Lawatan Rasmi: Muhyiddin Dijadual Bertemu Jokowi Jumaat

Perdana Menteri bersama delegasi kecilnya akan membincangkan hal berkaitan kerjasama ekonomi, keselamatan dan minyak sawit, kata Wisma Putra.
Ray Sherman & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-02-03
Share
Lawatan Rasmi: Muhyiddin Dijadual Bertemu Jokowi Jumaat Muhyiddin Yassin meninggalkan Istana Negara selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri, di Kuala Lumpur, 1 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membuat lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia dan dijadualkan bertemu Presiden Jokowi - Joko Widodo di Istana Merdeka pada Jumaat, untuk membincangkan peningkatan kerjasama ekonomi dan keselamatan serta usaha pengeksportan produk minyak sawit kedua-dua negara, kata Kementerian Luar Malaysia pada Rabu.

Kedua negara jiran itu mendominasi pengeluaran minyak sawit dunia dan perladangan, terutama Malaysia yang disiasat atas pendakwaan berlakunya penindasan dan menggunakan tenaga buruh paksa baru-baru ini.

Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu berkata Malaysia menerima undangan Indonesia, dengan Perdana Menteri akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia selama dua hari mulai Khamis, selepas beliau dilantik ke jawatan itu,  Mac lepas.

"Selepas dilantik pada Mac 2020, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menerima satu undangan khas daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia. Dengan semangat persahabatan yang rapat dan hubungan dua hala yang kuat yang disemai sejak berdekad, Malaysia berasa terhormat untuk menerima undangan dari Indonesia itu.

"Ada beberapa perkara membabitkan kepentingan kedua-dua negara yang memerlukan perbincangan lanjut serta persefahaman bersama, termasuk isu penting seperti kerjasama ekonomi, keselamatan dua negara dan serantau, dan usaha bersama dalam melawan pandemik COVID-19.

“Oleh itu, pemimpin kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan secara bersemuka," demikian menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra yang turut memberitahu bahawa pertemuan kedua pemimpin itu dijadualkan berlangsung di Istana Merdeka pada pagi Jumaat.

Antara isu yang turut akan dibincangkan adalah mengenai cabaran dihadapi Malaysia dan Indonesia ketika pandemik COVID-19, serta usaha bersama kedua-dua negara dalam melawan diskriminasi masyarakat antarabangsa terhadap minyak sawit keluaran mereka.

"Malaysia dan Indonesia adalah pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia. Penerusan sektor komoditi ini adalah kritikal untuk faedah ekonomi kedua-dua negara. Ini adalah amat penting kerana ia akan menguntungkan lebih 600,000 pengusaha kecil minyak sawit di Malaysia,” kata Wisma Putra lagi.

Amerika Syarikat baru-baru ini telah mengenakan sekatan kepada produk minyak sawit yang dieksport oleh dua syarikat Malaysia, iaitu Sime Darby Plantation dan FGV Holdings, ekoran isu dakwaan berlakunya aktiviti buruh paksa dalam operasi mereka.

Kesatuan Eropah pula pada Januari telah mengundi untuk melarang penggunaan minyak sawit di dalam bahan bakar bio (Biofuels), atas alasan bahawa aktiviti perladangan kelapa sawit mempercepatkan penebangan hutan serta pemanasan global.

Saringan dan kuarantin

Sebagai langkah berjaga-jaga dan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, Wisma Putra berkata, delegasi Malaysia perlu menjalani ujian saringan Koronavirus, 48 jam sebelum berlepas dan satu lagi ujian setibanya di Jakarta, dengan hanya individu disahkan negatif akan dibenarkan untuk meneruskan program lawatan rasmi berkenaan.

Oleh kerana lawatan itu dibuat ketika kedua-dua negara merekodkan bilangan kes positif COVID-19 yang tinggi setiap hari, semua ahli delegasi Malaysia juga tidak dibenarkan untuk bergerak ke mana-mana tempat lain di luar lokasi ditetapkan sepanjang lawatan.

"Presiden Indonesia Joko Widodo sendiri telah mengarahkan supaya lokasi rasmi untuk lawatan itu dibuat di Istana Merdeka di Jakarta, dan bukannya Istana Bogor di Jawa Barat. Program yang diatur untuk lawatan rasmi juga telah dipendekkan," kata Wisma Putra.

Delegasi kecil Malaysia diketuai Muhyiddin itu akan turut disertai Menteri Luar Hishammuddin Hussein yang juga dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Retno Marsudi semasa lawatan itu.

“Delegasi Malaysia itu juga dijadual menggunakan pesawat ditempah khas untuk mewujudkan ‘gelembung perjalanan' bagi perjalanan ke republik itu,” kata Wisma Putra lagi.

Kesemua delegasi Malaysia itu juga dikehendaki menjalani kuarantin mandatori seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan sebaik tiba di Tanahair pada Jumaat.

Menurut Wisma Putra, perkara lain yang akan dibincangkan adalah mengenai isu jerebu yang merentasi sempadan, serta potensi penglibatan perniagaan Malaysia menyertai pemindahan ibunegara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

Selain itu, rundingan mengenai skim Laluan Hijau Timbal Balik (Reciprocal Green Lane) untuk perjalanan bagi aktiviti rasmi dan perniagaan antara dua negara ketika pandemik juga akan dibincangkan.

"Perbincangan lebih teliti mengenai prosedur operasi standard yang boleh dipersetujui kedua-dua negara dengan skim RGL tidak akan diimplementasikan secara terus, tetapi bergantung kepada status pandemik COVID-19 pada satu masa, dengan kelulusan pihak berkuasa kesihatan kedua negara, " kata kenyataan itu yang turut menambah bahawa vaksinasi COVID-19 juga menjadi topik perbincangan kerana Indonesia telah memulakan program vaksinasi kepada rakyatnya.

Pentingnya hubungan dua hala

Penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata lawatan kerja itu menunjukkan betapa pentingnya hubungan dua hala antara Malaysia dengan Indonesia.

"Persetujuan PM (Muhyiddin) untuk menemui Presiden Indonesia ketika pandemik menunjukkan betapa kepentingan diberikan kepada hubungan Malaysia-Indonesia.

"Isu-isu seperti diskriminasi minyak sawit, keselamatan sempadan, dan tenaga kerja akan menjadi topik penting ketika puncak perjumpaan dua hala ini. Dan bukan itu sahaja, kedua-dua negara boleh bertukar idea serta pengalaman mereka dalam menangani COVID-19," kata beliau kepada BeritaBenar.

Menurut Tunku Mohar, ia adalah satu tradisi bagi seorang pemimpin Asia Tenggara yang baharu memegang jawatan untuk mengadakan lawatan kepada ketua-ketua kerajaan anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), dan lawatan Muhyiddin itu sebelum ini telah dilewatkan kerana ketidaktentuan politik negara serta pandemik.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata lawatan Muhyiddin tidak dilihat mempunyai apa-apa agenda tersembunyi, selain daripada memenuhi jemputan yang diterima daripada Jokowi.

"Agenda yang sudah dikeluarkan, seperti membincangkan isu diskriminasi minyak sawit, perdagangan, dan mencipta laluan hijau antara dua negara ketika pandemik adalah isu yang kelihatan seperti boleh dibincangkan melalui mesyuarat atas talian, tanpa perlu berjumpa.

"Namun, saya rasa sebab utama Muhyiddin melawat Indonesia adalah sebagai menghormati undangan Jokowi," kata beliau kepada BeritaBenar.

Pada Rabu, Malaysia merekodkan 4,824 lagi kes COVID-19 serta 18 kematian, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan dan kematian meningkat kepada 226,912 kes dan 809 kematian.

Malaysia adalah antara rakan dagang Indonesia yang utama, dengan AS$16 bilion nilai import dan eksport direkodkan pada 2019 dan dari sektor pelancongan, 2.58 juta rakyat Malaysia telah melawat Indonesia untuk tempoh yang sama.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh