Indonesia Tidak akan Campur Hal Ehwal Uyghur China, kata Ketua Turus Jokowi

Arie Firdaus & Muzliza Mustafa
2019.12.23
Jakarta & Kuala Lumpur
191223_ID_Uyghur_1000.jpg Penunjuk perasaan beragama Islam berhimpun di luar kedutaaan China di Jakarta, Indonesia, 21 Dis 2018.
[AP]

Indonesia tidak akan mencampuri hal ehwal dalaman China, kata ketua turus Presiden Joko Widodo pada Isnin selepas timbul persoalan mengenai sikap berdiam diri negara yang majoriti penduduknnya beragama Islam itu berhubung dakwaan penyalahgunaan hak membabitkan etnik minoriti Uyghur di wilayah Xinjiang.   

Kenyataan Moeldoko, bekas komander angkatan bersenjata itu dibuat semasa tunjuk perasaan aman berlangsung di seluruh Indonesia, negara penduduk majoriti Islam terbesar di dunia dan negara jiran Malaysia, yang menyaksikan penunjuk perasaan menuntut agar hampir 2 juta orang dari etnik Uyghur dan minoriti Islam lain yang ditahan di kem-kem Xinjiang dibebaskan.

“Setiap negara memiliki kedaulatan tersendiri untuk mengawal selia rakyatnya,” kata Moeldoko kepada pemberita di Jakarta ketika disoal mengapa Indonesia tidak lebih lantang dalam isu Uyghur. “Kerajaan Indonesia tidak akan mencampuri hal ehwal dalaman China.”

China mula memenjarakan kira-kira 1.8 juta orang Uyghur dan etnik minoriti Islam lain di kem-kem tahanan sejak April 2017 atas alasan bahawa anggota semua kumpulan ini mempunyai “pandangan agama yang keras” dan idea-idea “politik yang salah.”

Duta Beijing ke Jakarta Xiao Qian telah bertemu Moeldoko minggu lepas, yang menyaksikan beliau menyangkal dakwaan bahawa terdapat penyalahgunaan hak di Xinjiang.

Pertemuan itu dibuat selepas perhatian terhadap isu tersebut timbul semula di Indonesia apabila sebuah akhbar AS melaporkan pada awal bulan ini bahawa Beijing telah melancarkan satu “kempen bersepadu” untuk meyakinkan pihak berkuasa agama dan wartawan Indonesia bahawa kem-kem di Xinjiang adalah “usaha-usaha murni” dalam menyediakan latihan pekerjaan.

Xiao berkata selepas bertemu Moeldoko untuk menyatakan bahawa laporan mengenai dakwaan penyalahgunaan hak di Xinjiang adalah palsu, beliau menjemput Indonesia berkunjung ke wilayah itu dan melihat sendiri situasi di wilayah autonomi tersebut.

“Masalah di Xinjiang adalah serupa dengan masalah yang terdapat di negara lain. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami dalam memerangi radikalisme dan keganasan,” kata Xiao kepada pemberita selepas pertemuan di Jakarta.       

Pada Ahad, kira-kira 100 orang melaungkan slogan dan membawa plakad yang tertera perkataan “Selamatkan Uyghur” semasa satu perhimpunan tunjuk perasaan di Banda Aceh, ibu kota wilayah Aceh yang ditadbir golongan Syiah, menurut jurufoto BeritaBenar.

Beratus-ratus penunjuk perasaan turut berkumpul di luar kedutaan China di Jakarta pada Jumaat dan melaungkan “Allahuakbar” serta “Berambuslah komunis!” ketika mereka mendesak agar penahanan besar-besaran masyarakat Islam Uyghur di Xinjiang dihentikan.

Tunjuk perasaan

Di bandar Kajang yang terletak di negeri Selangor, Malaysia, berpuluh-puluh penunjuk perasaan memegang plakad dan berarak semasa “tunjuk perasaan secara senyap” pada Sabtu bagi menzahirkan sokongan mereka kepada Uyghur.

Para peserta, yang sesetengahnya menutup mulut mereka dengan pita sebagai simbol dakwaan bahawa terdapat penapisan terhadap masyarakat Islam di Xinjiang, telah menggesa kenderaan yang lalu-lalang untuk membunyikan bon sebagai tanda menyokong bantahan itu, yang berlangsung di pintu masuk sebuah pusat konvensyen di mana kedutaan China menganjurkan “Beautiful Xinjiang Cultural Show.”

Pada Khamis, Mohammad Mahfud, Menteri Koordinasi hal ehwal politik, perundangan dan keselamatan Indonesia, Mohammad Mahfud, memaklumkan pemberita bahawa beliau telah menyampaikan kepada Xiao kebimbangan yang disuarakan beberapa kumpulan Islam Indonesia mengenai layanan terhadap masyarakat Uyghur.

“Diplomasi kami adalah diplomasi yang lembut. Kami tidak campur tangan sebaliknya kami melihat sesuatu perkara secara objektif,” kata Mahfud.

“Kami sedang bermediasi dan mencari penyelesaian terbaik, bukan secara konfrontasi,” kata beliau.
Sementara itu, pakar undang-undang Islam terkemuka dari negeri Perlis, Malaysia menggesa negara-negara Islam untuk memulakan tindakan memboikot produk China susulan penahanan masyarakat Uyghur.

Mohamad Asri Zainul Abidin berkata pemimpin politik dan agama dari dunia Islam perlu mengenakan lebih banyak tekanan ekonomi dan diplomatik ke atas Beijing bagi layanan serta penyalahgunaan hak membabitkan kumpulan minoriti Islam yang tinggal di bahagian paling barat wilayah itu.

“Kita perlu mengambil tindakan sehingga memboikot produk China. Mereka tahu kekuatan kuasa membeli kita,” kata Asri kepada Al Jazeera pada Jumaat di luar satu sidang kemuncak yang dihadiri kebanyakan negara majoriti penduduknya beragama Islam di Kuala Lumpur.

“Keputusan itu perlu diambil di peringkat tertinggi negara-negara Islam dan ulama bagi menangani isu Uyghur,” katanya.

Minggu lepas, Charles Santiago, anggota Parlimen Malaysia dari pakatan pemerintah, menggesa pemimpin Islam yang menghadiri sidang kemuncak di Kuala Lumpur membincangkan pemenjaraan besar-besaran masyarakat Uyghur.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang menjadi tuan rumah mesyuarat empat hari peringkat tinggi itu dari 18 hingga 21 Dis membayangkan bahawa ia tidak membincangkan isu Uyghur.

“Pertamanya, persidangan ini adalah untuk memperbaiki keadaan di negara-negara Islam,” kata Mahathir kepada pemberita.

“Ia tidak ditujukan kepada negara-negara lain kerana kita tidak menjangkakan negara lain akan mendengar nasihat kita dan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik kepada negara-negara Islam,” kata beliau.

“Itu adalah tujuan persidangan ini dan kita tidak menonjolkan banyak contoh perkara salah yang dilakukan kepada ramai orang Islam dan negara-negara Islam.”

Meskipun Beijing pada asalnya menafikan kewujudan kem-kem tahanan, China kemudian cuba menukar perbincangan dengan menyifatkan fasiliti itu sebagai “sekolah berasrama penuh” yang menyediakan latihan vokasional kepada masyarakat Uyghur, tidak menggalakkan radikalisasi dan membantu melindungi negara itu daripada keganasan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.