PM Malaysia sokong pembinaan ibu negara baharu Indonesia, ikrar melabur

Anwar Ibrahim berkata projek itu dijangka merangsang pertumbuhan di Sabah dan Sarawak.
Tria Dianti
2023.01.09
Bogor, Jakarta
PM Malaysia sokong pembinaan ibu negara baharu Indonesia, ikrar melabur Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) memberi reaksi semasa berbual dengan Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo semasa pertemuan mereka di Istana Presiden di Bogor, Indonesia, 9 Jan, 2023.
[Willy Kurniawan/Reuters]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata negara itu menyokong pelaburan di ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur kerana ia akan merangsang pertumbuhan di Sabah dan Sarawak, dua negerinya yang terletak di Kepulauan Borneo.

Anwar berkata demikian semasa mengadakan lawatan negara pertamanya ke Indonesia sebagai PM dan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia telah menyatakan komitmen untuk melabur dalam pembinaan ibu negara baharu jiran mereka itu, yang sedang bergelut untuk menarik pelaburan.

“Saya berharap pertumbuhan ibu negara Nusantara juga akan memberi manfaat kepada Sarawak dan Sabah, lebih daripada apa yang boleh saya lakukan untuk kedua-dua negeri itu,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia Joko 'Jokowi' Widodo di Istana Presiden di Bogor.

“Kedekatan dan kepentingan ekonominya adalah penting. Rakan saya di Sarawak dan Sabah memuji inisiatif ini,” kata Anwar yang sedang dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke luar negara selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November lepas.

Undang-undang baharu yang diluluskan pada Januari 2022 menamakan ibu negara baharu Indonesia itu 'Nusantara,' yang secara umumnya bermaksud 'kepulauan.'

Anwar berkata potensi pelaburan yang diikrarkan oleh syarikat Malaysia di Nusantara bernilai RM1.66 bilion (AS$379 juta).

Selain itu, syarikat daripada kedua-dua negara memeterai memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang perkapalan, pembiayaan industri hijau dan pembangunan bateri untuk kenderaan elektrik.

Jokowi pula berkata syarikat Malaysia sedang melihat pelaburan dalam beberapa sektor termasuk elektronik, kesihatan, pengurusan sisa, pembinaan dan hartanah.

“Saya amat mengalu-alukan minat pelabur dalam pembinaan ibu negara baharu Nusantara,” kata Jokowi.

Pada Ogos 2019, Jokowi mengumumkan bahawa negara itu akan memindahkan ibu negaranya Jakarta yang begitu sesak dan hampir tenggelam sebahagiannya di Pulau Jawa ke Kalimantan Timur, sebuah wilayah berhutan tebal dengan jumlah penduduk yang sedikit di bahagian Indonesia yang terletak di Kepulauan Borneo.

Kerajaan Indonesia telah bergelut untuk menarik pelaburan bagi pembinaan ibu negara baharunya selepas konglomerat teknologi Jepun, Softbank, menarik balik rancangannya untuk melabur tahun lepas.

Pada Disember, Menteri Pelaburan Bahlil Lahadalia berkata Softbank membuat keputusan untuk menarik diri kerana kerajaan Indonesia menganggap cadangannya tidak adil.

“Cadangan yang dikemukakan [oleh Softbank], pada pendapat kami, hanya menguntungkan mereka, bukan Indonesia. Dan kami tidak mahu ditindas,” kata Bahlil kepada agensi berita rasmi Indonesia Antara.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia berkata ia telah mula membina jalan raya, jambatan dan sistem saliran di tapak ibu negara baharu itu.

Kos modal pembinaan ibu negara Indonesia itu, yang meliputi kawasan seluas 256,142 hektar (632,940 ekar) dianggarkan sebanyak AS$32.5 bilion dan 53 peratus daripadanya akan ditanggung oleh bajet kerajaan.

Agensi Perancang Pembangunan Negara mengunjurkan bahawa menjelang 2045, Nusantara akan mempunyai populasi 1.9 juta orang iaitu kira-kira 10 kali ganda angka semasa di kawasan itu. Penajam Paser Utara, kabupaten di mana kerusi kerajaan masa depan akan dibina, kini dihuni oleh kira-kira 180,000 orang.

