Follow us

Indonesia Diselar Lancar Kempen Minyak Sawit Meskipun Kebakaran Hutan Merebak

Rina Chadijah
Jakarta, Indonesia
2019-09-17
E-mel
Komen
Share
Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo meninjau sebuah hutan yang terbakar di Pelalawan, wilayah Riau, 17 Sept 2019.
Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo meninjau sebuah hutan yang terbakar di Pelalawan, wilayah Riau, 17 Sept 2019.
[AP]

Kerajaan Indonesia telah dikritik sebagai pekak kerana melancarkan satu kempen media sosial bagi mempromosi minyak sawit ketika kebakaran hutan, yang sering dipersalah dalam langkah pembersihan tanah bagi tujuan perladangan, sedang merebak di Kepulauan Sumatera dan Borneo serta menyebabkan jerebu berlaku di negara-negara jiran.

Kementerian Komunikasi dan Informatika, yang disokong oleh pempengaruh online, telah melancarkan kempen Sawit Baik pada Isnin dengan satu perbincangan di sebuah hotel di Jakarta mengenai manfaat tanaman itu.

“Tindakan kerajaan melancarkan kempen Sawit Baik semasa ramai orang menderita akibat jerebu di Sumatera dan Kalimantan, menunjukkan ketiadaan empati terhadap nasib rakyat,” kata Nur Hidayati, pengarah eksekutif Forum Nasional bagi Alam Sekitar (Walhi), sebuah NGO, kepada pemberita.

Rakyat Indonesia di media sosial segera mengutuk kempen itu.

“Bolehkan anda katakan bahawa ini adalah semata-mata kes ‘masa yang salah’ di pihak kerajaan kita? 'Kerana, anda tahu, #SawitBaik kelihatan seperti para pegawai agak tidak prihatin dengan apa yang sedang berlaku dalam negara pada masa ini,” kata Sheany Yasuko, seorang pengguna Twitter, yang dimuat naik secara online.

“Jika kerajaan boleh mengorbankan kesihatan pernafasan rakyat secara umum untuk penanam tembakau dan tempatan dan konglomerat, sudah tentu ia boleh berbuat demikian bagi eksport industri seperti minyak sawit,” tulis seorang lagi pengguna Twitter, Rocky Intan.

Bagaimanapun Septriana Tangkary, pengarah bagi maklumat ekonomi di kementerian komunikasi, berkata minyak sawit merupakan penyumbang pertukaran asing terbesar pada 2017, yang bernilai US$23 bilion.

“Minyak sawit mempunyai banyak manfaat. Sabun mengandungi minyak sawit namun di Indonesia ia kebanyakannya dijadikan minyak sawit mentah,” katanya.

Akaun Twitter bagi kempen itu, @sawitbaikid, berkata ia berhasrat untuk menyediakan “maklumat yang komprehensif mengenai minyak sawit Indonesia” dan maklum balas kepada kempen negatif terhadapnya. Ia berkata usaha itu disokong oleh Badan Pengelola Dana Perkebunan Kelapa Sawit Indonesia (BPDPKS) dan kementerian-kementerian kerajaan.

 

 

Jokowi: ‘Ini sememangnya sudah direncanakan’

Pada Selasa, Presiden Joko “Jokowi” Widodo meninjau sebuah kawasan yang musnah akibat kebakaran di wilayah Riau dan menyertai solat sunat bagi meminta hujan di pangkalan tentera di bandar Pekanbaru.

“Jika kita lihat betapa teruknya kebakaran yang berlaku, ini sememangnya sudah direncanakan,” kata Jokowi sambil menggesa pihak berkuasa mengutamakan pencegahan.

Polis pada Isnin berkata mereka telah mengenal pasti lima syarikat minyak sawit sebagai suspek yang dikaitkan dengan kebakaran hutan serta ladang di Sumatera dan Borneo. Secara keseluruuhan, polis telah menamakan hampir 200 orang sebagai suspek yang dikaitkan dengan kebakaran itu.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) pada Selasa berkata para pegawai telah mengesan sejumlah 2,984 lokasi panas di seluruh Sumatera dan Borneo.

Pihak berkuasa telah menghantar hampir 6,000 petugas tambahan selain lebih 9,000 orang yang telah berada di lapangan bagi memadam kebakaran, kata BNPB pada Isnin.

Negara jiran Malaysia telah menutup sejumlah 671 buah sekolah dan mengagihkan setengah juta topeng muka di Sarawak minggu lepas apabila asap kebakaran itu mencetuskan kebimbangan terhadap isu kesihatan awam. Kementerian pendidikan Malaysia berkata kira-kira 460,000 pelajar telah terjejas.

Setakat pukul 8 malam Selasa, bandar Sri Aman di negeri Sarawak, berhampiran Kalimantan di Borneo, Indonesia, telah mencecah paras berbahaya dengan bacaan indeks pencemaran udara sebanyak 395, hampir empat kali ganda penanda aras 100, mengikut Indeks Pencemaran Udara Malaysia.

Sekurang-kurangnya 30 kawasan di lima negeri – Selangor, Perak, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan – telah mencatat bacaan kualiti udara tidak sihat dari 102 hingga 187.

Sementara itu, lebih 2,600 orang dilaporkan berdepan isu pernafasan akibat jerebu, kata para pegawai Indonesia.

Satu pertikaian diplomatik meletus minggu lepas antara antara Indonesia dan Malaysia selepas para pegawai di Jakarta menafikan bahawa jerebu di Malaysia berpunca daripada kebakaran hutan di beberapa kawasan di Sumatera dan Kepulauan Borneo di bahagian Indonesia.

Kebakaran hutan merupakan bencana tahunan di Indonesia semasa musim kemarau dan mengakibatkan jerebu yang sering menyelubungi negara-negara jiran, termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand.

Pada 2015, telah berlaku kebakaran hutan paling buruk dalam tempoh dua dekad yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 24 orang, menurut kerajaan Indonesia. Bank Dunia menganggarkan kerugian akibat kebakaran itu adalah sebanyak US$16 bilion (226 trilion rupiah).

Pada Selasa, Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa telah mengambil maklum mengenai peningkatan dalam jumlah pesakit yang menghidap sakit mata akibat jerebu.

"Jerebu akibat kebakaran di Indonesia belum dapat diselesaikan dan telah menyebabkan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan kerana sakit mata meningkat antara 20 peratus dan 30 peratus di seluruh negara,” katanya.


Ali Nufael dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh