessyukuran susulan pengumuman Mahathir berhubung perkara itu, kata penganjur, yang memberitahu bahawa lebih 3,000 sukarelawan telah mendaftarkan diri untuk membantu memastikan pematuhan peraturan.

Jalan antara bangunan kolonial ikonik Kuala Lumpur iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka yang bersejarah itu akan ditutup mulai Jumaat bagi persiapan acara tersebut.

Walaupun adanya jaminan bahawa perhimpunan itu akan diadakan secara aman, namun penganjurannya selepas insiden kekocahan kuil Hindu di Subang Jaya telah mencetuskan kebimbangan walaupun dalam kalangan penyokong anti-ICERD, kata Teo Kok Seong, seorang penyelidik utama di Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Teo, seorang etnik Cina yang fasih berbahasa Malaysia dan lancar membaca Jawi, memberitahu BeritaBenar bahawa keadaan masih tegang selepas kekecohan di kuil itu minggu lepas.

"Saya berpendapat perhimpunan itu tidak perlu diadakan," katanya. "Satu perkataan yang berunsur provokatif boleh menyebabkan orang ramai bertindak liar."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.