Malaysia pantau ikan tilapia dagu hitam, ancam ekosistem air tawar

Jabatan Perikanan lakukan proses inventori di Sungai Golok, pastikan tiada spesies ikan invasif Afrika itu terlepas masuk dari sungai di Thailand.
Ili Shazwani Ihsan
2024.08.05
Kuala Lumpur
Malaysia pantau ikan tilapia dagu hitam, ancam ekosistem air tawar Seorang nelayan darat menunjukkan hasil tangkapan beberapa jenis ikan termasuk tilapia selepas menjala di Sungai Langat, Bangi, Selangor, 16 November 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 10.30 pagi waktu tempatan ETS - 2024-08-05

Sungai di Malaysia setakat ini bebas daripada ikan invasif, tilapia dagu hitam, kata jabatan perikanan negara itu kepada BenarNews di tengah-tengah laporan bahawa spesies tersebut telah merebak ke kawasan air tawar di negara jiran Thailand sekali gus mengancam kepelbagaian biologi negara berkenaan.

Seorang pegawai Jabatan Perikanan Malaysia berkata agensi itu memantau dengan teliti sebarang tanda kehadiran spesies pemangsa hidupan air tawar termasuk ikan lebih kecil itu terutamanya di Sungai Golok, Kelantan yang berkongsi dengan Thailand.

Pakar perikanan Malaysia turut menyuarakan kebimbangan tentang ancaman terhadap hidupan marin lain sekiranya populasi ikan berkenaan terlepas ke kawasan air tawar di negara itu berikutan sifatnya yang mudah beradaptasi di kawasan berkemasinan tinggi dan membiak dengan cepat selain tabiat pemakanan yang luas.

“Dari program inventori meliputi pelbagai kawasan perairan dan kolam ternakan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan di seluruh negara setakat ini, tiada penemuan spesies itu dilaporkan di kawasan air tawar Malaysia atau mana-mana aktiviti akuakultur tempatan.

“Berdasarkan rekod, tiada penternak akuakultur yang diketahui membela atau membiakkan ikan ini,” kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Adnan Hussain kepada BenarNews semasa dihubungi.

Adnan berkata ikan yang berasal dari barat Afrika itu telah dibawa masuk untuk ternakan akuakultur di beberapa negara Asia Tenggara seperti Filipina di mana ia digunakan untuk meningkatkan hasil akuakultur kerana ketahanannya terhadap persekitaran yang pelbagai dan kemampuan membiak dengan cepat.

Ancam spesies ikan air tawar

Bagaimanapun, Adnan menjelaskan kemampuan ikan invasif untuk membiak dengan pantas mengancam spesies air tawar lain kerana ia menimbulkan persaingan dari segi pemakanan dan mengurangkan populasi hidupan sedia ada.

“Kita mengambil langkah berjaga-jaga buat masa ini dan sekiranya spesies tersebut terlepas ke dalam sungai kita, langkah pengawalan yang sama seperti dilakukan terhadap ikan bandaraya akan diambil bagi mengelakkan populasi ikan tilapia itu merebak.

“Dari segi pengawalan, kita tidak cenderung kepada kawalan secara biologi seperti melepaskan ikan yang lebih agresif kerana dikhuatiri ia akan mengurangkan populasi ikan kecil, sebaliknya kita menggunakan kaedah tangkap dan keluarkan dari sungai kita,” tambah Adnan.

Pakar perikanan Intan Faraha A Ghani berkata, karakter dan sifat tilapia blackchin yang boleh hidup di kawasan berkemasinan tinggi bukan sahaja memberi ancaman kepada spesies air tawar malah boleh menjejaskan spesies hidupan di kawasan muara.

Bimbang dengan impak negatif ikan invasif itu, Intan Faraha memetik insiden di mana tilapia dagu hitam dilihat mula mendominasi sungai di Thailand sehingga memaksa negara tersebut mengambil langkah kawalan termasuk mengumumkan larangan penternakan dan menimbang untuk membebaskan ikan pemangsa seperti siakap.

“Spesies ikan tilapia itu menjadi ancaman dan boleh dikategorikan sebagai invasif kerana mempunyai tabiat pemakanan yang luas dan menjadi predator kepada telur dan anak ikan yang berada di kawasan sekitar dan ancaman itu telah berlaku di beberapa tempat yang telah didominasi oleh spesies tersebut.

“Di habitat semulajadi, spesies ini bertelur sepanjang tahun dengan ikan betina boleh menghasilkan telur sebanyak 200 hingga 900 biji bagi setiap induk.

“Walaupun dibawa masuk untuk industri akuakultur, spesies itu mula dijumpai di kawasan air tawar di Filipina dan Hawai serta Florida, Amerika Syarikat dan kini mula mendominasi sungai di Thailand,” menurut Intan Faraha yang juga Timbalan Dekan Pemasaran, Pembangunan dan Penyelidikan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor.

Sejak bulan lalu, Thailand berhadapan dengan lonjakan populasi ikan tilapia dagu hitam yang telah merebak ke 17 wilayah dan merangka pelan menyeluruh termasuk strategi awal menaikkan harganya kepada AS$0.42 (RM1.89) perkg.

Ia bagi tujuan membuat baja dan dijangka membantu menghapuskan 4 juta kg ikan tilapia dagu hitam itu dari kawasan air tawar dan kolam di negara itu menjelang pertengahan tahun depan.

Media negara itu melaporkan Jabatan Perikanan Thailand juga telah meminta sampel asid deoksiribonukleik (DNA) tilapia blackchin daripada Ghana untuk mengesahkan sama ada spesies ikan invasif yang ditemukan di 17 wilayah termasuk Bangkok dan Chanthaburi itu berasal dari Afrika atau sebaliknya.

Turut dilaporkan bahawa Charoen Pokphand Foods (CPF), konglomerat agroindustri dan makanan yang beribu pejabat di Thailand sebelum ini memohon kebenaran untuk mengimport ikan tilapia dagu hitam untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan pada 2010.

Bagaimanapun, media Thailand memetik wakil CPF sebelum ini menyerahkan laporan kepada Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi menafikan ia menjadi punca masalah lonjakan spesies ikan tilapia dagu hitam di negara itu.

Sebaliknya, laporan tersebut menyebut bahawa syarikat itu meminta kebenaran bagi mengimport 2,000 anak benih tilapia blackchin dari Ghana pada 22 Disember 2010 bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di pusat pembiakan di wilayah Samut Songkhram, barat daya Bangkok.

“Banyak ikan mati semasa diangkut dan hanya berbaki 600 ekor. Bagaimanapun, kesemua ikan itu mati dalam tempoh tiga minggu,” syarikat itu dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.