Kaji Selidik Dapati COVID-19 Dorong Diskriminasi Terhadap Orang Asing, Kumpulan Rentan Di Asia

Ahmad Syamsudin
2020.09.17
Jakarta, Indonesia
20917_ID_COVID_1000.jpg Anggota tentera berkawal di balik kawat duri di kawasan yang dikenakana Perintah Kawalan Pergerakan berikutan koronavirus di bandar lama Petaling Jaya, Malaysia, 10 Mei 2020.
[AP]

Hampir separuh daripada penduduk di Indonesia, Malaysia dan dua negara Asia lain menyalahkan kumpulan tertentu bagi penularan COVID-19, menurut satu kaji selidik baru yang dikeluarkan pada Khamis, yang menimbulkan kebimbangan bahawa pandemik itu mendorong diskriminasi terhadap migran, orang asing dan lain-lain.

Empat puluh sembilan peratus responden berpendapat bahawa kumpulan tertentu bertanggungjawab bagi penyebaran penyakit koronavirus, menurut kaji selidik yang melibatkan kira-kira 5,000 responden itu yang dijalankan oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di dua negara berjiran Asia Tenggara serta di Myanmar dan Pakistan.

Responden menyalahkan orang asing, mereka yang menghadiri acara keagamaan dan lain-lain yang tidak mematuhi peraturan seperti pemakaian pelitup separuh muka atau mengamalkan penjarakan sosial, menurut IFRC.

"Adalah membimbangkan melihat dapatan kaji selidik kami menunjukkan bahawa hampir separuh daripada responden percaya bahawa kumpulan tertentu bersalah dalam penularan COVID-19," kata Dr Viviane Fluck, penyelaras bagi penglibatan dan kebertanggungjawaban masyarakat IFRC dalam kenyataan.

"Kami berasa amat bimbang bahawa kumpulan rentan seperti migran dan mereka yang tidak mampu membeli peralatan perlindungan seperti pelitup separuh muka mungkin didiskriminasi kerana stigma dan rasa takut akibat pendapat seperti ini."

Kaji selidik itu dilakukan bagi mengetahui apa yang diketahui orang ramai mengenai virus itu dan bagaimana ia merebak, bagi membolehkan tindak balas yang lebih meluas daripada masyarakat, kata IFRC. Kaji selidik dengan responden dilakukan dari 29 Mei hingga 20 Julai.

Hasil kaji selidik itu menunjukkan bahawa lebih daripada separuh rakyat Indonesia dan hampir satu per tiga penduduk Myanmar dan Pakistan menyalahkan kumpulan seperti orang asing dan mereka yang melanggar peraturan bagi penularan COVID-19.

Di Malaysia, sebanyak 69 peratus dari mereka yang terlibat dalam kaji selidik itu menyalahkan orang yang tidak memakai pelitup separuh muka dan orang yang menghadiri acara keagamaan bagi penularan virus itu dalam kalangan masyarakat.

Di empat negara itu, sebanyak 62 peratus responden percaya bahawa televisyen adalah sumber maklumat mengenai pandemik tersebut. Radio dan akhbar merupakan sumber yang paling dipercayai dengan masing-masing memperoleh 44 peratus dan 40 peratus, menurut kaji selidik itu.

Namun, hanya 22 peratus yang dikaji selidik percaya kepada media sosial, walaupun ia menjadi satu daripada sumber maklumat utama mengenai virus tersebut. Ini bermakna, hampir empat daripada lima orang tidak mempercayai media sosial sebagai sumber pengetahuan mengenai pandemik itu.

'Sesiapa pun boleh dijangkiti'

Perbuatan saling  menyalahkan akhirnya membawa kepada diskriminasi dan stigma terhadap mereka yang telah dijangkiti COVID-19, menurut IFRC.

Sebagai contoh, Indonesia mempunyai jumlah kematian akibat COVID-19 yang kedua tertinggi di Asia selepas India, tetapi ia juga mencatatkan satu daripada kadar saringan paling rendah di dunia, lapor Reuters pada Khamis.

Satu daripada sebab utama mengapa kadar saringannya rendah adalah stigma yang berkaitan dengan virus, kata Wiku Adisasmito, jurucakap pasukan petugas COVID-19 Indonesia, serta pakar kesihatan awam lain di negara itu.

Indonesia pada Khamis melaporkan 3,635 kes jangkitan baru dan 122 kematian akibat penyakit koronavirus itu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 232,628 dan 9,222 kematian.

Wiku menggesa orang ramai supaya tidak untuk tidak mencela mereka yang dijangkiti virus itu.

"Virus ini tidak peduli dengan kedudukan, jantina atau usia seseorang. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti, ”kata Wiku pada sidang media pada Khamis, menurut agensi berita Antara yang dikendalikan kerajaan.

"Stigma hanya dapat dihapuskan dengan terus menerus melakukan promosi kesihatan bagi meningkatkan kesedaran tentang jangkitan selain empati untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada Reuters.

Menurut kenyataan IFRC, stigma yang berkaitan dengan COVID-19 juga menimbulkan kebimbangan didiskriminasi dalam kalangan mereka yang rentan.

Ini, sebaliknya, dapat membuktikan langkah produktif dalam usaha membendung penyebaran virus itu, kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia bagi Human Rights Watch pada Mei.

Dalam catatan tweet ketika mengikuti serbuan terhadap pendatang tanpa dokumen di Kuala Lumpur, Robertson berkata: "Menghantar pendatang ke kem tahanan yang sesak akan meningkatkan jangkitan COVID-19, dan mendorong yang lain bersembunyi dan enggan memberi kerjasama."

Pada masa itu, pegawai Malaysia menyatakan bahawa serbuan itu bertujuan membantu membendung penyebaran virus tersebut.

Sejak itu, jumlah kes dan kematian koronavirus yang disahkan di Malaysia menurun dengan ketara, dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan hanya 674 kes aktif dan hanya 128 kematian akibat penyakit itu sehingga Khamis.

Bulan lalu, pihak berkuasa Malaysia mengusir seorang migran Bangladesh, Rayhan Kabir, setelah menahannya selama hampir sebulan tanpa pendakwaan berikutan penampilannya dalam satu dokumentari berita Al Jazeera. Dalam dokumentari itu, dia lantang mendakwa tentang penganiayaan pekerja asing semasa penangkapan migran tanpa dokumen ketika kemuncak pandemic itu di Malaysia.

Pegawai Malaysia tidak pernah menyatakan bahawa penangkapan, penahanan dan pengusiran Rayhan dikaitkan dengan apa yang dikatakannya dalam dokumentari itu, tetapi mereka mencarinya setelah program berita itu disiarkan selain menyenaraihitamkannya sebagai "orang yang tidak diingini."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.