Menteri Pertahanan China Kunjungi Indonesia, Malaysia

Ronna Nirmala
2020.09.08
Jakarta, Indonesia
200908_ID_Ch-DefenseMinister_1000.jpg Menteri Pertahanan China Wei Fenghe menghadiri majlis pembukaan Kongres Rakyat Nasional di Beijing, 22 Mei 2020.
(Reuters)

Menteri Pertahanan China Wei Fenghe mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Prabowo Subianto semasa mengadakan kunjungan ke Indonesia bagi membincangkan mengenai ketegangan di Laut China Selatan dan menyelaraskan usaha memerangi COVID-19, kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia pada Selasa.

Wei mengunjungi Indonesia sehari selepas beliau bertemu Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, dan menjelang beberapa siri mesyuarat menteri-menteri ASEAN dari Rabu hingga Sabtu ini dengan isu berkenaan ketegangan di Laut China Selatan dijangka dibincangkan.

Jurucakap Prabowo, Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata menteri-menteri berkenaan juga membincangkan kerjasama dalam sektor pertahanan.

"Mengenai Laut China Selatan, Indonesia komited untuk menggalakkan dialog intensif bagi mengekalkan keamanan di rantau ini," kata Dahnil kepada BeritaBenar.

Dahnil berkata kunjungan Wei adalah sebagai membalas lawatan Prabowo ke China pada Disember 2019 di mana beliau bertemu dengan para pemimpin tentera dan mengunjungi markas Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA). Kedua-dua pemimpin itu juga bertemu di Moscow pada 24 Jun semasa upacara sambutan ulang tahun ke-75 kemenangan Rusia dalam Perang Dunia II.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Indonesia menyatakan Wei dan Prabowo turut membincangkan strategi untuk memerangi COVID-19.

Indonesia pada Selasa melaporkan lebih 200,000 kes jangkitan dan lebih 8,200 kematian akibat coronavirus, yang pertama kali muncul di Wuhan, China, menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat. Di peringkat global, lebih 27.4 juta kes jangkitan dan lebih 894,000 kematian telah direkodkan.

Ketegangan kian meningkat di Laut China Selatan, di mana enam negara Asia lain mempunyai tuntutan ke atas wilayah atau sempadan maritim yang bertindih dengan tuntutan meluas China. Negara berkenaan ialah Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Walaupun Indonesia tidak menganggap ia sebagai pihak dalam pertikaian di Laut China Selatan, Beijing menuntut hak bersejarah untuk bahagian-bahagian laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Awal tahun ini, kerajaan Indonesia menuduh bot-bot nelayan China menjalankan operasi di perairan negara itu di luar Kepulauan Natuna, sehingga mencetuskan ketegangan diplomatik.

Malaysia membisu

Wei berada di Kuala Lumpur pada Isnin untuk mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, menurut laporan Xinhua, agensi berita China.

Namun, pegawai-pegawai Malaysia membisu mengenai lawatan itu. Jurucakap Kementerian Pertahanan Malaysia tidak mahu mengulas manakala pegawai Muhyiddin tidak menjawab pesanan teks dan panggilan.

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata pertemuan Wei dengan Muhyiddin mungkin bagi mengemas kini maklumat sebelum mesyuarat ASEAN akhir minggu ini.

"Hakikatnya, menteri pertahanan China sendiri yang datang ke Kuala Lumpur adalah sesuatu yang mengejutkan," kata Oh kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Wei mengeluarkan kenyataan kepada agensi berita  Xinhua.

"Memandangkan keadaan menyeluruh di Laut China Selatan kekal stabil, China bersedia bekerjasama dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, dan saling bertolak ansur demi menjaga keamanan dan ketenangan di Laut China Selatan," katanya.

Namun, data pengesanan kapal dan imej satelit menunjukkan sebuah kapal pengawal pantai China telah melakukan rondaan di perairan Malaysia berhampiran Luconia Shoals atau dikenali sebagai Beting Patinggi Ali sejak 31 Julai.

Beting itu adalah rangkaian ciri di kawasan paling selatan Laut China Selatan, dengan kebanyakannya tenggelam. Walaupun China mendakwa ia sebahagian daripada "hak bersejarahnya," kawasan itu berada dalam jarak 200 batu nautika di luas pesisir Sarawak di Malaysia dan terletak dalam perairan Malaysia dan zon ekonomi eksklusif negara itu atau EEZ.

Malaysia sering diceroboh pada masa lalu dengan Ketua Audit Negaranya pada Julai menyatakan bahawa kapal-kapal China telah memasuki perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Minggu lalu, wakil Menteri Luar Negeri China Luo Zhaohui bercakap pada forum antarabangsa mengenai Laut China Selatan dengan menekankan tentang hubungan China-ASEAN dan mengulangi keengganan Beijing menerima keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 yang menolak hampir semua tuntutan China di perairan yang menjadi pertikaian itu.

 

Hadi Azmi di Kuala Lumpur dan Drake Long di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.