Adik PM Malaysia Gesa Ketelusan Susulan Tindakan Undang-undang Terhadap 1MDB
2016.07.22
Kuala Lumpur

Adik lelaki Perdana Menteri Malaysia menggesa kerajaan yang diterajuinya supaya lebih telus susulan dakwaan menjejaskan dalam tindakan undang-undang Amerika Syarikat yang berusaha mendapatkan kembali lebih daripada $1 bilion wang yang didakwa dicuri dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Demokrasi bukan hanya tentang pilihan raya, ia juga tentang integriti institusi, kedaulatan undang-undang dan kebebasan media," kata Nazir Razak, yang juga tokoh perbankan, dalam catatannya di Instagram pada malam Khamis.
Sejak setahun yang lalu, abangnya Perdana Menteri Najib, dibelenggui skandal rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB. Kini, tindakan undang-undang AS tampil untuk menghubungkan Najib kepada aktiviti dan urusan meragukan yang melibatkan pemain-pemain utama yang dinamakan di dalam dokumen mahkamah. Seseorang yang rapat dengan penyiasatan AS mengenal pasti Najib sebagai "Pegawai Malaysia 1," yang sering dinyatakan di dalam dokumen mahkamah, lapor Wall Street Journal (WSJ).
Nazir, pengerusi kumpulan CIMB, satu daripada bank terbesar di Malaysia, tidak secara khusus menamakan abangnya dalam media sosial itu. Namun, beliau merujuk kepada satu tajuk berita setahun yang lalu dalam akhbar kewangan Malaysia, The Edge, yang membawa kepada penggantungan penerbitan akhbar itu selama tiga bulan oleh kerajaan abangnya.
"Tepat 12 bulan yang lalu, tajuk ini menyebabkan mereka digantung. Hari ini, Peguam Negara AS menyatakan perkara yang hamper sama, "kata Nazir, merujuk kepada tajuk dalam The Edge yang menyatakan Low Taek Jho, sekutu politik rapat abangnya, dinamakan sebagai satu pihak dalam tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat minggu ini.
Sementara itu, Wall Street Journal, yang mendedahkan berita tentang wang sebanyak $681 juta yang dikaitkan dengan 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib pada Mac 2013 - yang menyebabkan perdana menteri itu dilanda masalah besar dan membawa kepada gesaan supaya beliau meletakkan jawatan – berkata dalam satu rencana pengarang bahawa kerugian bakal dihadapi beliau dan penyokongnya. Sementara itu, jurucakap White House berkata dalam beberapa laporan bahawa Presiden Barack Obama memberitahu Najib pada tahun lepas bahawa kerajaan Malaysia perlu telus.
Suasana 'toksik': Nazir
Pada Januari lepas, Peguam Negara Malaysia mendakwa bahawa $681 juta itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah digunakan untuk membiayai calon pada pilihan raya umum 2013. Najib, bagi pihak dirinya, terus menafikan sebarang salah laku mengenai derma itu dan juga laporan mengenai perbelanjaan mewah yang dikaitkan dengan wang 1MDB.
Adiknya Nazir juga disebut di dalam laporan WSJ yang dikatakan menerima $7 juta untuk diagihkan kepada ahli-ahli politik sebelum pilihan raya berkenaan. Beliau mengesahkan dalam satu kenyataan bertulis bahawa beliau telah menerima dana itu, yang diagihkan kepada pegawai-pegawai parti Pertubuhan Melayu Bersatu Kebangsaan (UMNO) pimpinan Najib, setelah mendapat arahan daripada pemimpin parti.
Nazir memberitahu Wall Street Journal bahawa beliau percaya wang itu adalah daripada sumbangan yang beliau bantu dapatkan daripada syarikat dan individu Malaysia untuk pilihan raya berkenaan, dan beliau tidak tahu tentang mana-mana sumber pembiayaan lain.
Nazir sering bersuara dalam media sosial mengenai rasa tidak puas hatinya berhubung 1MDB. Pada Februari lalu, beliau berkata skandal itu membimbangkannya, dengan merujuk kepada petunjuk bahawa $4 bilion hilang tanpa dapat dikesan, lapor Financial Times (FT).
