Follow us

Malaysia Dilanda Jerebu Teruk, Bacaan IPU Catat ‘Amat Tidak Sihat’

Agensi Pengurusan Bencana Malaysia minta Jabatan Kemajuan Agama Islam buat solat hajat mohon hujan turun di Malaysia atasi jerebu.
Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-09-09
E-mel
Komen
Share
Pandangan udara keadaan jerebu di sekitar bandar Kuching, ibu negeri Sarawak, Malaysia yang terletak di Kepulauan Borneo, 9 September, 2019.
Pandangan udara keadaan jerebu di sekitar bandar Kuching, ibu negeri Sarawak, Malaysia yang terletak di Kepulauan Borneo, 9 September, 2019.
[AFP]

Malaysia sedang mengalami masalah jerebu teruk akibat daripada kebakaran terbuka hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia dengan bacaan Indeks Pencemaran Udaran [IPU] telah mencecah rekod tahap ‘amat tidak sihat’ di beberapa kawasan, sehingga Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) mahu solat hajat meminta hujan di adakan di seluruh negara.

Jabatan Alam Sekitar Malaysia menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udaranya telah mencatatkan tiga kawasan di negeri Sarawak yang bersempadanan dengan Kalimantan berada pada tahap bacaan ‘amat tidak sihat’, iaitu satu rekod tertinggi dalam bacaan IPU.

Bagaimanapun akhbar tempatan Indonesia, Tempo pada Isnin memuatkan laporan berita penafian Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia [BMKG], yang jerebu rentas sempadan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, berasal daripada Sumatera berdasarkan data satelit yang dikeluarkan badan itu.

Tiga kawasan di Sarawak yang mencatatkan bacaan IPU ‘amat tidak sihat’ ialah di Sri Aman dengan IPU 242 diikuti Kuching [224] dan Samarahan [201] manakala di Semenanjung, bacaan IPU ‘tidak sihat’ direkodkan di Johan Setia, Cheras, Nilai, Batu Muda dan Putrajaya antara 103 hingga 150.

Sehubungan itu, JAKIM pada Isnin telah mengeluarkan satu kenyataan yang maklumkan bahawa  Agensi Pengurusan Bencana Negara [NADMA] telah meminta supaya jabatan berkenaan mengadakan solat hajat di seluruh negara, memohon hujan supaya masalah jerebu diatasi apabila bacaan di beberapa kawasan amat membimbangkan.

"Jakim telah dihubungi NADMA untuk memaklumkan tentang paras IPU tidak sihat. Keadaan ini ditambah dengan hujan yang kurang menyebabkan kemarau dan masalah jerebu berpanjangan. NADMA telah mengesyorkan kepada JAKIM untuk mengadakan Solat Sunat di masjid-masjid bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu," kata Ketua Pengarah JAKIM, Mohamad Nordin Ibrahim.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia [MET Malaysia] juga memaklumkan bahawa operasi pembenihan awam akan dibuat mulai Selasa, dengan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam catatan di laman Facebooknya sekali lagi menyatakan yang Malaysia bersedia bekerjasama dengan Indonesia ke arah usaha menangani masalah jerebu yang berlaku.

Kejadian jerebu bukanlah satu fenomena luar biasa, saban tahun Malaysia kerap dilanda masalah jerebu akibat kesan pembakaran terbuka di negara jiran Indonesia sehingga menyebabkan asap tebal merebak masuk di ruang udara Malaysia.

Tempo dalam laporannya pada Isnin berkata, Timbalan BMKG Jabatan Meteorologi negara itu Mulyono R. Prabowo telah mengesahkan bahawa berdasarkan kepada analisa dan pemantauan data satelit tiada jerebu rentas sempadan dilaporkan melanda negara jirannya Malaysia.

"Tiada jerebu rentas sempadan seperti yang dilaporkan oleh media luar," Prabowo dalam satu kenyataan media pada Ahad seperti laporkan akhbar Indonesia itu.

IPU - 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 [sederhana], 101 hingga 200 [tidak sihat], 201 hingga 300 [amat tidak sihat] dan lebih 301 [berbahaya].

Masalah berterusan


Bagi Klimatologist, Ramlan Dambul, masalah jerebu akan terus melanda Malaysia jika negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara [ASEAN] gagal mencari jalan penyelesaian terbaik.

Akademik daripada Universiti Malaysia Sabah itu memberitahu BeritaBenar bahawa kepulan asap dari arah Indonesia naik ke Malaysia akibat dari arah angin monsoon barat daya.

"Saya kira sudah ada pelan tindakan jerebu rentas sempadan yang ditandatangani oleh negara- negara ASEAN. Tetapi mengapa masalah ini masih berlaku… Ini yang perlu diambil kira. ASEAN harus mencari jalan bagaimana untuk menghentikan masalah pembakaran terbuka.

"Ianya bukan saja terjadi pada sekitar Ogos atau September, ia terjadi kerana angin monsoon barat daya meniup keatas lalu membawa asap itu masuk ke negara kita. Masalah ini akan terus berlaku tahun hadapan dan tahun seterusnya jika tiada jalan yang ditemukan," kata Ramlan.

Yeo dalam catatan di Facebooknya juga memberitahu yang Malaysia telah pun membawa isu jerebu rentas sempadan pada persidangan Jerebu Rentas Sempadan di Brunei, Ogos lalu namun keadaan masih belum berubah.

"Kami telah membawa isu jerebu rentas sempadan pada Ogos bersama sama Thailand, Brunei dan beberapa negara lain tetapi masih tidak berubah, selain mahu Wisma Putra [Kementerian Luar Negeri Malaysia] menggesa Indonesia agar segera memadam api di hutannya," tambah Yeo.

MET Malaysia turut menegaskan bahawa kebarangkalian untuk hujan lebat di Malaysia, adalah rendah dalam tempoh seminggu yang akan datang kerana berlaku peningkatan bilangan titik panas di Kalimantan dan Sumatera.

Agensi berita AFP dalam laporannya berkata keadaan udara di Pekan Baru di Riau, Palembang di Sumatera, Aceh dan Jakarta berada ditahap yang membimbangkan berikutan kebakaran hutan yang masih gagal diatasi kerajaan Indonesia.

Turut laporan itu kebakaran hutan di Riau boleh mengganggu penerbangan berikutan jarak pandangan yang terhad dengan agensi pengurusan bencana Indonesia mengesan pertambahan titik panas iaitu 6,312 titik pada Jumaat lalu, berbanding 2,694 pada Khamis.

Lihat Laman Penuh