Jerebu: Malaysia Pindahkan Pelajarnya dari Indonesia

Noah Lee & Aminah Farid
2019.09.24
Kuala Lumpur, Malaysia
190924-MY-ID-Haze1000.jpg Pihak berkuasa Indonesia sedang menyemburkan air bagi memadamkan kebakaran hutan di Kampar, Riau, Indonesia, 18 September, 2019.
[AP]

Malaysia akan memindahkan kira-kira 300 pelajarnya dari wilayah Riau dan Jambi di Indonesia ekoran Indeks Pencemaran Udara [IPU] meningkat ke tahap merbahaya, iaitu antara 500 hingga 700 akibat kebakaran hutan berterusan di Kepulauan Sumatera, demikian menurut Kementerian Luar Negeri pada Selasa.

Pemindahan pelajar itu dibuat selepas Gabenor Riau, Syamsuar pada Isnin telah mengisytihar wilayah tersebut berstatus darurat selama seminggu akibat jerebu teruk dengan pencemaran udara yang sangat merbahaya dengan IPU melebihi bacaan 500.

“Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan proses evakuasi pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana jerebu di Provinsi Riau dan Jambi, Indonesia,

“Keadaan jerebu di wilayah tersebut berada pada tahap yang sangat membimbangkan dengan bacaan IPU di antara 550 – 700 iaitu dalam kategori merbahaya,” kata Wisma Putra, nama yang sering digunakan bagi Kementerian Luar Negeri Malaysia, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Selasa.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa proses pemindahaan pelajar itu akan dilaksanakan secara bersama antara kementerian tersebut dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta beberapa agensi lain yang terlibat.

Syamsuar semasa bercakap kepada wartawan di Riau memberitahu, “Hari ini [Isnin] kita secara rasmi telah mengisytiharkan Riau berada dalam status darurat kerana keadaan pencemaran udara merbahaya, akibat jerebu, dari hari ini hingga 30 September, mudah-mudahan adanya perubahan dan hujan turun tidak lama lagi,”

Sementara itu Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) Agus Wibowo memberitahu, "Status kecemasan bermakna kerajaan berfikiran kebakaran hutan kini menjadi bencana, yang sekaligus membenarkan kerajaan menggerakkan semua sumber untuk memadamkan kebakaran,"

 

Tompok panas

Ratusan tompok panas akibat kebakaran masih boleh dilihat daripada satelit pemantauan, melitupi Sumatera dan Kalimantan.

Selain itu,  NADMA juga memaklumkan bahawa pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Pekanbaru dengan kerjasama KPM, telah mengenalpasti seramai 306 pelajar Malaysia berada di Pekanbaru dan Jambi akan dipindahkan daripada kawasan darurat tersebut.

Seramai 165 pelajar akan di bawa pulang ke Malaysia melalui penerbangan komersial manakala 141 lagi akan dipindakan ke Dewan Malaysia di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi proses berkaitan visa terlebih dahulu.

“Para pelajar yang akan dihantar pulang ke Malaysia akan menggunakan pesawat komersial bagi mempercepatkan proses evakuasi, manakala baki 141 orang lagi akan berpindah menggunakan pesawat tempatan ke Jakarta dan akan berada di pusat evakuasi Dewan Malaysia (Malaysia Hall) sehingga keadaan pulih.

“Kumpulan pelajar yang akan tinggal ini adalah mereka yang perlu memulakan permonohan visa semula yang akan mengambil masa agak lama dan ada juga sebilangannya yang merupakan pelajar baru yang masih menunggu kelulusan permohonan Kartu Izin Tinggal Sementara (KITAS) daripada Imigresen Indonesia,” jelas NADMA.

Kebakaran yang memusnahkan sejumlah besar kawasan hutan di Indonesia, sehingga menyebabkan jerebu bukanlah satu fenomena luar biasa, sebaliknya disebabkan pembakaran terbuka bagi tujuan membersihkan tanah yang sukar dibendung di Indonesia sehingga menyebabkan negara itu dan negara-negara jirannya turut diselubungi dengan asap dan abu yang beracun.

Saintis di Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR) Henry Purnomo minggu lalu berkata kepada BeritaBenar, pembakaran terbuka bagi tujuan membersihkan tanah di Indonesia adalah satu perbuatan yang melanggar undang-undang dan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun di bawah undang-undang alam sekitar Indonesia 1999, tetapi para pemimpin tempatan sering tidak menghiraukan amaran tersebut.

Selain itu, menurut NADMA, Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia pada Isnin telah memaklumkan kepada Malaysia bahawa bacaan IPU di Jambi dan Pekanbaru sehingga jam 12 tengahari masing-masing berada pada paras 763 dan 694.

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad seperti laporkan akhbar Berita Harian baru-baru ini berasa hairan kenapa Indonesia tidak mahu menerima tawaran Malaysia untuk membantu negara jiran itu memadamkan kebakaran hutannya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sepanjang masa menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi memadamkan kebakaran hutan di negara itu yang mana Malaysia turut menerima kesannya.

“Saya tak tahu kenapa, dan bukan saya untuk bertanya (kepada Indonesia), awak (wartawan) perlu tanya (Presiden Indonesia, Joko Widodo) kenapa tak mahu terima bantuan kita (Malaysia). Kita ada pesawat pengebom air yang boleh digunakan (untuk operasi di Indonesia),” katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.