Populasi Kalimantan Timur dijangka meningkat kepada 11 juta orang berbanding 3.7 juta ketika ini, menurut agensi itu.

Bagaimanapun, pakar alam sekitar memberi amaran bahawa langkah membersihkan hutan dan mengubahnya kepada ibu negara berpotensi mengundang bencana ekologi.

ASEAN ‘pusat’ kepada keamanan Indo-Pasifik

Indonesia dan Malaysia juga bersetuju pada Isnin bahawa Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara harus memainkan peranan utama dalam memastikan keamanan di Indo-Pasifik, kata Jokowi, susulan ketegangan AS-China yang semakin meningkat di rantau itu.

Selepas perbincangan dengan Anwar, Jokowi berkata kedua-dua negara bersetuju memeperkukuh ASEAN bagi memastikan kestabilan dalam apa yang digelar sebagai teater geopolitik bagi persaingan China-AS. Indonesia menjadi pengerusi blok serantau 10 negara itu pada 2023.

"ASEAN perlu memainkan peranan utama dalam mewujudkan Indo-Pasifik yang aman dan stabil," kata Jokowi.

Kedua-dua pemimpin juga menggesa junta Myanmar melaksanakan konsensus lima perkara ASEAN yang bertujuan memulihkan keamanan dan demokrasi di negara itu selepas pihak tentera menggulingkan kerajaan awam pada Februari 2021.

Junta Myanmar “bersetuju” dengan konsensus ASEAN itu pada April 2021 namun telah mengingkarinya.

Sejak itu, negara tersebut telah berdepan konflik sivil berdarah dan ramai penganalisis berkata keganasan hanya meningkat pada separuh kedua 2022. Lebih 2,700 orang maut manakala lebih 17,000 telah ditangkap di Myanmar, menurut badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Thailand iaitu Persatuan Bantuan Tahanan Politik.

Jokowi juga berkata Malaysia komited untuk menyediakan perlindungan kepada pekerja asing dari Indonesia di negara itu dan hak anak-anak mereka.

Dalam perkembangan lain, Indonesia dan Malaysia mencapai kata sepakat untuk memerangi apa yang disifatkan Jokowi sebagai “diskriminasi” terhadap minyak sawit melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC). Kedua-dua negara adalah pengeluar terbesar komoditi itu.

Suruhanjaya Eropah telah meluluskan langkah untuk menghapuskan biofuel berasaskan minyak sawit secara berperingkat menjelang 2030 susulan dakwaan yang mengaitkan ia dengan penebangan hutan sehingga menimbulkan kemarahan pengeluar minyak sawit di kedua-dua negara Asia Tenggara itu.

Mengalu-alukan kemajuan

Teuku Rezasyah, pensyarah hubungan antarabangsa Universiti Padjadjaran di Bandung, berkata minat Malaysia untuk melabur dalam pembinaan ibu negara baharu Indonesia itu menandakan langkah mengalu-alukan kemajuan ketika Indonesia sedang berusaha menarik pelabur asing.

Dengan Malaysia di bawah kepimpinan Anwar, hubungan antara Jakarta dan Kuala Lumpur dijangka bertambah erat memandangkan pertalian beliau dengan Indonesia semasa masih muda, kata Teuku.
“Indonesia baginya adalah rujukan untuk pembangunan,” kata beliau.

Azmi Hassan, seorang felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, pula menyifatkan lawatan Anwar ke Indonesia sebagai "istimewa" kerana "perjuangan dunia Islam dekat di hatinya."

"Anwar sangat aktif dalam berkomunikasi dengan pemimpin Indonesia serta mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin tertinggi negara dan juga pemimpin agama," katanya.

“Saya rasa Malaysia dan Indonesia boleh memainkan peranan penting dalam membincangkan dan mencari penyelesaian kepada pelbagai isu termasuk pelarian Rohingya, etnik Uighur di Xinjiang, Palestin, Timur Tengah dan wilayah Kashmir,” katanya.

Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.