"Saya tidak tahu bagaimana institusi kita boleh pulih, bagaimana suasana politik kita boleh menjadi kurang toksik, bagaimana reputasi antarabangsa kita boleh dibaiki," katanya dalam catatan Instagram, lapor FT.
Dakwaan AS
Dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada Rabu di California, DOJ menyatakan bahawa ia berusaha untuk merampas aset yang didakwa dibeli dengan pengubahan wang 1MDB termasuk emper, rumah agam, karya seni dan jet peribadi. Saman itu juga mendakwa bahawa wang berkenaan telah digunakan untuk melangsaikan hutang judi yang digunakan anak tiri Najib, Riza Aziz, bagi menubuhkan Red Granite, sebuah syarikat yang menghasilkan filem Hollywood "The Wolf of Wall Street."
Pada Khamis, pihak berkuasa di dua negara lain bertindak menyita dan merampas lebih banyak aset yang dikaitkan dengan 1MDB.
Pihak berkuasa Singapura mengumumkan bahawa mereka telah menyita aset berjumlah $240 juta (AS $177 juta) - di mana $120 juta (AS $88.5 juta) adalah daripada Low Taek Jho dan ahli keluarga terdekat beliau, yang telah disenaraikan di dalam dokumen aduan yang difailkan di Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Swiizerland mengumumkan bahawa mereka telah merampas sebuah lukisan karya Van Gogh bernilai $ 5.4 juta, dan dua lukisan dihasilkan Monet bernilai $ 92.5 juta.
'Tidak boleh lari daripada tanggungjawab'
Dalam rencana pengarangnya, Wall Street Journal menyasarkan kepada perdana menteri, yang memulakan dana yang disokong negara dengan misi untuk memacu pembangunan di negaranya.
"Encik Najib tidak boleh lari daripada tanggungjawab jika dibuktikan bahawa kekayaan negara yang dipegang 1MDB, hilang semasa di bawah pemerhatiannya. Beliau melancarkan 1MDB pada 2009, berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihatnya, dan menyelianya sebagai perdana menteri dan pada masa yang sama, sebagai menteri kewangan. "
Akhbar itu juga mempunyai mesej untuk ahli-ahli politik yang berkhidmat di bawah Najib.
"... Ahli-ahli politik UMNO perlu memikirkannya semula. Encik Obama bukannya lama berkhidmat, dan tindakan undang-undang AS itu jelas menunjukkan bahawa kedudukan Encik Najib sebagai sekutu Islam yang sederhana tidak akan melindunginya atau Malaysia daripada tindakan undang-undang. Kerugian 1MDB akhirnya bakal dihadapi beliau dan rakan sekutunya," kata rencana pengarang itu pada Khamis.
"Semakin lama UMNO menunggu untuk menolak kepimpinan Encik Najib, semakin besar kemungkinannya pembangkang bersatu sebagai satu kumpulan semula ketika berlakunya kejatuhan 1MDB. Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang merancang untuk membentuk UMNO versi baru dan lebih bersih. Itu boleh menjadi peluang bagi mengubah pemikiran ahli-ahli parti pemerintah itu supaya keluar daripada nakhoda Encik Najib yang semakin karam, "kata rencana pengarang itu.
Di White House pada Khamis, jurucakap Josh Earnest berkata Obama tidak mempengaruhi tindakan undang-undang DOJ, tetapi presiden itu telah memberitahu Najib mengenai perlunya tadbir urus yang baik semasa lawatannya ke Malaysia pada November.
"... Presiden mengulangi betapa pentingnya, khususnya bagi sebuah negara yang berkembang pesat seperti Malaysia, untuk menjadi telus, menunjukkan komitmen untuk menjadi kerajaan yang adil dan baik serta mempunyai iklim perniagaan yang akan membolehkan ekonomi negara itu terus berjaya. Dan bagi kepentingan perniagaan yang sedang menimbangkan untuk menjalankan perniagaan di Malaysia, mereka mahu mencari petunjuk bahawa ada iklim perniagaan yang baik di Malaysia, "kata Earnest semasa taklimat media White House.
"Tetapi, akhirnya ia menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan, dan itulah yang presiden katakan, sejak lawatan beliau ke Malaysia pada tahun lepas."