Pengundi Melayu tolak UMNO semasa PRN kerana tidak suka presiden, kata badan pemikir

Imej dan ketokohan Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit dengan 47 pertuduhan kes rasuah antara kenapa UMNO ditolak pengundi Melayu.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2023.08.25
Kuala Lumpur
Pengundi Melayu tolak UMNO semasa PRN kerana tidak suka presiden, kata badan pemikir Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kiri) sedang berbincang dengan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi (kanan) semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di Kuala Lumpur, 9 Jun, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pengundi Melayu telah menolak parti tertua Malaysia, UMNO semasa pilihan raya enam negeri baru-baru ini kerana tidak menyukai pemimpinnya Ahmad Zahid Hamidi, demikian menurut satu kajian dijalankan sebuah badan pemikir tempatan yang diterbitkan pada Jumaat.

Reputasi Presiden parti itu jelas tercemar apabila lebih daripada 4,000 orang yang mengambil bahagian dalam kaji selidik oleh Ilham Center melihat Ahmad Zahid yang terpalit dengan 47 pertuduhan jenayah rasuah sebagai seorang pemimpin yang tidak mempunyai ketokohan selain kekalahan teruk parti tunjang orang Melayu itu pada Pilihan Raya Umum November lepas.

"Isu mengenai imej Ahmad Zahid merupakan satu perkara yang jelas dalam dapatan kajian kami, sehinggakan orang UMNO sendiri menyalahkan beliau sebagai faktor utama mengapa parti itu tidak berjaya mendapatkan sokongan pengundi,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhammad Hisommudin Bakar semasa satu sidang media.

Ahmad Zahid sedang berdepan dengan 47 pertuduhan jenayah kerana didakwa menyeleweng RM52.25 juta (AS$11.42 juta) dari sebuah yayasan milik keluarganya, telah didesak supaya meletakkan jawatan ekoran prestasi teruk UMNO dalam pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos lepas.

"Apabila kami bertanya kepada mereka sama ada UMNO dan Barisan Nasional mampu bangkit semula selepas pilihan raya, ramai yang menjawab tidak," tambah Muhammad Hisommudin lagi.

Kaji selidik oleh Ilham itu merangkumi 2,416 responden bagi siri pertamanya, yang dijalankan dari 11 Julai hingga 27 Julai diikuti dengan 2,304 responden lagi bagi fasa terakhir iaitu dari 29 Julai hingga 8 Ogos di semua enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri.

Menurut Muhammad Hisommudin, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila satu jumlah yang signifikan dari pengundi Melayu telah beralih arah dari Barisan Nasional yang dipimpin UMNO walaupun mendapat sokongan berterusan dari penyokong serta pemimpin yang terpalit isu rasuah.

"Kami tidak menjangka bilang pengundi yang beralih arah adalah sebesar ini, memandangkan para penyokong masih mengundi Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, walaupun setelah diuji dengan pelbagai konflik termasuk pemimpinnya dituduh mencuri, kluster mahkamah, parti rasuah serta pergolakan dalaman antara pemimpin-pemimpin besar parti," kata Hisommudin.

"Tetapi nampaknya ramai di luar sana telah menolak Barisan (Nasional). Kami sebelum ini menjangkakan bilangan yang menolak ini adalah sedikit, namun fakta menunjukkan sebaliknya dengan 58 peratus undi beralih arah di Kedah, Kelantan 51 peratus dan Pulau Pinang 27 peratus."

Hisommudin juga berkata, Barisan dan UMNO turut mengalami kemelesetan sokongan dari golongan muda Melayu termasuk yang berada di luar bandar serta dari kalangan penjawat awam.

Parti-parti dalam gabungan pembangkang Perikatan Nasional pula kini dilihat sebagai juara baru dalam memperjuangkan bangsa Melayu, tambah beliau lagi.

Di Malaysia, etnik Melayu merupakan majoriti dengan kira-kira 70 peratus daripada populasi negara itu dengan kesemua mereka adalah beragama Islam. Bangsa Cina pula meliputi 22.8 peratus diikuti etnik India sebanyak 6.6 peratus.

UMNO telah menunjukkan prestasi lemah pada dua pilihan raya umum berturut-turut sejak 2018, yang ketika itu bergelut dengan imej rasuah bekas presiden parti Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, serta isu menumpukan kepentingan peribadi.

Pada pilihan raya enam negeri baru-baru ini, parti tersebut hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 yang ditandinginya di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, dan Kelantan, manakala langsung tidak berjaya mendapat sebarang kemenangan di Terengganu dan Kedah.

Kesan signifikan

Bagaimanapun, menurut Mujibu Abd Muis, seorang penyelidik bersekutu Ilham, peletakan jawatan Ahmad Zahid dari UMNO mungkin tidak akan mampu membawa perubahan signifikan kepada parti tersebut kerana terdapat isu-isu asas lain dalam UMNO yang memerlukan pemulihan secara total.

"Kita perlu meletakkan konteks sama ada peletakan jawatan oleh Ahmad Zahid akan mampu menyelesaikan masalah. Sekiranya kita mahu menyelesaikan isu dalam UMNO untuk jangka masa pendek, boleh dikatakan tindakan itu mampu membawa penyelesaian.

"Akan tetapi, adakah ia mampu menyelesaikan masalah UMNO dalam jangka masa panjang? Tidak. Kerana UMNO mempunyai masalah sistemik dari atas hingga ke peringkat bawah.

"Seperti apa dikatakan oleh ahli akar umbi, transformasi UMNO hendaklah dilakukan secara besar-besaran bukan sahaja dari segi kepimpinan tetapi juga hala tuju dan falsafah UMNO sendiri.

“Dalam situasi sekarang, cara terbaik untuk menyegarkan semula UMNO ialah dengan bermula dari ahli akar umbinya yang telah hilang keyakinan terhadap UMNO," kata Mujibu ketika sesi soal jawab semasa sidang media yang sama.

Pada Jumaat, Ahmad Zahid mengakui bahawa parti itu telah ditolak oleh ahlinya sendiri dan komuniti Melayu, dan membawa kesan signifikan terhadap UMNO, menurut laporan media tempatan.

"Ia sehingga ke tahap sesetengah ahli melabelkan kerjasama sekarang sebagai UMDAP dan realitinya terma itu memberi kesan kepada mereka.

"Barisan Nasional perlu bekerja keras untuk meyakinkan ahli parti dan akar umbi bahawa kerjasama antara UMNO dengan Pakatan Harapan adalah satu langkah positif dan tidak patut dirisaukan.

"Penolakan terhadap kerjasama ini tentunya memberikan kesan sedikit kepada parti, akan tetapi selepas beberapa penjelasan diberikan, ia semakin diterima baik," kata Ahmad Zahid dalam satu majlis di Johor.

Pada Jumaat, penyokong Presiden UMNO daripada pelbagai peringkat telah mengadakan perhimpunan untuk menunjukkan sokongan kepada pemimpin mereka di Ibupejabat parti di Kuala Lumpur.

Shahbudin Embun, ketua kumpulan Waris Pekembar Perlis berkata kehadiran mereka adalah untuk mempertahankan Ahmad Zahid, kedudukan beliau sebagai presiden parti serta kelangsungan UMNO.

"Setiap ahli UMNO memikul tanggungjawab atas kejayaan dan kegagalan parti, dan bukan hanya meraikan kejayaan tetapi berdiam diri ketika menemui kegagalan," kata Shahbudin dalam ucapannya ketika himpunan tersebut yang turut disiarkan di platform media sosial.

Pada Khamis, media tempatan melaporkan kira-kira 900 wakil Wanita UMNO telah berhimpun untuk mempertahankan Zahid daripada desakan supaya beliau meletak jawatan.

Sementara itu, Pemuda UMNO sebelum ini dilaporkan telah melaksanakan satu sesi post-mortem bagi mengkaji keputusan pilihan raya, dan ketua sayap itu Akmal Salleh telah memberikan amaran bahawa UMNO akan lenyap dalam pilihan raya umum yang akan datang sekiranya parti itu kekal bersikap pasif.

Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura memberitahu BenarNews bahawa dapatan kajian Ilham adalah sesuatu yang tepat.

"Jelas sekali Ahmad Zahid harus memberi laluan kepada generasi baharu untuk memimpin bagi menyegarkan semula parti. Akan tetapi beliau juga adalah orang yang menjadi pasak kepada kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi, ia adalah satu dilema," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.