Pemimpin Malaysia, Indonesia Bincangkan ‘Diskriminasi’ Minyak Sawit EU
2019.08.09
Putrajaya, Malaysia
Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Jumaat membincangkan tentang perlunya untuk bersatu menentang "diskriminasi" minyak sawit di Eropah, dengan kedua-dua negara Asia Tenggara itu adalah pengeluar utama dunia bagi komoditi tersebut, kata para pegawai.
Jokowi bertemu dengan Mahathir di pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya, semasa pemimpin Indonesia itu melakukan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara selepas memenangi semula pilihan raya tahun ini.
Kementerian Luar Negeri Indonesia berkata melalui Twitter bahawa kedua-dua pemimpin itu membincangkan "pendirian untuk bersatu dalam memerangi diskriminasi minyak sawit" serta isu-isu lain, manakala Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa mereka berbincang tentang "kerjasama dalam industri [minyak sawit]. "Kedua-dua kementerian itu memberi butiran lanjut.
Pada Mac lalu, Kesatuan Eropah (EU) yang dianggotai 28 negara mahu minyak kelapa sawit tidak dijadikan bahan api pengangkutan boleh diperbaharui berikutan kebimbangan bahawa ladang kelapa sawit menyumbang kepada penebangan hutan. EU juga berkata ia merancang untuk mengenakan duti anti subsidi sebanyak 8 hingga 18 peratus bagi biodiesel sawit dari Indonesia.
Dalam satu siaran berita pada bulan sama, kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa ia akan menilai hubungannya dengan negara-negara Kesatuan Eropah yang telah mengambil tindakan terhadap eksport minyak sawit.
"Sekiranya diskriminasi terhadap minyak kelapa sawit berterusan, kami khuatir ini akan menjejaskan hubungan baik yang terjalin bertahun-tahun lamanya antara Indonesia dan EU, terutama pada masa ini ketika kami sedang mengadakan perbincangan intensif tentang Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-Kesatuan Eropah," kata Menteri Koordinator Perekonomian Darmin Nasution pada masa itu.
Pada April, kerajaan Indonesia dan Malaysia menghantar surat kepada EU bagi mengkritik keputusan blok Eropah itu untuk melarang penggunaan minyak sawit sebagai bahan api hijau.
Minyak sawit digunakan dalam produk sabun dan penjagaan kulit, bahan api bio dan pelbagai produk makanan termasuk marjerin, coklat dan mentega kacang. Kedua-dua negara Asia Tenggara yang berjiran itu membekalkan kira-kira 60 juta tan minyak sawit setiap tahun atau 85 peratus daripada pengeluaran dunia, menurut perangkaan kerajaan.
Sebelum mengadakan pertemuan dengan Mahathir pada Jumaat, Jokowi memberitahu satu saluran televisyen Malaysia bahawa kedua-dua negara itu perlu bekerjasama untuk menangani "diskriminasi" Kesatuan Eropah terhadap produk minyak sawit.
"Saya ulangi sekali lagi bahawa Indonesia dan Malaysia perlu bekerjasama untuk memerangi diskriminasi terhadap minyak sawit," kata Jokowi dalam temu bual itu, menurut laporan Bernama, agensi berita negara Malaysia.
Sementara itu, para pemilik perladangan di Indonesia telah didakwa gagal membayar denda berjumlah berbilion dolar berikutan kebakaran hutan yang berpunca daripada amalan pembersihan tanah.
Awal minggu ini, Jokowi mengeluarkan moratorium tetap bagi amalan tersebut.Sehari kemudian iaitu pada Selasa, beliau mengancam untuk memecat para pegawai sekiranya mereka gagal menangani kebakaran hutan.
"Saya sudah menghubungi komander tentera dan ketua polis untuk memberitahu bahawa tempat mereka akan diganti jika masih gagal menyelesaikan isu kebakaran hutan dan tanah," kata Jokowi pada masa itu.
Perbincangan lain
Selain daripada membincangkan isu minyak sawit, kedua-dua pemimpin itu juga membincangkan tentang sempadan maritim dan tanah serta perlindungan untuk pembantu rumah Indonesia di Malaysia, menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia. Tanpa memperincikan tentang perbincangan itu, kenyataan itu menyatakan bahawa Mahathir dan Jokowi turut "menyentuh" mengenai permohonan Timor-Leste untuk menyertai Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dianggotai 10 negara.
"Ya, ia adalah perbincangan yang baik," kata Mahathir kepada pemberita mengenai pertemuan selama sejam itu, dari dalam kereta Proton berwarna merah buatan Malaysia sebelum beliau memandu Jokowi, yang tidak mengulas apa-apa, ke jamuan makan tengah hari.
Selepas mengakhiri pertemuan mereka dan lawatan dua hari Jokowi, kedua-dua pemimpin itu ke Singapura bagi menghadiri sambutan Hari Kebangsaan dan tidak mengadakan sidang berita.
Jokowi tiba di Kuala Lumpur pada malam Khamis untuk mengadakan lawatan rasmi pertamanya di luar Indonesia sejak memenangi semula pilihan raya pada Mei. Pada Jun 2018, beliau menerima kunjungan Mahathir yang melakukan lawatan rasmi pertamanya selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri berikutan kemenangan besar Pakatan Harapan pada bulan sebelum itu.
Dalam catatan Twitter dari Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Malaysia, Jokowi menceritakan kejayaan dalam bidang petroleum, kayu, dan sumber semula jadi serta membentangkan wawasan untuk mahu ke hadapan.
"Ke depan, percayalah, kita harus membangun pondasi sumber daya manusia yang berkualitas, yang menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi," katanya tanpa mengulas lanjut.
Penganalisis James Chin yang juga Pengarah Pengajian Asia di Universiti Tasmania berkata lawatan itu adalah biasa bagi para pemimpin.
"Sebagai jiran, anda tidak mempunyai sebarang pilihan jika berkongsi sempadan. Sudah tentu ada banyak isu, ada isu sempadan, isu pemerdagangan manusia, isu pembantu rumah tetapi secara umumnya, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Indonesia dan Jokowi tidak melihat Malaysia sebagai masalah, "katanya kepada BeritaBenar.
Sementara itu, ahli akademik, Ahmad Marthada Mohamed dari Universiti Utara Malaysia berkata kunjungan itu menunjukkan pengiktirafan terhadap hubungan Malaysia.
"Ia menunjukkan komitmen Indonesia kepada Malaysia. Indonesia menghargai kita dalam konteks diplomatik dan kunjungan itu akan menjalin ikatan yang lebih baik antara kedua-dua negara, "katanya.
Pada 2017, perdagangan antara kedua-dua negara adalah berjumlah AS$16.89 bilion, menjadikan Malaysia sebagai rakan dagangan Indonesia yang ketujuh terbesar dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura dan Thailand.
Ali Nufael di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.