Follow us

Indonesia, Vietnam: Patuhi Undang-undang Antarabangsa Selesaikan Pertikaian Laut China Selatan

Ronna Nirmala
Jakarta, Indonesia
2020-09-09
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc berucap pada sidang video secara langsung dari Hanoi semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN, 9 September 2020.
Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc berucap pada sidang video secara langsung dari Hanoi semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN, 9 September 2020.
[AFP]

Indonesia dan Vietnam pada Rabu berkata bahawa pertikaian Laut China Selatan boleh mengancam kestabilan serantau dan negara-negara terbabit perlu menyelesaikan perbalahan sengit itu dengan dengan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc yang juga pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) memberitahu mesyuarat menteri-menteri persatuan itu bahawa ketegangan yang meningkat di Laut China Selatan boleh mengugat keamanan di rantau ini, walaupun negara-negara berkenaan perlu saling bekerjasama untuk memerangi pandemik COVID -19.

Sementara itu, semasa bercakap kepada wartawan di luar mesyuarat tersebut, Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi berkata negara-negara persatuan itu tidak mahu "terjebak dalam persaingan antara kuasa-kuasa besar", yang jelas merujuk kepada ketegangan yang berlaku antara China dan Amerika Syarikat.

"Pandemik COVID-19 terus menular dengan cara yang begitu rumit dan rakyat serta perniagaan kita terus terkesan dengan akibatnya,” kata Phuc dalam ucapan perasmiannya pada mesyuarat secara dalam talian itu. "Landskap geo-politik dan geo-ekonomi serantau termasuk Laut China Selatan menyaksikan peningkatan pergolakan yang boleh memudaratkan keamanan dan kestabilan."

Phuc menggesa negara-negara berkenaan supaya menyelesaikan pertikaian Laut China Selatan dengan mematuhi undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut atau UNCLOS.

Retno bersetuju dengan gesaan itu.

"Hanya dengan mematuhi undang-undang antarabangsa, kita dapat menjadikan Laut China Selatan sebagai tempat yang aman dan stabil," katanya.

Kenyataan demikian dibuat walaupun semasa AS dan China saling bertelingkah mengenai Laut China Selatan.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo pada Julai menyatakan bahawa tuntutan Beijing terhadap Laut China Selatan adalah tidak sah. Washington, katanya, menyokong sekutu-sekutunya di Asia Tenggara "dalam melindungi hak kedaulatan mereka terhadap sumber-sumber luar pesisir."

Beijing bertindak balas dengan menuduh AS terus campur tangan dalam isu Laut China Selatan dengan "menunjukkan kuasanya [dan] menimbulkan ketegangan serta menghasut konfrontasi" di rantau tersebut "atas alasan menjaga kestabilan."

China, Indonesia, Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam  mempunyai tuntutan wilayah di Laut China Selatan. Walaupun Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam pertikaian Laut China Selatan, Beijing menuntut hak bersejarah untuk bahagian-bahagian laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Pada Rabu, Menteri Luar Vietnam Pham Binh Minh menyatakan bahawa ASEAN akan terus menggalakkan dialog dan bukannya ketenteraan dalam usaha mengelak daripada merumitkan keadaan di Laut China Selatan.

Beberapa siri mesyuarat menteri-menteri ASEAN dirancang pada minggu ini termasuk Forum Serantau ASEAN pada Sabtu.

Forum 27 negara itu merangkumi 10 anggota ASEAN bersama-sama dengan Rusia, Jepun, Australia, AS, China, Korea Selatan dan India.

Menangani COVID-19

Sehingga Rabu, negara-negara ASEAN mencatatkan lebih 520,000 kes jangkitan COVID-19 yang disahkan dan lebih 12,000 kematian, menurut data yang dikumpulkan oleh pakar di Johns Hopkins University yang berpusat di AS.

Filipina mempunyai jumlah kes positif tertinggi di rantau itu dengan 245,143 kes diikuti oleh Indonesia dengan 203,342 kes. Bagaimanapun, jumlah kematian di Indonesia adalah sebanyak 8,336 yang dua kali ganda lebih tinggi berbanding Filipina.

Dalam ucapannya kepada negara anggota ASEAN, Phuc menggesa supaya diadakan kerjasama serantau dalam menangani pandemik tersebut.

Beliau berkata penggunaan secara berkesan Dana Khas COVID-19 ASEAN dan Rizab Bekalan Perubatan Serantau akan meningkatkan keupayaan rantau itu dalam menangani pandemik itu.

Semasa sidang kemuncak dalam talian khas pada April, negara-negara ASEAN bersetuju untuk menyokong pengagihan semula dana sedia ada bagi memerangi pandemik itu dan mewujudkan dana khas.

"Kita perlu segera membantu rakyat dan memulihkan perniagaan supaya pengeluaran dapat dihasilkan dan mengembalikan kehidupan  normal rakyat dalam usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi," kata Phuc.

Tindak balas ASEAN terhadap Rohingya

Pada mesyuarat Rabu itu, Retno menggesa negara-negara anggota supaya menangani penderitaan minoriti etnik Muslim Rohingya yang ditindas Myanmar.

Pada Isnin, hampir 300 etnik Rohingya mendarat di sebuah pantai di wilayah Aceh di Indonesia setelah menghabiskan lebih setengah tahun di laut.

Sebilangan daripada mereka yang diselamatkan memberitahu bahawa mereka membayar ribuan dolar kepada penyeludup untuk membawa mereka tiba ke Malaysia.

Retno berkata Indonesia memberikan perlindungan sementara kepada para pelarian itu serta kepada 99 orang lagi yang tiba pada Jun lalu atas "alasan kemanusiaan."

"Namun, kita tahu bahawa kita perlu bekerjasama dan kerjasama ini antara lainnya adalah untuk menangani jenayah rentas negara termasuk isu penyeludupan dan pemerdagangan orang," kata Retno.

"Saya meminta agar Menteri Luar Myanmar dan Setiausaha Agung ASEAN dapat memaklumkan kedudukan kita pada masa ini."

Malaysia berkata krisis Rohingya terus memberi kesan serantau kepada negara-negara ASEAN juga.

Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein berkata konflik berpanjangan di negeri Rakhine di Myanmar "boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN."

Ratusan ribu etnik Rohingya yang tinggal di Rakhine berada dalam keadaan "ancaman pembunuhan beramai-ramai" menurut laporan Misi Pencarian Fakta yang dimandatkan oleh PBB dari September 2019.

"Kami memantau pergerakan pelarian Rohingya yang tidak teratur dari negeri Rakhine dan Cox's Bazar [di Bangladesh] melalui jalan darat dan perairan," kata Hishammuddin pada mesyuarat ASEAN itu.

"Apa yang kami tidak mahu lihat adalah berulangnya krisis orang bot 2015 di Laut Andaman," katanya yang merujuk kepada insiden ribuan etnik Rohingya terdampar di Laut Andaman setelah negara-negara di rantau itu menolak untuk membenarkan mereka masuk.

"Bagaimanakah kita boleh menangani perkara ini?"


Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh