Follow us

Rakyat Indonesia Selar Ahli Politik Malaysia Kerana Salahkan Kaum LGBT

Keisyah Aprilia
Jakarta, Indonesia
2018-10-24
E-mel
Komen
Share
Penduduk melihat runtuhan di kawasan Balaroa di Palu di wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia yang musnah akibat gempa bumi, 17 Oktober 2018.
Penduduk melihat runtuhan di kawasan Balaroa di Palu di wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia yang musnah akibat gempa bumi, 17 Oktober 2018.
[Keisyah Aprilia/BeritaBenar]


Para pegawai Indonesia pada Rabu membantah dakwaan ketua pembangkang Malaysia bahawa gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Wilayah Sulawesi Tengah bulan lalu, disebabkan oleh kegiatan homoseksual, sementara walikota wilayah yang ditimpa bencana itu menyelar beliau sebagai orang yang kurang akal.

Ahmad Zahid Hamidi mengaitkan bencana alam yang membunuh sekurang-kurangnya 2,250 orang dengan kaum LGBT ketika berbahas di Parlimen pada Selasa, dan mempersoalkan program kerajaan Malaysia untuk "memulihkan" golongan gay, biseksual dan transgender (LGBT) .

Katanya, golongan LGBT ada di mana-mana, tetapi bagaimana tempat-tempat lain tidak dilanda bencana serupa itu?"

Mastuki, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia, menolak kenyataan Ahmad Zahid bahawa bencana yang berlaku ada kaitan dengan perilaku golongan LGBT.

Hidayat, Datuk Bandar Palu, kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana berganda pada 28 September itu berkata, Ahmad Zahid berhak memberi pendapatnya tetapi menganggap beliau sebagai orang yang membuat kenyataan yang tidak masuk akal dan tanpa berfikir.

"Ini adalah satu bencana bagi kami. Jika dikaitkan bencana dengan komuniti LGBT, tidak masuk akal," kata Hidayat. "Rakyat kami kembali semula meneruskan hidup dan perkara itu tidak menjejaskan kami."

Adrian Amarta, seorang penduduk Palu, bersetuju dengan Hidayat: "Apa kena mengena aktiviti LGBT dengan bencana alam? Tiada apa-apa, bukan? " tambah beliau.

Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, yang tidak memperdulikan sangat komen Ahmad Zahid berkata, semua orang boleh mentafsirkan bencana berdasarkan kepercayaan mereka.

"Bagi ahli geologi, gempa bumi dan tsunami di Palu disebabkan oleh pergerakan plat tektonik, manakala kepada perancang ruang, bencana itu disebabkan oleh reka bentuk yang tidak memberi perhatian kepada aspek pengurusan bencana," kata Sutopo.

"Sesetengah orang kuat agama mentafsirkannya sebagai hukuman dan amaran daripada Tuhan, supaya orang ramai lebih insaf akan dosa-dosa mereka," katanya.

Ahmad Zahid, 65, membuat kenyataan itu ketika mengemukakan soalan mengenai satu program kerajaan Malaysia yang dikenali sebagai program Mukhayyam, satu inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertujuan untuk “memulihkan” golongan gay dan “mengembalikan mereka ke jalan yang benar.”  Terdapat kira-kira 20,000 kaum transgender, dengan kira-kira 80 peratus daripada mereka terlibat dalam industri seks.

“Jika kita lihat Malaysia, situasinya membimbangkan, berdasarkan apa yang berlaku di Palu, Indonesia akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda,” kata Ahmad Zahid, bekas timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kini mengetuai blok pembangkang Barisan Nasional.

“Dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 1,000 orang dalam komuniti mereka yang telah terlibat dalam aktiviti LGBT. Ini telah menyebabkan kemusnahan di seluruh kawasan itu. Ini adalah hukuman Tuhan,” katanya.

Kenyataan Ahmad Zahid telah dirakam dan disebarkan secara online, termasuk di laman sesawang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti pimpinan beliau yang menerajui pakatan pembangkang.

Minggu lepas, Ahmad Zahid telah ditahan dan didakwa atas pertuduhan melakukan kesalahan berkaitan rasuah termasuk salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berjumlah AS$27.56 juta.

Komuniti LGBT


Sebelum bencana, ulama Islam yang konservatif di Palu telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan golongan LGBT di wilayah mereka itu, dengan lebih daripada 1,500 orang telah menyertai kumpulan Facebook Gay Kota Palu.

Rakaman dari televisyen tempatan PaluTV yang dipaparkan di YouTube menunjukkan seorang pelajar perempuan beragama Islam melahirkan kebimbangan terhadap kelakuan LGBT yang bermaharajalela di bandar yang semakin sekular itu.

Golongan gay di Palu kelihatan sangat aktif di laman media sosial dan kadangkala turut mengadakan pertemuaan rahsia, kata seorang penduduk, yang dikenali sebagai Muhammad Fadli.

Beliau berkata, salah seorang kawannya telah menyertai kumpulan gay yang anggotanya datang dari pelbagai kawasan di Sulawesi Tengah.

Harlin Apik, seorang anggota komuniti LGBT di Palu, memberitahu BeritaBenar bahawa kenyataan ahli politik Malaysia dibuat daripada kejahilan.

"Saya seorang anak yatim, saya membayar pendidikan saya sendiri, dan ibu saya berharap saya berada dalam keadaan baik di Palu. Saya bekerja keras walaupun saya adalah sebahagian daripada komuniti LGBT," kata Harlin.

"Saya hidup dengan mendapat berkat daripada ibu dan Tuhan," katanya.

Harlin berkata kebanyakan golongan LGBT di Palu tinggal sendiri dan patuh kepada ibu bapa mereka.

"Tolong hormati kami sebagai mangsa bencana," katanya. "Tolong jangan menambah trauma kami."


Tria Dianti di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh