Malaysia Layan Pekerja Migran Indonesia dengan Buruk, kata Laporan

Rina Chadijah & Nisha David
2020.10.09
Jakarta & Kuala Lumpur
201009-MY-ID-Sabah1000.jpg Seorang pekerja migran Indonesia berehat setelah bekerja di ladang kelapa sawit yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), ladang milik kerajaan Malaysia, awal tahun 2020.
[AP]

Pekerja migran Indonesia yang ditahan di Sabah kerana melanggar peraturan imigresen Malaysia tidak mendapat layanan adil dan diperlakukan dengan buruk di pusat tahanan sementara sebelum dihantar pulang, dakwa gabungan kumpulan masyarakat sivil Indonesia dalam satu laporan siasatan terbarunya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), sebuah suruhanjaya yang disokong Parlimen Malaysia pula berkata Suhakam bersama suruhanjaya hak asasi manusia Indonesia akan memulakan siasatan berhubung dakwaan kumpulan yang dikenali sebagai Koalisi Buruh Migran Berdaulat [KBMB] dalam masa terdekat.

Penyelaras KBMB yang hanya dikenali sebagai Musdalifah berkata laporan itu berdasarkan kepada siasatan sejak Disember tahun lalu dari keterangan 43 pekerja migran yang telah dihantar pulang dari Sabah yang mendakwa telah diberikan layanan tidak adil semasa proses pengusiran oleh pihak berkuasa Malaysia dalam usahanya untuk menghentikan penularan COVID-19.

"Mereka tidak hanya diseksa oleh petugas, mereka juga ditempatkan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan di tempat perlindungan," kata Musdalifah kepada BeritaBenar di Jakarta pada Jumaat.

KBMB mengeluarkan laporan siasatan 44 mukasurat pada Rabu yang memaklumkan mengenai hasil siasatan kumpulan itu mengenai keadaan pekerja migran Indonesia yang ditahan oleh pihak berkuasa Imigresen Malaysia di Sabah, negeri di Kepulauan Borneo yang berkongsi sempadan dengan wilayah Kalimantan Utara, Indonesia.

Laporan itu memberi gambaran keadaan semasa berada dalam pusat tahanan yang dikatakan tinggal seperti di dalam neraka, yang mempunyai kesemuanya 10 blok seluas 10 x15 meter per sel dengan setiap blok mempunyai lebih 200 tahanan dan dilengkapi dengan hanya tiga bilik mandi.

Selain itu, laporan berkenaan juga mendakwa tahanan disajikan dengan kualiti makanan yang sangat buruk, rosak atau tidak dimasak, dengan ramai yang dihantar pulang menderita pelbagai penyakit kerana tidak mendapat rawatan perubatan yang sepatutnya.

Sebilangan besar tahanan juga didapati bergelut dengan penyakit kulit dan jangka masa lama untuk dihantar pulang.

“Rawatan juga tidak sejajar dengan usaha pemerintah dalam membendung penyebaran COVID-19 yang sepatutnya disediakan dengan sel yang lebih luas tetapi petugas pusat menyembur pembasmi kuman ke pakaian dan kulit setiap tahanan,” dakwa laporan itu.

Pesuruhjaya Suhakam Malaysia Jerald Joseph berkata satu pasukan telah ditugaskan untuk melawat pusat tahanan di Sabah dan turut mengetahui mengenai pelbagai isu termasuk kesesakan penjara dan kekurangan rawatan perubatan.

"Laporan yang berdasarkan kepada keterangan itu, memberi kami sebab untuk kami memulakan siasatan dengan lebih teliti," kata Joseph kepada BeritaBenar di Kuala Lumpur.

Beliau juga memberitahu yang SUHAKAM telah mengadakan perbincangan dengan Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM)

"Kami akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia. Kami sudah berbincang dengan mereka dan akan memulakan siasatan dalam beberapa minggu ini,” tambah Joseph lagi.

Dalam pada itu, Persuruhjaya Komnas HAM, Mohammad Choirul Anam juga memberitahu yang organisasi itu akan melancarkan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang terkandung dalam laporan berkenaan.

"Tiada toleransi berhubung perkara ini. Kerajaan kedua-dua negara perlu memulakan siasatan lanjut berdasarkan kepada laporan itu,”kata Choirul kepada BeritaBenar di Jakarta.

BeritaBenar telah cuba untuk mendapat ulasan daripada wakil kerajaan Malaysia berhubung dakwaan yang terdapat dalam laporan itu, bagaimanapun tidak berjaya.

Serah laporan

Musdalifah berkata, KBMB telah menyerahkan laporan tersebut kepada Kementerian Luar Negeri sebagai wakil pemerintah Indonesia.

"Kami berharap kedua-dua negara melancarkan siasatan bersama, kerana ini bukan kes pertama dan pada 2017, kami juga telah mengeluarkan laporan kes serupa,” tambahnya.

Pengarah Perlindungan Warganegara dan Entiti Undang-Undang Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri Indonesia Judha Nugraha berkata kementerian itu telah menerima laporan daripada pihak berkuasa Malaysia bahawa terdapat kira-kira 4,474 rakyat Indonesia telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dengan usaha mempercepatkan proses penghantaran pulang sedang dilakukan.

"Kami bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk mempercepatkan proses penghantaran pulang," katanya sambil menambah proses fasa pertama dan kedua telahpun berjalan sejak beberapa bulan lepas manakala fasa ketiga seperti yang dirancang akan bermula pada 10 Oktober.

"Penghantaran pulang itu perlu mematuhi standard protokol kesihatan yang ketat dengan mereka yang mahu dihantar perlu menjalani ujian PCR untuk mengetahui sama ada mereka bebas COVID-19 atau tidak,” tambah Judha.

Laporan yang dikeluarkan oleh KBMB itu mengatakan terdapat lebih daripada satu juta pendatang yang bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh Sabah, yang kebanyakannya diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), ladang milik kerajaan Malaysia.

Daripada jumlah itu, sekitar 90 peratus daripadanya adalah rakyat Indonesia, yang berasal dari Sulawesi dan Nusa Tenggara Timur.

“Dari bulan Jun hingga September 2020, lebih daripada 1,000 pendatang telah dihantar pulang,” demikian kata laporan itu yang turut menyalahkan kelemahan pemerintah tempatan adalah antara punca proses penghantaran pulang mengambil masa lama sehingga menyebabkan pusat tahanan menjadi sesak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.