Kisah Dua Tertuduh: Seorang Bebas, Seorang Lagi Masih Dibicarakan

Amy Chew
2019.03.20
Kuala Lumpur, Malaysia
190320-MY-kjn-620.jpg Warga Indonesia Siti Aisyah (atas), yang telah dibebaskan, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, (bawah kanan), yang terus berdepan pertuduhan berkaitan pembunuhan Kim Jong Nam, meninggalkan sesi perbicaraan mahkamah di Shah Alam, Malaysia, 5 April 2018. [AP]
[AP]

Apabila warga Indonesia Siti Aisyah telah dibawa ke mahkamah Sepang untuk didakwa bagi pembunuhan rakyat Korea Utara Kim Jong Nam dua tahun lepas, dia telah diapit oleh empat peguam Malaysia yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia.

Para diplomat kanan Indonesia berada di mahkamah dan bebas bercakap secara terbuka kepada media dengan sejak awal lagi, Aisyah mendapat sokongan kerajaan Indonesia yang menjaga kepentingannya.  

“Saya telah dilantik untuk mewakili Siti dari hari pertama,” kata peguam Gooi Soon Seng kepada BeritaBenar.

Secara kontras, rakan tertuduhnya rakyat Vietnam Doan Thi Huong sentiasa kelihatan bersendirian. Seorang peguam Malaysia secara sukarela menawarkan diri untuk mewakilinya.

Keadaan itu berlanjutan selama hampir dua bulan sebelum Persekutuan Majlis Peguam Vietnam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, membayar sepasukan peguam untuk mewakili Doan. Kerajaan Vietnam tidak terlibat dalam menyediakan peguam dan pada kebanyakan masa sekadar mendiamkan diri ketika perbicaraan kes itu berjalan.

Sementara itu, publisiti yang menyelubungi Aisyah menjadikan dia penyebab peristiwa yang menggemparkan di negara sendiri, di mana sebahagian orang awam mempercayai pembelaannya bahawa beliau menjadi alat dalam pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Aisyah dan Doan telah didakwa membunuh Kim Jong Nam dengan melumurkan muka mangsa dengan agen saraf VX, senjata kimia berbahaya yang dilarang, di balai berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb 2017. Kedua-dua tertuduh mendakwa mereka telah diperdaya bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam aksi gurauan bagi sebuah rancangan realiti TV.  

Apabila pendakwaan secara tiba-tiba menarik balik pertuduhan membunuh terhadap Aisyah dan membebaskannya pada 11 Mac, kerajaan Indonesia menyifatkan pembebasan beliau sebagai usaha diplomatik yang berterusan sejak sekian lama atas arahan Presiden Joko “Jokowi” Widodo, yang pernah membincangkan kes itu dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa lawatannya ke Bogor pada Jun 2018.

Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas tidak memberi sebarang alasan bagi tindakan membebaskan Aisyah, namun beliau telah memaklumkan seorang pegawai kanan Indonesia bahawa keputusannya dalam kes itu mengambil kira “hubungan baik antara kedua-dua negara kita.”

Ditanya sehari kemudian jika berlaku rundingan yang telah membantu membebaskan Aisyah, Mahathir menafikannya dan memaklumkan pemberita bahawa “Saya tidak mempunyai maklumat sedemikian.”

Kapal layar, rakyat Malaysia yang ditahan telah dihantar pulang

Pada Ogos 2018, kerajaan Indonesia telah memulangkan sebuah kapal layar bernilai AS$250 juta yang dikaitkan dengan skandal rasuah membabitkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak berkuasa Malaysia.

Equanimity telah disita oleh Indonesia di Bali pada awal 2018 atas permintaan pihak berkuasa AS sebagai sebahagian daripada siasatan skandal rasuah berbilion dolar yang mempunyai kaitan dengan 1MDB. Kerajaan Malaysia kini berusaha menjualnya untuk menutup sebahagian kerugian yang disebabkan oleh skandal 1MDB.

Sehari sebelum Aisyah dibebaskan, sejumlah 16 rakyat Malaysia yang telah ditahan di Indonesia selama dua bulan kerana menyalah guna visa pelancong dengan menjalankan aktiviti komersial di Sumatera dilapor dibebaskan.

Peguam Aisyah telah memberikan alasan berhubung pengguguran kes itu terhadapnya.

“Tiada keterangan langsung yang menunjukkan bahawa dia telah melumurkan apa-apa ke muka Kim Jong Nam. Tiada bukti. CCTV tidak menunjukkan bahawa dia melakukan aksi seolah-olah dia melumurkan apa-apa ke muka Kim Jong Nam. Apa yang ditemui hanyalah kesan produk VX,” kata peguam Gooi Soon Seng merujuk kepada kesan agen saraf berbahaya yang ditemui pada pakaiannya Aisyah.

