Follow us

Mahathir, Jokowi Eratkan Hubungan Dua Hala

Tria Dianti & Arief Rahmat
Jakarta & Kuala Lumpur
2018-06-29
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (dua, kanan) dan isteri Siti Hasmah Mohd Ali (kiri) berbual mesra bersama Presiden Indonesia Joko Widodo (kanan) dan isteri Iriana Joko Widodo di Barandah Talk, Istana Presiden Bogor di Jawa Barat, Indonesia, 29 Jun 2018.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (dua, kanan) dan isteri Siti Hasmah Mohd Ali (kiri) berbual mesra bersama Presiden Indonesia Joko Widodo (kanan) dan isteri Iriana Joko Widodo di Barandah Talk, Istana Presiden Bogor di Jawa Barat, Indonesia, 29 Jun 2018.
[Pejabat Presiden Indonesia]

Kerajaan baharu Malaysia dan Indonesia sepakat mahu meningkatkan hubungan dua hala dalam semua aspek termasuk politik dan ekonomi bagi memastikan kedua-dua negara jiran itu terus menikmati manfaat bersama.

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad yang berada di Jakarta, dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara itu, diberi sambutan rasmi di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat, oleh Presiden Joko Widodo pada Jumaat.

Kedua-dua pemimpin yang mengadakan pertemuan empat mata sebelum itu, menyampaikan kenyataan bersama dengan harapan persahabatan antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan dan dikekalkan dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi dan juga perhubungan antarabangsa.

Mahathir, sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua, kini memimpin kerajaan baharu Malaysia selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu, dan sedang giat berusaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia sambil meneruskan dasar luar yang sedia ada.

“Hari ini kita sibuk untuk memulih semula negara kita. Insya-Allah, kita akan teruskan dasar-dasar terutama dasar luar negeri yang mengutamakan persahabatan dengan negara jiran, Indonesia,” kata Mahathir dalam lawatan rasmi pertama ke negara Asia Tenggara sejak menyandang jawatan Perdana Menteri.

“Kami telah berbicara dan sepakat dengan intinya, terutama mengenai urus tadbir yang baik,  pembasmian rasuah, perhubungan dua hala, termasuk masalah persempadanan yang satu demi satu akan dibincangkan di peringkat menteri,” Presiden yang juga dikenali sebagai Jokowi berkata di sidang media bersama dengan Mahathir.

Jokowi juga berkata, manfaat akan diperolehi Malaysia dan Indonesia jika kerjasama sempadan menjadi kenyataan berdasarkan dialog yang berpegang kepada undang-undang antarabangsa.

“Berhubung dengan isu antarabangsa yang melibatkan Laut China Selatan, kami mempunyai komitmen yang sama berdasarkan undang-undang antarabangsa,” tambahnya.

Kempen negatif minyak sawit

Selain itu kedua-dua negara juga sepakat untuk menangkis kempen negatif Eropah terhadap industri minyak sawit dengan Mahathir berkata, sebagai pengeluar utama komoditi itu, Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama melawan kempen negatif Eropah untuk memburukkan industri sawit.

“Tentangan Eropah itu dilihat lebih berkaitan dengan isu ekonomi dan bukannya kesan alam sekitar akibat penerokaan tanah untuk tanaman sawit. Negara Eropah sebenarnya tidak lagi mempunyai kawasan yang dilitupi hutan kerana hampir semuanya sudah ditebang. Apabila kita perlukan kawasan penanaman sawit yang lebih besar, mereka menentangnya," kata Mahathir.

Jokowi juga menyuarakan pentingnya perlindungan ke atas buruh asing dari Indonesia yang berada di Malaysia.

Mahathir antara lain berkata Malaysia akan mengkaji kemungkinan untuk mewujudkan sekolah bagi kanak-kanak berkerakyatan Indonesia, terutama di Sabah dan Sarawak.

“Ini akan kami perbetulkan. Ada yang datang secara sah dan tidak. Namun kami sedar yang datang secara sah tidak datang berseorangan tetapi mempunyai keluarga termasuk anak-anak. Kami akan cuba mendapatkan mereka pendidikan dan persekolahan,” kata Perdana Menteri yang akan menyambut ulang tahun ke-93 bulan depan.

Mahathir juga berkata Malaysia akan menjalinkan kerjasama dengan Indonesia untuk menghasilkan kereta Asean yang bakal dihidupkan semula selepas dipersetujui pada tahun 2015 tetapi tidak menjadi kenyataan berikutan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, walaupun Proton dan PT Adiperkasa Citra Lestari telah menandatangani MoU.

Mahathir, yang juga pengerusi Proton sebelum ini, berkata usahasama itu boleh diperluaskan ke arah pembinaan kereta Asean.

Sementara itu, penganalisis hubungan antarabangsa dari Universiti Indonesia, Cecep Hidayat berkata, lawatan Mahathir dilihat wajar dalam usaha untuk menjalinkan hubungan baik di antara kedua-dua negara.

"Lawatan itu mampu melahirkan kesan positif dari segi perdagangan dan ekonomi kerana jumlah pelabur Malaysia yang melabur di Indonesia semakin meningkat," katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Semoga Malaysia kekal menjadi 'kawan baik' Indonesia, dan terus bekerjasama untuk meningkatkan pelaburan memandangkan peranan penting Indonesia di rantau Asean, kata Cecep.

Lihat Laman Penuh