Rusia dakwa askar upahan Indonesia berjuang bersama tentera Ukraine

Sementara itu, kerajaan Malaysia minggu ini menafikan bahawa ada rakyatnya yang mengangkat senjata bagi pihak Rusia seperti didakwa oleh Ukraine pada Januari lepas.
Tria Dianti, Arie Firdaus dan Ahmad Mustakim Zulkifli
2024.03.15
Jakarta dan Kuala Lumpur
Rusia dakwa askar upahan Indonesia berjuang bersama tentera Ukraine Presiden Indonesia Joko Widodo (kiri) dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy semasa sidang media bersama di Kyiv, Ukraine, 29 Jun 2022.
[Edaran/Pejabat Media Presiden Ukraine melalui Reuters]

Moscow mendakwa 10 rakyat Indonesia telah menjadi askar upahan yang menyertai tentera Ukraine menentang Rusia sejak ia menceroboh negara bekas republik Kesatuan Soviet itu pada Februari 2022, demikian menurut jurucakap Kementerian Luar di Jakarta pada Jumaat.

Jiran Indonesia iaitu Malaysia pula memaklumkan tiada maklumat bahawa ada rakyatnya yang menjadi askar upahan yang berjuang bagi pihak Rusia sebagaimana yang didakwa oleh tentera Ukraine di laman sesawangnya pada Januari lepas.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia Lalu Muhammad Iqbal berkata maklumat Rusia berhubung perkara itu perlu disahkan dan meminta pemberita "menyoal Rusia mengenai data yang mereka miliki itu.”

Kementerian Pertahanan Rusia pada Khamis telah mendedahkan jumlah askar upahan dan bilangan yang terkorban dalam kalangan mereka mengikut negara.

Menurut Rusia, lebih 13,000 askar upahan telah terjerumus dalam konflik di Ukraine bagi menyokong Kiev dan mengesahkan bahawa jumlah kematian dianggarkan sebanyak 6,000 orang termasuk empat rakyat Indonesia.

Dakwaan itu telah disampaikan kepada rakyat Indonesia melalui aplikasi pesanan segera iaitu saluran Telegram Kedutaan Rusia di Jakarta.

Menerusi jadual yang disertakan bersama kenyataan Kedutaan Rusia itu, Indonesia tersenarai dengan 10 askar upahan dan empat daripada mereka dikatakan telah terkorban.

‘Berikan bukti yang jelas’

Duta Ukraine ke Indonesia Vasyl Hamianin bagaimanapun menyangkal dakwaan Rusia bahawa negara itu telah mengambil askar upahan.

"Adakah wujud sebarang bukti atau fakta? Jika tidak, semua orang tahu Rusia adalah penipu dan provokatur profesional," kata Hamianin kepada BenarNews.

Rusia sepatutnya memberikan butiran mengenai dakwaan itu, kata Teuku Rezasyah dari Universiti Padjadjaran di Bandung.

"Mereka perlu memberikan bukti yang jelas seperti identiti atau sekurang-kurangnya gambar individu yang didakwa sebagai askar upahan terbabit bagi membolehkan kerajaan kami mengenal pasti mereka," kata Rezasyah, seorang pensyarah hubungan antarabangsa, kepada BenarNews.

ID-pic-2.jpg

Presiden Vladimir Putin (kanan) bertemu dengan Presiden Indonesia Joko Widodo yang dalam misi damai kendiri ke Rusia dan Ukraine bagi menghentikan permusuhan di antara kedua-dua negara, Kremlin, Moscow, 30 Jun 2022. [Mikhail Klimentyev/Sputnik/AFP]

Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo pada Jun lepas telah melawat Ukraine dan Rusia sebagai sebahagian daripada misi damai kendiri bagi menghentikan permusuhan di antara kedua-dua negara jiran itu, yang merupakan pengeluar utama bijirin dunia seperti gandum.

Ketika itu, Indonesia memegang kepresidenan bagi G20 mengikut sistem penggiliran dan Jokowi adalah pengerusi kumpulan 20 negara ekonomi terbesar di dunia itu.

Beliau telah berbincang bersama Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di Kiev di mana beliau berada selama sehari sebelum berkunjung ke Moscow bagi mengadakan rundingan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Jokowi telah menyatakan bahawa lawatan beliau juga bertujuan mengelakkan insiden krisis makanan. Sejak pencerobohan itu, Rusia telah menyekat pelabuhan Laut Hitam di Ukraine serta akses kepada hampir semua eksport negara itu terutama bijiran yang mencetuskan kebimbangan akan berlaku krisis makanan di peringkat global.

ID-pic-3.JPG
Aktivis antipeperangan di Malaysia memegang sepanduk yang menggesa agar peperangan dihentikan selepas Rusia menceroboh Ukraine, Kuala Lumpur 28 Feb 2022. Hasnoor Hussain/Reuters]

Jiran Indonesia iaitu Malaysia pula terpaksa menangkis isu berbeza iaitu dakwaan Ukraine bahawa askar upahan yang terdiri daripada rakyat Malaysia telah berjuang di pihak Rusia.

Ketika disoal mengenai isu itu di Parlimen, Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan kenyataan yang turut disiarkan di laman sesawang Parlimen.

"Polis Diraja Malaysia tidak menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan pembabitan rakyat negara ini sebagai tentera upahan yang berperang bersama tentera Rusia di Wilayah Donetsk dekat timur Ukraine,” menurut Saifuddin dalam kenyataan itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine, satu cabang tentera negara itu, di laman sesawangnya.

“Tentera upahan dari Malaysia, yang diiringi oleh seorang penterjemah dan bekas anggota 'Wagner’ telah dilihat di wilayah Donetsk yang dikuasai Rusia," demikian menurut hantaran yang dimuat naik pada 24 Jan lepas di laman sesawang itu.

“Tentera upahan terbabit ketika ini sedang menjalani latihan,” dakwanya ketika itu.

Ketua Polis Negara Malaysia Razarudin Husain pula berkata selain pemeriksaan rutin bagi menentukan keberadaan rakyat negara ini, pihak polis turut menyiasat dakwaan Ukraine, lapor media tempatan.

Razarudin berkata siasatan lanjut turut dilakukan oleh bahagian risikan dengan rakan sejawatnya di Eropah namun tidak mendapat sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Tiada maklumat bahawa rakyat negara ini telah diambil sebagai tentera upahan di mana-mana negara sebagaimana yang dilaporkan,” kata Razarudin.

Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam penilaian dua tahunnya ke atas konflik Rusia-Ukraine berkata laporan badan itu pada Februari menyebut bahawa lebih 10,000 orang awam terkorban manakala hampir 20,000 lagi cedera sejak berlakunya pencerobohan berskala besar itu oleh Rusia. Angka sebenar mungkin lebih tinggi, menurut laporan itu lagi.

“Berjuta-juta orang di seluruh negara itu telah kehilangan tempat tinggal dan mereka terpaksa melarikan diri atau berdepan kesulitan hidup yang lain susulan ketiadaan akses kepada perkhidmatan asas akibat peperangan itu. Permusuhan antara kedua-dua negara telah merosakkan serta memusnahkan beratus-ratus institusi perubatan dan pendidikan,” menurut laporan itu.

”Banyak bandar juga telah musnah secara keseluruhan," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.