Kaitan pilihan raya

Di Indonesia, penganalisis berkata pembebasan Aisyah mungkin mempunyai kesan positif terhadap usaha Jokowi untuk memenangi penggal kedua pada 17 April. Dengan tempoh kurang sebulan sebelum pilihan raya umum dan pemilihan presiden, Jokowi memerlukan kisah-kisah kejayaan untuk mencerahkan peluangnya.

“Pembebasan Siti telah memberikan impak positif kepada Jokowi dalam kempen pilihan raya beliau kerana isu pekerja, sama ada domestik atau di luar negara, adalah satu isu yang amat sensitif,” kata Denny JA, ketua Survey Cirle Indonesia, kepada BeritaBenar dalam satu temu bual telefon.

“Pembebasannya memberikan gambaran bahawa beliau mampu melindungi kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. Ia juga menunjukkan bahawa beliau mempunyai kepimpinan yang utuh, dan bahawa beliau tanpa jemu memperjuangkan hak pekerja di luar negara sehingga beliau berjaya membebaskan Siti daripada hukuman yang begitu berat,” kata Denny.

Airlangga Pribadi Kusman, seorang pensyarah sains politik di Universiti Airlangga, Surabaya berkata pekerja migran Indonesia adalah satu blok yang penting.

“Jumlah pekerja di luar negara pada 2017 adalah 9 juta orang, yang menyaksikan 55 peratus  daripadanya di Malaysia, 13 peratus di Arab Saudi manakala 10 peratus di Hong Kong/China, China, Taipei dan lain-lain,” katanya. “Seseorang perlu menimbang, bukan hanya kemungkinan pekerja terbabit memberikan sokongan kepada Jokowi, tetapi juga anggota keluarga terdekat mereka yang akan mempunyai persepsi positif terhadap beliau susulan tindakannya dalam kes ini.”

‘Sedikit atau tiada langsung’

Orang yang dianggap sebagai pakar terpenting undang-undang perlembagaan Malaysia, Shad Saleem Faruqi dari Universiti Malaya, berkata penarikan balik pertuduhan membunuh terhadap Aisyah bukan dilakukan tanpa duluan – meskipun peguam Doan menyifatkannya sebagai tidak adil.

“Saya tidak fikir ia tidak mempunyai duluan kerana dalam kebanyakan pendakwaan, terdapat sejumlah orang yang didakwa dan ada yang pertuduhan terhadapnya digugurkan manakala sejumlah lagi diteruskan,” kata Shad kepada BeritaBenar. “Tetapi pastinya dalam kes jenayah, kita tidak seharusnya cuba menarik perhatian, tidak kiralah apapun jangkaan masyarakat antarabangsa.”

“Beliau (Thomas) tidak perlu memberikan sebarang alasan berhubung undang-undang semasa dalam kes ini, tetapi sebagai satu amalan baik dan memandangkan ini adalah satu kes yang mendapat perhatian antarabangsa, mungkin beliau perlu memberikan alasan mengapa kes ini tiba-tiba mempunyai perkembangan yang begitu menarik.”

Doan hadir di mahkamah pada 11 Mac dengan jangkaan memulakan pembelaannya apabila perbicaraan kes itu dihentikan selepas pendakwaan mengumumkan bahawa mereka menggugurkan pertuduhan terhadap rakan tertuduhnya.

Pasukan pembelaan Doan telah meminta agar pertuduhan terhadapnya turut ditarik balik – yang ditolak tiga hari kemudian. Kecewa dengan keputusan itu, Doan gagal mengawal perasaan dan menangis. Peguamnya telah meminta penangguhan kerana keadaan Doan tidak membenarkan dia memberi keterangan. Perbicaraan kes itu kini dijadualkan bersambung pada 1 April.

Doan telah menjalani pemeriksaan perubatan dan fizikal pada 15 Mac dan kekal berada dalam tahanan.

Ekspatriat Vietnam yang menetap di Kuala Lumpur kecewa.

“Kebanyakan kami berasa sedih. Kami rasa kerajaan telah melakukan usaha yang sedikit atau tiada langsung untuk membantu Doan. Kami amat kasihan kepadanya,” kata seorang profesional warga Vietnam yang bekerja di Kuala Lumpur kepada BeritaBenar.

Pembebasan rakan tertuduh Doan menyebabkan para peguamnya menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil.

“AG [Peguam Negara] tidak bertindak dengan adil. Kami mengemukakan pembelaan yang sama, bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan, tiada niat untuk membunuh, mereka adalah kambing hitam. Jika Siti Aisyah boleh dibebaskan, mengapa tidak Doan?” kata peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.