Malaysia, Indonesia Bimbang Kemungkinan Pejuang Dikaitkan dengan IS Boloskan Diri di Syria

Muzliza Mustafa, Ahmad Syamsudin & Tia Asmara
2019.10.14
Kuala Lumpur & Jakarta
191014_ID_Turkey-backedSyrian_1000.JPG Pejuang pemberontak Syria yang disokong Turki menaiki trak tentera di bandar sempadan Tel Abyad, Syria, 14 Okt, 2019.
[Reuters]

Para pegawai Malaysia dan Indonesia menyatakan kebimbangan berkemungkinan pejuang militan Negara Islam [IS] Asia Tenggara melarikan diri dari penjara di utara Syria selepas penarikan tentera oleh Amerika Syarikat, apabila tentera Turki melancarkan serang udara mensasarkan pasukan Kurdish di kawasan tersebut.

Kebimbangan pihak berkuasa Malaysia dinyatakan selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan melancarkan Operasi Peace Spring di timur laut Syria yang bertujuan menghapuskan ancaman pengganas dan mengisytiharkan sebuah ‘zon selamat’ supaya pelarian Syria dibenarkan pulang.

Presiden Trump yang tidak mahu terlibat dalam konflik tersebut telah menarik keluar kesemua 1,000 anggota tenteranya yang ditempatkan di negara bergolak itu dengan serta-merta.

Ketua Pengarah Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay berkata nasib 11 rakyat Malaysia yang ditahan Penjara Al-Hasakah, Syria tidak diketahui nasibnya.

“Tiada sebarang maklumat mengenai 11 pejuang IS rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Al Hasakah. Apa yang kami khuatirkan adalah tahanan di kem dan penjara yang melarikan diri dan menyusup masuk ke negara ketiga atau menganggotai kumpulan militan tempatan untuk terus memperjuangkan ideologi mereka,” kata Ayob kepada BeritaBenar pada Isnin.

Beliau berkata, kira-kira 65 rakyat Malaysia dipercayai telah pergi ke Timur Tengah untuk menyertai khalifah IS, dengan seramai 40 daripadanya telah menyatakan keinginan untuk kembali ke Malaysia, manakala bakinya tidak diketahui samada hidup ataupun telah meninggal dunia.

“Seramai 29 wanita dan kanak-kanak Malaysia kini berada di Kem Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Al Hol, Syria dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” kata Ketua Anti-keganasan Polis Malaysia itu.

Ayob berkata, pihaknya masih cuba mengesahkan jika ada rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan daripada serangan Turki di kawasan berkenaan dengan cuba melarikan diri daripada penjara Al Hasakah.

“Setakat ini, kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai rakyat Malaysia yang melarikan diri daripada penjara. Keadaan di Syria yang tidak menentu, juga menyukarkan untuk kami mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut,” tambah Ayob.

Sementara itu, di Jakarta, data daripada pihak berkuasa Indonesia menunjukkan terdapatnya 34 warga Indonesia yang dipenjarakan di Syria, dengan sekitar 700 lagi wanita dan kanak-kanak tinggal di kem-kem pelarian di negara bergolak itu.

"Ya, sememangnya itu satu kebimbangan dan kami sangat khuatir kerana warga Indonesia yang berada di Syria berdepan dengan tahap ancaman yang tinggi," kata Didik Novi Rahmanto, Ketua Pasukan Petugas Berurusan Pengganas Asing (FTF) di Densus 88, Polis Negara Indonesia  kepada kepada BeritaBenar di Jakarta, pada Isnin.

Didik berkata, pasukannya itu sedang memantau perkembangan di Syria.

Dalam pada itu, media antarabangsa melaporkan sekurang-kuranganya 750 orang yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas IS dilaporkan telah melarikan diri dari kem perpindahan Ain Issa di timur laut Syria pada Ahad.

Jumlah itu termasuk 249 wanita dan 700 kanak-kanak yang pernah terbabit dengan aktiviti kumpulan itu. Identiti mereka bagaimanapun tidak diketahui.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih daripada 40,000 pejuang asing dari 110 negara telah mengembara untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria dan Iraq. Angka itu termasuk 800 dari Indonesia dan 154 dari Malaysia, menurut penganalisis keselamatan.

Lebih 11,000 wanita dan kanak-kanak asing yang mempunyai kaitan dengan suspek IS sedang ditahan dalam keadaan yang mengerikan di kem padang pasir yang berkunci di timur laut Syria, demikian menurut laporan Human Rights Watch pada Julai lalu.

Badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi dunia itu berkata sekurang-kurangnya 7,000 kanak-kanak berusia lebih muda daripada 12 tahun berada dalam tahanan kem tersebut.

Operasi Peace Spring yang dilancarkan oleh Turki melibatkan kawasan 100km sepanjang sempadan negara itu dan Syria adalah untuk menentang kumpulan militan Kurdistan Workers' Party (PKK) dan People's Protection Units (YPG) serta pengganas IS di timur laut Syria.

Selain itu, operasi berkenaan juga adalah untuk membolehkan pelarian Syria yang berada untuk pulang ke negara mereka dan berada di sebuah ‘zon selamat’ yang meliputi 32km sepanjang sempadan di belah Syria.

Zam Yusa di Sabah, Malaysia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.