Follow us

Malaysia Bukan Penyebab Jerebu, Indonesia Perlu Rujuk Data ASMC, Menteri

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-09-11
E-mel
Komen
Share
Seorang pelancong sedang mengambil gambar persekitaran di Putrajaya yang diselubungi jerebu, Malaysia, 11 September, 2019.
Seorang pelancong sedang mengambil gambar persekitaran di Putrajaya yang diselubungi jerebu, Malaysia, 11 September, 2019.
[AP]

Malaysia pada Rabu membidas kenyataan menteri Indonesia yang menafikan tanggungjawab negara itu terhadap krisis jerebu yang melanda di beberapa negara sekitar akibat daripada pembakaran hutan terbuka di Kalimantan dan Sumatera, dengan meminta Jakarta merujuk kepada data oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, rakan sejawatnya itu seharusnya tidak berada dalam penafian, sebaliknya melihat kepada bukti yang diperoleh daripada data yang dikumpul ASMC.

“Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya, seharusnya keluar daripada kepompong penafian. Biar data yang berbicara,” kata Yeo melalui kenyataan di laman media sosial Facebooknya pada lewat Rabu.

Yeo dalam kenyataan itu turut mengepilkan statistik daripada ASMC yang menunjukan sehingga 10 Sept, titik-titik panas kebakaran yang dikenalpasti adalah sebanyak 474 di wilayah Kalimantan dan 387 di wilayah Sumatera di Indonesia berbanding cuma 7 di Malaysia.

Pada Selasa, Siti Nurbaya menafikan republik itu bertanggungjawab terhadap masalah jerebu yang sedang melanda Malaysia dan negara jiran lain pada masa ini dan sebaliknya menuduh Malaysia sendiri sebagai penyebab bencana tersebut.

Menteri wanita Indonesia itu telah menuduh pihak berkuasa Malaysia tidak telus mengenai kebakaran hutan di negara mereka sendiri sambil berkata, “Ada maklumat yang mereka enggan dedahkan kerana jerebu yang ada berpunca dari Sarawak dan Semenanjung di Malaysia, sementara sebahagian daripadanya mungkin adalah dari Kalimantan Barat,"

Siti Nurbaya juga berkata beliau akan menghubungi Duta Besar Malaysia di Jakarta untuk menggesa negara jiran Indonesia itu supaya memberikan apa yang beliau sifatkan sebagai "maklumat yang betul."

Data yang dikeluarkan oleh ASMC bercanggah dengan kenyataan Siti Nurbaya yang dibuat beliau semasa menemui wartawan di Indonesia pada Selasa, yang berkata bahawa jerebu yang menyelubungi Kuala Lumpur berasal dari Sarawak.

Kejadian jerebu bukanlah satu fenomena luar biasa, saban tahun Malaysia kerap dilanda masalah itu akibat kesan pembakaran terbuka hutan di Kalimantan dan Sumatera sehingga menyebabkan asap tebal merebak masuk di ruang udara Malaysia.

Sarawak, negeri yang terletak di kepulauan Borneo dan bersempadan dengan Kalimantan, pada Selasa menutup beratus-ratus sekolah di negeri itu akibat jerebu yang teruk kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga kawasan di negeri itu berada pada tahap 'amat tidak sihat'.

Manakala Semenanjung Malaysia yang dipisahkan oleh Selat Melaka dengan Sumatera turut dilanda jerebu sejak beberapa hari lepas akibat kebakaran hutan di wilayah negara jiran itu.

Yeo dalam kenyataannya itu turut melampirkan maklumat mengenai kajian arah angin oleh ASMC yang telah mencatatkan arah angin yang bertiup dari selatan telah membawa asap dari Sumatera dan Kalimantan ke utara memasuki ruang udara Malaysia di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

“Berkenaan tuduhan beliau bahawa jerebu yang melanda beberapa negara berasal dari Sarawak, lihat saja arah angin. Tidak logik bahawa ini yang berlaku,” tambah Yeo.

Kenyataan Siti Nurbaya itu turut mendapat tentangan daripada Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Douglas Uggah Embas yang melahirkan rasa terkejut terhadap dakwaan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia itu.

"Jika apa yang dikatakannya adalah benar, ini benar-benar mengejutkan. Jika kamu lihat peta satelit, jelas sekali dari mana jerebu itu berasal,

“Saya harap beliau [Siti Nurbaya] dapat melihat peta dengan betul, beliau tidak seharus menuding jari ke negara yang salah," kata Uggah seperti yang dilaporkan portal berita Malaysiakini.

Pada Rabu, pentadbiran kerajaan Sarawak telah membuka semua 409 buah sekolah yang ditutup sebelum ini.

Dalam usaha kerajaan menangani isu jerebu, Jabatan Alam Sekitar Malaysia melarang sebarang pembakaran terbuka dibuat, berkuatkuasa serta merta.

Norlin Jaafar, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar berkata seluruh Malaysia adalah kawasan larangan pembakaran terbuka kecuali pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, grill/barbeku, pembakaran gas mudah terbakar.

“Larangan berkuatkuasa serta merta sehingga Monsun Barat Daya berakhir. Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000(AS$119,760) atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun sebanyak RM2,000(AS$479) bagi setiap satu kesalahan,” kata Norlin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu.

Sementara itu, Yeo turut mengadakan satu pertemuan bersama wakil Kedutaan Indonesia pada Selasa, yang antara lain menyatakan kebimbangan terhadap impak jerebu rentas sempadan kepada rakyat Malaysia selain menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadamkan api hutan yang marak di Kalimantan dan Sumatera.

Malaysia turut mengadakan pertemuan di Indonesia di antara Duta Malaysia ke negara itu, Zainal Abidin Bakar dan pegawai kanan kerajaan Jakarta dalam membincangkan perkara sama.

Menurut Yeo, kerajaan Indonesia sedang mengkordinasi pelan tindakan bersama institusi yang lain untuk mengatasi punca masalah kebakaran itu.

Indonesia, Malaysia dan kesemua sepuluh negara-negara ASEAN sebelum ini telah memetrai Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2002 yang bertujuan untuk mengurangkan pencemaran jerebu merentas sempadan yang disebabkan oleh kebakaran hutan melalui usaha negara bersepadu dan kerjasama antarabangsa.

Perjanjian tersebut terhasil daripada bencana jerebu yang teruk pada tahun 1997 walaubagaimapun gagal untuk membanteras berulangnya terjadi bencana tersebut.


Ali Nuefal di Kuala Lumpur turut membantu dalam laporan ini.

Lihat Laman Penuh