Malaysia-Indonesia sepakat tingkatkan kawalan keselamatan sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan
2022.08.09
Kuala Lumpur
Malaysia dan Indonesia telah mencapai persetujuan bersama pada mesyuarat menteri pertahanan dari kedua-kedua negara pada Selasa untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan antarabangsa, khususnya di Sarawak dan Kalimantan, di mana Indonesia bakal membangunkan pusat pentadbiran baru negara itu.
Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein berkata persefahaman itu dicapai dalam pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya, Prabowo Subianto ketika Mesyuarat Ke-42 General Border Committee (GBC) Malaysia-Indonesia (Malindo) yang telah berlangsung di ibukota Kuala Lumpur.
“Hasil Mesyuarat GBC (General Border Committee) tahun ini, saya dan TYT Prabowo telah mencapai beberapa kesepakatan penting khususnya berhubung keselamatan dan pertahanan di sempadan.
“Ini termasuklah mempercepatkan penugasan Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia di Pos Gabungan Bersama (GABMA) yang sedia ada dan baharu melibatkan 7 pos di Malaysia dan 7 pos di Indonesia dan mengaktifkan semula patrol terkoordinasi Darat, Laut dan Udara yang telah tertangguh disebabkan COVID-19, sebagai langkah memperkukuhkan hubungan kerjasama antara agensi keselamatan kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mesyuarat dua hala itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan dan pembangunan sosio-ekonomi di sepanjang sempadan Malaysia dan Indonesia.
“Ini selari dengan komitmen yang saya suarakan kepada Premier Sarawak tempoh hari bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi fokus sepenuhnya untuk meningkatkan pertahanan di sempadan termasuk sempadan Sarawak-Kalimantan, lebih-lebih lagi mengambil kira perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan kelak,” ujarnya lagi.
Indonesia dijangka akan memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur pada awal tahun 2024. Proses membangunkan ibu negara baru itu yang dinamakan Nusantara sudahpun bermula.
Pemindahan pusat pentadbiran itu dibuat susulan kepadatan penduduk yang terlalu tinggi di Jakarta – antara tertinggi di dunia, selain ancaman bencana banjir kerana berada di kawasan rendah.
Kawalan sempadan Malaysia-Kalimantan di Borneo adalah antara cabaran keselamatan yang berlanjutan sejak sekian lama memandangkan jarak yang panjang sejauh 1,800 kilometer membabitkan kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah.
Menurut rekod, jarak sempadan antara Sarawak dengan Kalimantan Barat, Tengah dan Utara adalah sepanjang 1,100 kilometer manakala jarak sempadan Sabah dan Kalimantan Utara pula sepanjang 700 kilometer.
Pada September 2021, BenarNews melaporkan Hishammuddin memaklumkan Dewan Rakyat bahawa Malaysia merancang membina 10 buah pos kawalan keselamatan ketenteraan yang baharu di sepanjang sempadan dengan Indonesia dan Sarawak yang terletak di timur Borneo sepanjang tahun 2022.
Menurutnya tambahan 10 buah pos kawalan keselamatan itu adalah tambahan kepada empat pos kawalan imbangan di sempadan Sarawak-Kalimantan, yang dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2022 oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Empat pos berkenaan ialah Pos Padang Pan di Bahagian Kuching, Pos Batu Kaya di Bahagian Sri Aman, Pos Sungai Paoh di Bahagian Serian dan Pos Tapak Megah di Bahagian Kapit.
Apabila kesemua pos itu siap sepenuhnya, Sarawak bakal mempunyai 14 buah pos keseluruhan di sepanjang sempadannya dengan Kalimantan.
Dalam siri pertemuan dan mesyuarat kali ini, kedua-dua negara turut menandatangani Memorandum Persefahaman dalam mengukuhkan lagi kerjasama dalam pertahanan merangkumi lima fokus utama iaitu meningkatkan perkongsian maklumat mengenai isu-isu pertahanan dan juga kerjasama dalam sains dan teknologi pertahanan antara lainnya.
Kerjasama serantau
Dalam pada itu, agensi berita Indonesia, Antara, melaporkan Prabowo sebagai berkata Indonesia dan Malaysia perlu sentiasa bersatu dan bergerak seiringan ke arah keamanan dunia.
Tegas Prabowo, kerjasama erat di antara negara berjiran tersebut akan menjadi aset untuk bergerak seiring dalam mengukuhkan hubungan baik dan kerjasama di antara negara berjiran dan negara-negara sekutu bagi mengekalkan kestabilan di rantau tersebut.
“Dengan penyatuan di antara Indonesia dan Malaysia, kita mampu “selamat” melayari situasi geopolitikal yang penuh dengan ketidaktentuan,” ujarnya lagi.
Penganalisis pula menyifatkan kerjasama pertahanan Malaysia-Indonesia sebagai hubungan yang amat penting bagi menangani ancaman keganasan dan keselamatan siber di samping memastikan kestabilan di Asia Tenggara yang berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik susulan persaingan sengit kuasa-kuasa besar dunia meluaskan pengaruh di rantau itu.
Mohamad Faisol Keling, pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia kerjasama erat Malaysia-Indonesia begitu penting bagi memperkukuh perkongsian tugas mengawal sempadan maritim khususnya Selat Melaka daripada campurtangan kuasa-kuasa besar di Asia Tenggara.
Ujarnya, persefahaman Malaysia-Indonesia juga penting memandangkan kedua-dua negara berkongsi dan memiliki pertindihan sempadan laut dengan kuasa besar China seperti dalam kes kepulauan Spratly.
“Persefahaman Malaysia-Indonesia ini dapat mempengaruhi kedua-dua negara untuk mementingkan kaedah penyelesaian konflik menggunakan pendekatan diplomatik,” ujarnya kepada BenarNews.
Prof Dr Ismail Ali, pakar maritim dan pertahanan Universiti Malaysia Sabah pula berpandangan, kerjasama Malaysia-Indonesia wajar terus diperkukuhkan dalam memerangai ancaman rentas-sempadan seperti aktiviti lanun, pemerdagangan manusia dan penyeludupan.