Cuaca panas: Hasil tangkapan ikan terjejas, terumbu karang berisiko luntur, kata pakar
2024.03.27
Kuala Lumpur
Purata suhu maksimum dua darjah lebih tinggi daripada musim panas lalu di Malaysia telah menyebabkan hasil tangkapan nelayan merosot dan meletakkan rangkaian terumbu karang yang luas di negara itu berisiko luntur warnanya, kata pegawai kerajaan, penyelidik dan persatuan nelayan.
Cuaca lebih panas ekoran perubahan iklim menyebabkan paras air sungai dan tasik surut sekali gus mengecutkan populasi ikan manakala haba melampau mengakibatkan terumbu karang menyisihkan alga dalam tisu lalu bertukar warna putih hingga membawa risiko hidupan itu mati.
Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memberitahu suhu maksimum musim panas antara Februari hingga Mac yang direkodkan Malaysia tahun ini adalah antara 35 dan 39 darjah Celsius dan merupakan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
“Gelombang haba berpanjangan boleh menyebabkan paras air sungai, tasik dan saliran menjadi surut akibat peningkatan penyejatan serta boleh mengakibatkan peningkatan suhu air secara mendadak dan mempengaruhi fisiologi ikan.
“Air yang lebih panas mengandungi kurang oksigen sekaligus menyukarkan ikan bernafas dan memberi tekanan kepada populasi ikan, selain menyebabkan pengurangan aktiviti pemakanan hidupan ikan di sungai atau tasik hingga boleh membawa kepada turun naik kadar tangkapan nelayan,” kata Nur Zulaikha Yusof, penyelidik kanan persekitaran marin dan pantai, Institut Maritim Malaysia.
Cuaca panas melampau juga tidak hanya menjejaskan hidupan air tawar tetapi juga risiko berdepan dengan masalah pelunturan terumbu karang akibat daripada peningkatan suhu dan tahap keasidan air laut.
Penyelam berenang di atas dasar terumbu karang yang telah mati di perairan Pulau Tioman di Laut China Selatan, 4 Mei 2008. Terumbu karang yang terdedah kepada perubahan iklim dan tanpa penyesuaian genetik yang pantas, tidak akan bertahan dengan unjuran peningkatan suhu laut dalam tempoh 50 tahun akan datang, kata pakar. [David Loh/Reuters]
Terumbu karang terancam
Jabatan Perikanan Malaysia menurut Ketua Pengarahnya Adnan Hussain sentiasa mengadakan pemantauan dan mitigasi terhadap terumbu karang yang berisiko berdepan dengan masalah pelunturan itu terutamanya di sekitar Pulau Taman Laut Pulau Payar, Kedah; Pulau Tioman, Pahang; Pulau Sibu, Johor; Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu
“Tumbesaran terumbu karang sangat perlahan iaitu sekitar 0.5 hingga dua sentimeter setahun dan pertumbuhannya memakan masa berpuluh-puluh tahun.
“Jika pelunturan karang semakin kerap berlaku, ia akan menjadi isu kritikal kerana hidupan laut itu tidak mempunyai masa mencukupi untuk kembali pulih secara semulajadi,” kata Adnan kepada BenarNews.
Walaupun rekod pemantauan awal jabatan itu mendapati proses pelunturan karang tidak dikesan setakat ini namun penilaian segera diadakan dari semasa ke semasa bertujuan supaya perlindungan sepenuhnya boleh diberikan sekiranya fenomena pelunturan karang berlaku pada masa hadapan.
“DOF sentiasa memantau dan mengesan perubahan suhu air laut bagi memastikan pelunturan karang tidak berlaku dengan ketara kerana ia merupakan habitat bagi kebanyakan spesies ikan laut yang menjadi punca pendapatan nelayan,” tambah Adnan lagi.
Beliau berkata, lebih 116,000 nelayan laut berdaftar di Malaysia akan terkesan dengan pelunturan terumbu karang untuk tempoh jangka masa panjang sekiranya masalah itu tidak ditangani
Malaysia mempunyai 62 kawasan perlindungan marin di bawah Akta Perikanan 1985 yang melindungi terumbu karang sebagai nurseri ikan
Seorang nelayan darat menunjukkan hasil tangkapan ikan dari jenis tilapia di Sungai Langat di Bangi, Selangor, 16 November 2020. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pulang tangan kosong
Dalam pada itu nelayan-nelayan yang dihubungi BenarNews berkata jumlah tangkapan ikan berkurangan hingga ke tahap kritikal pada musim panas tahun ini ekoran populasi ikan beralih ke kawasan lubuk yang lebih dalam bagi mencari kadar suhu lebih sesuai.
