Indonesia Siasat Jika Sindiket Penyeludupan Manusia Terlibat Dalam Pendaratan Rohingya

Kumpulan terbaru pelarian tanpa kerakyatan dari Myanmar mendarat di wilayah Aceh pada awal pagi Ahad.
Uzair Thamrin
2022.03.07
Banda Aceh, Indonesia
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Indonesia Siasat Jika Sindiket Penyeludupan Manusia Terlibat Dalam Pendaratan Rohingya Pelarian Rohingya berehat di perkarangan sebuah masjid selepas tiba dengan bot di Bireuen, Aceh, 6 Mac 2022.
[AFP]

Pihak berkuasa Indonesia melancarkan siasatan mengenai berkemungkinan adalahnya penglibatan sindiket penyeludupan manusia semasa pendaratan 114 etnik Rohingya di wilayah Aceh pada hujung minggu selepas lebih 25 hari berada di lautan, kata seorang jurucakap polis pada Isnin.

Penduduk kampong yang tinggal di kawasan pesisir pantai Bireuen yang terletak dalam wilayah Aceh telah melihat sekumpulan lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohinyah turun daripada sebuah bot kayu yang usang pada awal pagi Ahad, sebelum bertindak untuk membantu mereka ke tempat selamat, kata pegawai kerajaan dan Polis negara itu.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 58 lelaki, 21 wanita dan 35 kanak-kanak kemudiannya dibawa ke sebuah masjid berdekatan dan diberikan makanan.

"Kami sedang menyiasat kemungkinan pendaratan ini mempunyai hubungan dengan sindiket penyeludupan manusia, dan kami sedang mengumpul maklumat dan bukti daripada saksi,” kata Pesuruhjaya Kanan Polis Aceh, Winardy.

Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati pelarian tersebut telah berada di laut selama 25 hari dengan hanya berbekalkan sedikit makanan.

"Seramai 74 daripada mereka memiliki kad pelarian UNHCR, manakala 30 lagi mempunyai kad vaksinasi (COVID-19)," kata Winardy lagi.

Dalam pada itu, seorang pemimpin masyarakat tempatan Muslim A Majid, ketibaan kumpulan pelarian Rohingya itu disedari oleh penduduk tempatan yang sedang mencari ketam di kawasan pantai.

"Semasa kami menemui mereka, kumpulan itu telah turun dari bot dan duduk di satu kawasan sunyi di pantai berkenaan," kata beliau kepada BenarNews.

Katanya, pihak pentadbiran Bireuen telah menyediakan makanan untuk warga Rohingya itu, manakala dapur masjid itu akan dibuka sepanjang mereka mendapatkan perlindungan di situ.

Dalam pada itu, Mitra Suryono, jurucakap bagi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNHCR) berkata adalah masih kurang jelas dari mana kumpulan Rohingya tersebut bertolak dan destinasi sebenar yang dituju mereka.

"Pada masa ini fokus kami adalah mengenai kesihatan mereka. Kesemua mereka telah menjalani ujian COVID dan kini berada dalam tempoh kuarantin.

"Berdasarkan kepada pendaratan terkini itu adalah jelas yang sesetengah pelarian sudah mempunyai kad yang dikeluarkan UNHCR di Bangladesh kerana mereka telah lari ke negara tersebut dan mendaftar sebagai pelarian di sana," tambah Mitra.

Segera tempatkan semula

Ketua Pentadbiran Bireuen, Muzakkar A Gani berkata beliau berharap warga Rohingya berkenaan akan dipindahkan ke bandar Lhokseumawe di Utara Aceh, di bawah seliaan UNCHR dan Organisasi Antarabangsa Mengenai Migrasi.

"Pusat penempatan sementara di Bireuen tidak cukup selamat dan terdapat kebimbangan bahawa para pelarian itu akan melarikan diri," Muzakkar memberitahu pemberita.

Sejak pasukan keselamatan Myanmar memulakan operasi besar-besaran secara keras terhadap kumpulan Rohingya di negeri Rakhine pada 2017, ratusan telah membayar sindiket pemerdagangan manusia untuk membawa mereka ke Thailand dan Malaysia.

Pelarian Rohingya berharap dapat melarikan diri ke negara lain bagi mendapatkan pekerjaan dan mengelak daripada terpaksa tinggal di kem pelarian yang sesak di Bangladesh.

Lebih 740,000 warga Rohingya yang lari dari Myanmar sejak 2017 telah ditempatkan di kem-kem pelarian sekitar Cox's Bazar di Bangladesh yang kini menjadi tempat tinggal bagi lebih sejuta pelarian.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, kumpulan-kumpulan Rohingya didapati telah menaiki bot bagi menuju ke negara lain untuk mendapatkan perlindungan, namun mereka selalu dihalang untuk masuk.

Pada Disember lepas, lebih 100 orang Rohingya, kebanyakannya kanak-kanak, diselamatkan nelayan apabila enjin bot mereka mengalami kerosakan di kawasan perairan di Utara Aceh.

Indonesia telah bersetuju untuk membenarkan pelarian itu mendarat walaupun sebelum itu berkeras mahu menghalau mereka, tetapi menyatakan bahawa mereka mempunyai sumber yang terhad bagi menjaga pelarian ketika negara berkenaan sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

Sekurang-kurangnya 36 daripada mereka kemudiannya telah melarikan diri daripada kem di Lhokseumawe, dan mencetuskan kebimbangan bahawa pelarian tersebut telah diseludup keluar dai Indonesia oleh sindiket pemerdagangan orang, kata Muzakar.

"Saya masih belum mempunyai cukup bukti, tetapi ia kelihatan telah dibuat secara sistematik, jadi kami mengesyaki bahawa ia melibatkan pihak lain," kata Muzakar.

Pegawai kerajaan tempatan menyatakan bahawa mereka tidak tahu ke mana destinasi pelarian Rohingya itu dibawa, tetapi mengesyaki mungkin dibawa ke Malaysia, iaitu destinasi asal yang dituju.

Sehingga Oktober lepas, sekurang-kurangnya 665 pelarian Rohingya telah terkandas di Indonesia dalam usaha untuk melarikan diri ke negara ketiga termasuk Malaysia dan Australia, menurut UNHCR.

Indonesia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951 atau Protokol Berkenaan Status Pelarian 1967. Negara itu melarang para pelarian daripada mendapatkan pekerjaan serta menghadiri sekolah secara formal.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh