Malaysia Buru Individu Sebar Gambar, Maklumat Palsu Di Media Sosial

Staf BeritaBenar
2016.01.08
160108-MY-IGPKHALID620 Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar tiba untuk menghadiri sidang media berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. 11 Mac 2014.
AFP

Malaysia sedang memantau, mengesan dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan media sosial dengan menyebar gambar atau berkongsi maklumat yang tidak bertanggungjawab.

Ini susulan penyebaran dan perkongsian berita-berita tidak bertanggungjawab, yang bertujuan mengaibkan dan mencalar kredibiliti pemimpin-pemimpin Malaysia, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada lewat malam Jumaat.

Dalam kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malayais (PDRM) di Kuala Lumpur, Khalid berkata, penyebaran dan perkongsian berita itu turut bersifat menghasut, menghina dan memfitnah.

“Ia dikesan semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan persepsi bahawa aspek penguatkuasaan undang-undang di Malaysia amat lemah dan gagal dilaksanakan dengan berkesan.

"Saya telah mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) untuk memantau, mengesan, dan mengambil tindakan terhadap mereka  yang menyalahgunakan  apa jua bentuk rangkaian komunikasi, yang membuat, mewujudkan dan memulakan penghantaran, berkongsi atau repost[pos semula] apa-apa jua kenyataan dalam sebarang bentuk yang mana bertentangan dengan  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Hasutan 1948 serta undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna media sosial bahawa PDRM akan megambil tindakan mengikut lunas undang-undang sedia ada terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dalam apa jua cara yang boleh memudaratkan mana-mana pihak atau mengganggu gugat kesejahteraan masyarakat.

Sekiranya dikesan melakukan perbuatan itu, beliau berkata, pengguna media sosial itu boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Hasutan 1948 serta undang-undang lain yang berkaitan.

Beliau dengan tegas menasihati masyarakat supaya mengambil sikap bertanggungjawab, beretika dan berhemah, semasa menggunakan kemudahan rangkaian komunikasi atau aplikasi media sosial demi kesejahteraan semua pihak.

"Mereka (pengguna media sosial) wajar melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima atau mengesan sebarang kenyataan yang berupaya menjejaskan kepentingan masyarakat dan negara,” kata beliau.

“Hak ini tertakluk kepada sekatan-sekatan yang diterima pakai secara universal dan ditentukan oleh undang-undang khusus bagi tujuan melindungi ketenteraman awam dan kesejahteraan umum,” tegas beliau.

Difahamkan, kenyataan Khalid merujuk kepada perkembangan dalam media sosial yang kini semakin sarat dengan fitnah dan penyebaran gambar dan maklumat palsu yang berkaitan dengan para pemimpin Malaysia termasuk Perdana Menteri Najib Razak.

Selepas didakwa mempunyai kaitan dengan skandal syarikat dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), banyak pihak yang menggunakan media sosial untuk mengkritik dan membidas Najib termasuk menggunakan kata-kata kesat terhadapnya selain mengedit foto-foto beliau dengan gambaran yang boleh mengaibkan.

Pada Julai tahun lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dolar (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia yang diadakan pada Mei 2013.

Najib kemudian menyangkal dakwaan itu dan menafikan sebarang salah laku selain menyifatkan ia sebagai cubaan sabotaj politik terhadap dirinya.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.