Nurul Azmi Mohamed Daud, seorang nelayan di Sungai Kinta, negeri Perak berkata, air sungai yang cetek sejak Februari lepas mengakibatkan lebih 60 nelayan di kawasan itu tidak dapat keluar mencari rezeki.
“Kedalaman sungai kini hanya kira-kira 1.2 meter sedangkan paras normal biasanya antara 2.1 hingga 3 meter. Jadi bot kami tak boleh dibawa ke bahagian sungai yang ada ikan.
“Ada hari kami pulang dengan tangan kosong,” luahnya kepada BenarNews.
Menurut lelaki berusia 38 tahun itu, nelayan di Sungai Kinta mampu meraih tangkapan ikan jenis lampam, jelawat dan baung serta udang antara 40 ke 50 kg dengan nilai hampir RM200 (AS$42.35) pada hari biasa, tetapi sedikit terjejas pada tahun ini.
Seorang lagi nelayan Abdul Azhar Abdul Aziz, 36, dari Tasoh, negeri Perlis pula berkata air tasik surut kira-kira seminggu sebelum bulan Ramadan, sekali gus memberikan peluang tangkapan ikan yang lebih banyak.
“Tetapi selepas minggu kedua, tangkapan berkurangan kerana paras air hanya mampu bertahan beberapa bulan lagi jika tidak mengalami hujan secara berterusan.
“Sekarang hendak dapat 50 kg tangkapan pun susah jika dibandingkan pada musim biasa, tangkapan kami sekitar 100 ke 200 kg sehari,” tambah Abdul Azhar.
Beliau berkata, kira-kira 40 orang nelayan di tasik itu rungsing memikirkan jumlah tangkapan yang merudum ketika Aidilfitri bakal menjelma.
“Musim raya ramai hendak pakai duit. Buat masa ini, kami menggunakan wang simpanan daripada lebihan tangkapan semasa air surut,” tambahnya.
Tasik buatan manusia itu menjadi habitat kepada ikan jenis talapia, lampam dan belida yang mendapat permintaan tinggi daripada penduduk sekitar.
Ujarnya, usaha nelayan untuk menjana pendapatan alternatif dengan menyediakan perkhidmatan rondaan bot di tasik juga terbantut kerana ketiadaan pelancong semasa Ramadan.
Keadaan Sungai Golok di antara sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan mula mengering ekoran musim kemarau yang kini melanda Malaysia, 26 Mac 2024. [M. Johan/BenarNews]
Suhu tertinggi
Negeri Perlis yang terletak di utara Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Thailand mencatatkan rekod suhu tertinggi iaitu 39 darjah Celsius pada Mac, demikian menurut METMalaysia.
Empangan Bukit Malut yang terletak di Pulau Langkawi juga bersempadan dengan Thailand berdepan dengan paras air kritikal akibat cuaca panas kering yang melanda negara Asia Tenggara, manakala beberapa tasik dan sungai di negara itu turut dilaporkan kering.
Tasik Ayer Keroh di Melaka dan Sungai Golok di Kelantan yang bersempadanan dengan Thailand berdepan dengan paras air kritikal dan pada Ahad lalu, METMalaysia mengeluarkan amaran tahap dua (gelombang haba) di Perlis dan Hulu Perak yang mana suhu boleh meningkat naik sehingga 40 darjah Celsius.
Untuk rekod, suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia ialah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998.
Sementara itu, pakar kaji cuaca yang ditemui BenarNews memberi amaran tentang peningkatan suhu pada jangka masa panjang di negara itu.
“Cuaca panas menyaksikan peningkatan ketara sejak beberapa dekad lalu disebabkan oleh pemanasan global dan aktiviti guna tanah,” menurut Liew Ju Neng, pensyarah di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jelasnya, kesan gelombang haba diburukkan lagi dengan ketiadaan hujan semasa musim panas.
“Hujan renyai tidak mempunyai kesan penyejukan yang mencukupi untuk mengatasi peningkatan suhu. Malah, ia meningkatkan kelembapan udara yang seterusnya mengurangkan penyejukan sejatan dan meningkatkan suhu. Ini meningkatkan risiko strok haba,” ujarnya.