Menjelang pilihan raya, diaspora Indonesia di Malaysia luahkan pandangan, aspirasi
2024.01.31
Kuala Lumpur
Indonesia akan membuka pusat-pusat pengundian yang diselia ribuan pegawai di enam bandar di Malaysia bagi membolehkan 900,000 pengundi berdaftar yang tinggal di negara itu mengundi semasa pilihan raya negara jiran itu bulan depan, demikian menurut Duta Indonesia ke Malaysia kepada BenarNews.
Dalam pada itu, beberapa pengundi yang ditemui berkata tiada seorang pun daripada tiga calon yang bertanding merebut jawatan Presiden Indonesia pada pilihan raya 14 Februari ini mewakili kepentingan pekerja migran yang mahu Rang Undang-Undang Perlindungan Pekerja Rumah Tangga diluluslan setelah tertangguh selama 20 tahun.
Tiga calon Presiden yang akan menggantikan Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi adalah Prabowo Subianto, Ganjar Pranowo dan Anies Baswedan yang akan berentap untuk memenangi hati 204 juta pengundi dari negara terbesar Asia Tenggara itu.
Pembantu rumah rakyat Indonesia, Nasrikah Paidin yang telah menetap di Malaysia sejak 26 tahun memberitahu BenarNews, berdasarkan pemerhatiannya terdapat kecenderungan berbeza antara rakan-rakannya yang berada di Malaysia.
"Ada yang menyokong calon 1 (Prabowo) kerana pendekatan lurus untuk membawa perubahan. Kemudian, ada kelompok yang mahu meneruskan apa yang sudah Jokowi usahakan dan mereka mahukan calon 2 (Ganjar), dan ada yang bersimpati kepada calon nombor 3 (Anies).
“Bagaimanapun, tiada calon yang dianggap mewakili kepentingan pekerja migran seperti saya,” katanya yang diberi pelepasan oleh majikan untuk keluar mengundi.
Sementara itu, seorang pekerja migran Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai, Rizal, 61, tidak menyorokkan sokongannya kepada Anies yang juga bekas Gabenor Jakarta.
“Saya memang akan pilih Anies Baswedan kerana beliau dari golongan yang alim. Kalau kita nak pilih pemimpin terutama jika kita adalah Muslim (orang Islam), pastinya kita memilih mereka yang mampu tegakkan agama kita.
“Jika dibandingkan dengan Ganjar Pranowo dan Prabowo Subianto — Anies mampu pelihara hak-hak Muslim,” katanya kepada BenarNews semasa ditemui berhampiran pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Anies Baswedan (tengah), calon Presiden bagi pilihan raya umum Indonesia bersama penyokongnya semasa berkempen di Kabupaten Cilacap, Jawa Tengah, dalam gambar yang dimuat naik di laman media sosial rasmi Facebook, 25 Jan 2024. [Facebook/Aniesbaswedan]
Indonesia merupakan negara majoriti Islam terbesar di dunia dengan 241.5 juta rakyatnya beragama Islam.
Rizal mengakui rata-rata warga Indonesia menyokong Ganjar atau Prabowo yang menurutnya, berkempen habis-habisan di Malaysia.
Prabowo, bekas Menteri Pertahanan Indonesia berentap kali ketiga pada tahun ini setelah dua kali tewas kepada Jokowi pada 2014 dan 2019. Pemimpin parti Gerindra yang berusia 73 tahun itu berganding dengan anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 36 bagi mencipta kemenangan pada pilihan raya kali ini.
Ganjar, bekas Gabenor Jawa Tengah berganding dengan Mahfud MD, bekas Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, manakala Anies berganding dengan Muhaimin Iskandar, Timbalan Pengerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) iaitu badan legislatif negara itu.
Nasrikah dan Rizal antara 900,000 pengundi Indonesia yang berdaftar dan menetap di Malaysia.
Seorang warga Indonesia menunjukan sokongannya terhadap calon Presiden Ganjar Mahfud dengan menyelimuti badannya dengan kain rentang mempunyai wajah calon itu semasa sesi kempen pilihan raya di majlis Deklarasi & Konsolidasi 1 Putaran Relawan Ganjar di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 5 Nov 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pusat undian seluruh negara
Dalam temubual bersama BenarNews, Duta Indonesia ke Malaysia Hermono berkata, kerajaan Indonesia akan membuka pusat-pusat pengundian di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.
"Kita mempunyai tiga jenis pengundian. Pertama adalah undi pos yang mana undi dihantar menerusi mel. Ini membabitkan kira-kira 156,000 undi. Kedua ialah pengundian bergerak, di mana peti-peti undi dihantar ke ladang, kilang dan komuniti Indonesia yang berjumlah kira-kira 67,000 undi.
"Ketiga adalah pengundian secara langsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur," katanya.
Di Malaysia, kira-kira 10,000 petugas akan menyelia proses pengundian di seluruh negara dengan kerajaan Indonesia akan mengumpul peti undi semasa hari pengundian pada 11 Februari dan pengundian pula akan dikira pada 14 Februari, dengan keputusan akan dihantar ke Jakarta.
Tambah Hermono, peratusan keluar undi berdasarkan pilihan raya sebelum ini ialah pada kadar 30 peratus, namun katanya edisi 2024 bulan depan mungkin menyaksikan peratusan yang lebih rendah memandangkan ramai warga Indonesia telah meninggalkan Malaysia.
Kain rentang memaparkan calon pilihan raya dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) yang dipasang di sekitar kawasan gerai berdekatan dengan pejabat Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, 31 Jan 2024 [Iman Muttaqin Yusof/ BenarNews]
Seorang pengurus kempen, Mansurni Abadi Adi daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) berkata, kempen pihaknya di Malaysia berjalan dengan baik di Semenanjung, namun belum bermula di Sabah dan Sarawak.
"Tumpuan kita di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dahulu. Matlamatnya sekarang adalah untuk kita menang undi diaspora Indonesia di Malaysia, supaya Ganjar dan PDI-P boleh menang.
"Sasaran kempen kami adalah pekerja-pekerja migran Indonesia dan keluarga mereka yang masih boleh mengundi. Strategi kami adalah dengan berkempen, turun padang dan temui mereka di peringkat akar umbi," katanya.
Tengku Adnan Tengku Azlan, calon daripada Parti Nasional Demokrat untuk perwakilan DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) dan berkempen untuk Anies Baswedan berkata, beliau mempunyai kelebihan berbanding calon lain kerana menetap di Malaysia.
“Menjelang 11 Februari ini, tentunya banyak persiapan yang kami harus lakukan dan pastikan dapat berjalan dengan baik. Jurukempen kami di Malaysia ini melibatkan 1,200 orang.
“Setakat ini saya boleh kata tujuh daripada 10 respon adalah positif, maksudnya mereka akan keluar untuk mengundi, tetapi mereka yang tidak keluar ini rata-rata kerana mereka masih bekerja jadi tidak mudah untuk tinggalkan kerja. Kami merayu kepada majikan untuk memberi perlepasan kepada pekerja mereka keluar sekejap untuk mengundi," katanya kepada BenarNews.
Beliau juga memberitahu, pertemuan dan juga acara meraih sokong diaspora Indonesia dilakukan secara tertutup di rumah, ladang dan dewan demi menghormati rakyat setempat.
Sementara itu, seorang pemilik kedai berusia 56 tahun yang enggan dikenali berkata, dia tetap mahu memilih Jokowi walaupun beliau tidak bertanding.
"Saya lihat ketiga-tiga calon itu tidak ada satu pun yang setanding Pak Jokowi. Dengan pembangunan ekonomi yang dibawa olehnya, hubungan antarabangsa, dan kredibiliti di pentas dunia.
"Maka, kerana tiada Pak Jokowi saya memutuskan untuk tidak mengundi. Siapa yang layak? Sejujurnya bagi saya, tiada siapa."
Mantan vokalis Dewa 19, Once Mekel bertemu pekerja migran Indonesia semasa berkempen pada majlis Deklarasi & Konsolidasi 1 Putaran Relawan calon Presiden Ganjar Mahfud di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 5 Nov 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Nasrikah pula menambah dengan berkata pekerja migran mahu kerajaan Indonesia menggubal Rang Undang-Undang Perlindungan Pekerja Rumah Tangga, yang telah tertangguh selama 20 tahun. Bil itu membolehkan Jakarta melindungi hak pekerja dari segi keselamatan dan kebajikan.
Katanya, tahun lalu Jokowi yang menamatkan pemerintahan selama dua penggal telah mengeluarkan kenyataan mendesak bil berkenaan diluluskan, namun tiada langkah susulan daripada DPR.
"Masih tidak jelas calon mana yang akan merealisasikan matlamat ini, jadi kami masih memerhati sehingga hari pemilihan."
Menurut mereka undian masih boleh berubah bergantung kepada bentuk kempen serta isu yang ditampilkan calon menjelang hari mengundi.