Follow us

Indonesia Hantar Lebih Ramai Petugas Padam Kebakaran Hutan

Jerebu tebal memaksa beratus-ratus sekolah di Malaysia ditutup semasa kebakaran di kawasan tanah gambut yang mencetus permainan saling menyalahkan.
Tia Asmara & Aminah Fareed
Jakarta & Kuala Lumpur
2019-09-13
E-mel
Komen
Share
Penunggang motosikal meredah sebatang jalan yang diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan di Pekanbaru, Indonesia, 13 Sept 2019.
Penunggang motosikal meredah sebatang jalan yang diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan di Pekanbaru, Indonesia, 13 Sept 2019.
[AP]

Jakarta berikrar pada Jumaat untuk menghantar lebih ramai petugas dan pesawat bagi memadam kebakaran hutan yang merebak ke seluruh rantau itu sejak beberapa hari lepas, manakala Indonesia dan Malaysia saling menuding jari susulan pencemaran udara yang berlaku.

Satu pertikaian diplomatik antara negara-negara jiran berlaku minggu ini selepas para pegawai di Indonesia menafikan bahawa jerebu di Malaysia berpunca daripada kebakaran hutan yang berlaku di kawasan tanah gambut di kepulauan Sumatera dan Borneo.

Asap kebakaran itu telah memaksa sekolah-sekolah di seluruh rantau ditutup manakala penduduk meninggalkan rumah mereka.

“Jerebu telah menyeberang ke negara-negara jiran, jelas menyusahkan orang ramai yang terjejas olehnya, dan pada sesetengah masa turut mengganggu penerbangan,” kata menteri keselamatan Indonesia Wiranto selepas bertemu pegawai lain bagi membincangkan isu kebakaran itu.

“Kami perlu menghantar petugas bomba dan peralatan tambahan untuk memadamkan kebakaran,” katanya. “Kami juga sedang melakukan persiapan untuk tindak balas pantas pasukan bomba di lokasi kritikal dengan pesawat bersiap sedia melakukan pembenihan awan untuk mencetuskan hujan.”

Wiranto berkata kementerian perhutanan telah menghantar hampir 2,000 anggota bomba namun tidak menyatakan jumlah petugas tambahan yang akan dihantar. Beliau berkata pihak tentera juga sedang melakukan persiapan untuk menghantar lebih banyak pesawat ke kawasan terjejas, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional berkata lebih 9,000 orang terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran itu.

Jumlah lokasi panas kebakaran di Sumatera dan bahagian Indonesia di kepulauan Borneo telah berkurangan kepada 974 pada Khamis berbanding 1,619 bagi hari sebelumnya, menurut data online Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC).

Wiranto menyalahkan pekebun kecil bagi kebakaran hutan itu.

Polis berkata minggu ini sekurang-kurangnya 175 orang, kebanyakan mereka adalah pekebun yang menggunakan kaedah tebang dan bakar untuk membersihkan tanah, telah ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan.



Di Pekanbaru, ibu kota wilayah Riau di Sumatera, penjawat awam menunaikan solat sunat agar hujan turun di pejabat datuk bandar pada Jumaat selepas jerebu mengurangkan tahap penglihatan sehingga serendah 200 meter (984 kaki) di beberapa bahagian di wilayah itu.

“Kami meminta Allah menurunkan hujan kerana kami memerlukan air dengan segera untuk memadamkan kebakaran di Riau yang telah mencecah tahap bahaya,” kata datuk bandar Pekanbaru, Firdaus, yang menggunakan hanya satu nama, menurut agensi berita rasmi Antara.

Sesetengah penduduk Riau telah melarikan diri ke Padang, ibu kota wilayah Sumatera Barat, kira-kira 362 km (226 batu) di bahagian barat daya di mana jerebu tidak begitu teruk.

“Saya telah membawa keluarga saya ke sini untuk mendapatkan udara segar,” kata seorang penduduk Pekanbaru, Ivo Rambe, kepada BeritaBenar di Padang pada Jumaat.

“Pekanbaru tidak lagi selamat. Sekolah-sekolah ditutup dan kanak-kanak tidak dibenarkan keluar. Ini adalah satu situasi yang menyedihkan,” katanya.

Seorang lagi penduduk Pekanbaru, Purwanto, berkata beliau tidak tahu bila beliau akan kembali ke bandarnya.

“Tempat di mana saya tinggal jerebunya adalah tebal sehingga sukar untuk bernafas,” katanya.

Kerajaan Sumatera Barat telah mengeluarkan satu pekeliling yang meminta para pegawai mengagihkan topeng muka kepada penduduk.

“Kualiti udara semakin merosot. Orang ramai perlu diberikan topeng muka agar mereka tidak terdedah kepada pencemaran,” kata Timbalan Gabenor Sumatera Barat Nasrul Abit kepada BeritaBenar.

Jerebu turut menyelubungi beberapa bahagian di Malaysia dan memaksa lebih 400 buah sekolah ditutup di negeri Sarawak yang terletak di kepulauan Borneo minggu ini.

Para pegawai berkata sejumlah 500,000 topeng muka telah dihantar ke Sarawak, di mana Indeks Pencemaran Udara (API) telah mencecah tahap tidak sihat 201 pada Selasa pagi. API menganggap tahap 50 dan ke bawah sebagai sihat.

Pada Rabu, Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia berkata kebakaran telah memusnahkan lebih 328,000 hektar ladang dan kawasan hutan di seluruh negara tahun ini, terutama di enam wilayah di Sumatera dan Borneo.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Siti Nurbaya Bakar memberitahu agensi berita Reuters pada Jumaat bahawa sesetengah kebakaran hutan di wilayah Indonesia telah bermula di ladang-ladang milik empat anak syarikat tempatan daripada syarikat minyak sawit Malaysia.

Beliau berkata ladang-ladang itu telah disita berhubung insiden kebakaran hutan yang berlaku di wilayah-wilayah Kalimantan Barat dan Riau.

 

190913_ID_haze_620.jpg
Seorang pegawai polis Indonesia menyerahkan topeng muka kepada seorang penunggang motosikal di Padang, Sumatera Barat, Indonesia, 13 Sept 2019. [Sulthan Azzam/BeritaBenar]

Saling menuding jari

Pada Selasa, Siti berkata jerebu di Malaysia adalah berpunca daripada kebakaran hutan di sana dan menuduh Kuala Lumpur tidak telus mengenai kebakaran hutannya sendiri.

Yeo Bee Yin, menteri alam sekitar Malaysia, memberikan kenyataan balas dengan merujuk data satelit yang menunjukkan terdapat 474 lokasi panas di Kalimantan, Indonesia dan 387 di Sumatera pada Selasa manakala di Malaysia hanya tujuh.

“Biarlah data sendiri yang membuktikan perkara ini,” tulisnya di Facebook pada Rabu. “Menteri Siti Nurbaya tidak sepatutnya berada dalam penafian.”

Yeo pada Khamis berkata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad akan menulis surat kepada Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo berkaitan perkara itu.

Siti tidak menyatakan sama ada Jokowi telah menerima surat itu.

Pada Khamis, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Zainal Abidin Bakar berkata Kuala Lumpur tidak berhasrat untuk menuding jari ke arah Jakarta berhubung isu jerebu ketika ini, sebaliknya negara itu menawarkan beberapa bentuk bantuan untuk menangani kebakaran hutan.

Zainal Abidin berkata sepucuk surat rasmi daripada kerajaan Malaysia menerusi Yeo telah dikeluarkan kepada kerajaan Indonesia, menurut agensi berita Malaysia, Bernama.

“Tidak ada surat protes, tapi (surat) keinginan Malaysia untuk menangani jerebu (membantu memadam kebakaran hutan dan kawasan pertanian di Indonesia),” katanya kepada pemberitas.

Di Malaysia pada Jumaat, pencemaran di 30 kawasan telah mencecah tahap tidak sihat setakat pukul 5 petang, kata pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya 29 buah sekolah di negeri Selangor telah ditutup akibat jerebu pada Khamis, yang menjejaskan sejumlah 45,265 pelajar, menurut para pegawai pendidikan Malaysia.

Pakar berkata kebakaran hutan dan tanah gambut boleh menyebabkan peningkatan ketara dalam jumlah pelepasan karbon dioksida.  

“Pelepasan karbon dioksida menyebabkan kesan rumah hijau, yang akan mengakibatkan pemanasan global,” kata Daniel Mudiyarso, seorang saintis iklim di Pusat bagi Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa yang berpangkalan di Bogor.

Daniel berkata kebakaran hutan pada ketika ini belum mencapai tahap pada tahun 2015, di mana 11.3 juta tan karbon dilepaskan setiap hari selama dua bulan, melebihi jumlah 8.9 juta tan yang dilepaskan oleh 28 negara Eropah secara gabungan.  

Kebakaran pada 2015 telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 24 orang, menurut kerajaan Indonesia. Bank Dunia menganggarkan kerugian ekonomi akibat kebakaran itu ialah sebanyak $16 bilion (226 trilion rupiah).

Amalan tebang dan bakar hutan, yang dianggap sebagai cara paling murah dan mudah untuk membersihkan tanah bagi tujuan perladangan, telah dipersalah sebagai punca kebakaran itu.

Ahmad Syamsudin di Jakarta dan Sulthan Azzam di Padang, Indonesia turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh