Kuala Lumpur-Jakarta Setuju Kukuh Kerjasama Pertahanan Tiga Hala Bersama Filipina
2021.10.28
Kuala Lumpur
Kuala Lumpur dan Jakarta pada Khamis mencapai persetujuan untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dalam satu perjanjian tiga-hala bersama Filipina dengan cara mengkoordinasikan latihan bersama serta rondaan di laut dan udara, kata Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia di Kuala Lumpur.
Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA) berusia 4 tahun itu yang bertujuan melawan jenayah rentas sempadan telah menunjukkan hasil kejayaan dalam menurunkan ancaman aktiviti penculikan, menurut seorang penganalisis serantau.
"Kami saling menzahirkan penghargaan atas komitmen penuh angkatan tentera masing-masing dalam menjayakan TCA melalui rondaan udara dan maritim. Namun pada masa yang sama, kami juga bersetuju bahawa inisiatif ini masih mempunyai ruang yang boleh ditambah baik demi menangani ancaman di Laut Sulu dan Sulawesi.
"Sehubungan itu, kami sepakat untuk sekali lagi meningkatkan kerjasama menerusi TCA di peringkat Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara. Satu mesyuarat peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan usaha ke arah mengukuhkan lagi inisiatif TCA,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan selepas pertemuan dengan Probowo Subianto pada Khamis.
Inisiatif itu dimulakan oleh Hishammuddin bersama Menteri Pertahanan Indonesia terdahulu Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin N. Lorenzana pada tahun 2017, susulan peningkatan kes penculikan di Laut Sulu yang didalangi oleh kumpulan militan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina.
Selain itu, cubaan kumpulan pemberontak Maute yang bersekongkol dengan organisasi pengganas kumpulan Negara Islam (IS) untuk menawan kota Marawi di Mindanao, Filipina turut menjadi pemangkin kepada inisiatif kerjasama tiga negara tersebut.
Ryamizard Ryacudu yang merupakan Menteri Pertahanan Indonesia ketika itu dilaporkan dalam akhbar Jepun Nikkei berkata bahawa koordinasi rondaan tersebut "akan berterusan selamanya - sehingga masalah keganasan dan rompakan di laut berhampiran sempadan negara-negara selesai".
Hishammuddin turut dipetik memberi amaran bahawa apa yang berlaku di Mindanao turut boleh berlaku di Malaysia dan Indonesia.
"Ancaman IS adalah benar dan mesti ditangani secara bersama," beliau dilaporkan berkata.
Tidak boleh mengelak
Seorang penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah ketika diminta memberikan komen berkenaan inisiatif itu berkata Malaysia tidak boleh mengelak daripada bekerjasama dengan negara-negara jiran dalam usaha menangani jenayah rentas sempadan.
"ESSCOM tidak boleh bekerja sendirian untuk menangani ancaman sebegitu, kerana ia memerlukan bantuan pasukan sahabat dari Indonesia atau Filipina dari segi perkongsian maklumat risikan, serta rondaan di laut dan udara.
“TCA telah berjaya mengurangkan ancaman kumpulan-kumpulan tersebut," kata Ramli, merujuk kepada agensi Keselamatan Timur Sabah yang ditubuhkan pada 2013 susulan pencerobohan oleh militan Sulu di negeri itu.
Ramli berkata perkongsian maklumat antara negara tetap berjalan, terutamanya dengan Filipina walaupun ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.
Beliau menambah bahawa pada tahun 2018, terdapat lebih daripada 30 rondaan udara tiga hala dan 30 rondaan maritim tiga hala di bawah TCA.
"Mengenai Indonesia, Jakarta perlu memperkukuhkan Pusat Arahan Maritimnya di Tarakan (Timur Kalimantan) untuk memberikan sokongan penuh kepada rakan sejawat di MCC Tawau (di Sabah, Malaysia).
"Jika ini dapat dipertingkatkan, saya percaya isu jenayah rentas sempadan di kawasan itu akan dapat dikurangkan lagi," kata Ramli.
Bakri Mat dari Universiti Utara Malaysia pula berkata bahawa masih terdapat beberapa kelemahan dalam koordinasi TCA, terutama dari segi isu berkaitan dengan kawasan kawalan dan kedaulatan negara.
"Tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya TCA, penguatkuasaan di sempadan telah berjaya dilaksanakan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di sempadan laut dan udara negara-negara terlibat," kata beliau.
Selain itu, kedua-dua menteri pertahanan turut memberikan komitmen mereka pada operasi dan latihan bersama, seperti KEKAR MALINDO dan LINUD MALINDO, serta koordinasi rondaan maritim dan udara tahunan dipanggil PATKOR.
"Kami juga bersetuju untuk meneruskan latihan bersama antara angkatan tentera negara masing-masing dalam usaha menangani ancaman pengganas iaitu melalui LATGABMA MALINDO DARSASA yang akan diadakan pada tahun hadapan di Malaysia," kata Hishammuddin.
Latihan bersama itu, menurut beliau, akan membabitkan kesemua tiga cabang angkatan tentera serta pasukan polis dari Malaysia dan Indonesia.
Antara perkara lain yang turut disentuh dalam pertemuan itu ialah berkaitan pengukuhan kawalan sempadan melalui pengoperasian enam pos-pos gabungan yang tertumpu di sempadan Sarawak- Kalimantan serta pembentukan gabungan baharu yang dinamakan AUKUS di antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Hishammuddin turut mengumumkan bahawa satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang memfokuskan terhadap kerjasama pertahanan menyeluruh antara Malaysia-Indonesia bakal dilaksanakan dan ditandatangani awal tahun hadapan.
Lawatan kerja itu dimulakan Probowo dengan melakukan kunjungan kehormat ke atas Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob sebelum mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama Menteri Pertahanan Malaysia dan pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan Malaysia.
Lawatan kerja itu adalah susulan dari perbincangan melalui sidang video pada 4 Oktober.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.