Kematian 161 Dalam Tahanan Imigresen Disebabkan Pelbagai Penyakit

Hata Wahari
2017.05.23
Kuala Lumpur
170523-my-detention1000.jpg Seorang pendatang tanpa izin warga Bangladesh melihat keluar daripada van polis semasa beliau mahu dibawa ke Pejabat Daerah Polis Langkawi, Kedah, 11 Mei 2015.
AFP

Malaysia berkata seramai 161 tahanan warga asing telah mati kerana pelbagai penyakit di pusat tahanan Jabatan Imigresen Malaysia [JIM] untuk tempoh tiga tahun, dan langkah terbaru setiap pendatang wajib menjalani saringan kesihatan fizikal sebelum mereka boleh tempatkan di pusat tahanan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa dihubungi BeritaBenar pada Selasa berkata jumlah kematian dalam tahanan itu adalah antara 2014 dan 2016 disebabkan pelbagai penyakit berjangkit termasuk batuk kering dan HIV.

“Kebanyakan yang mati adalah warga Myanmar (73), diikuti Indonesia (23) dan Bangladesh (14),” katanya sambil menambah bilangan terbesar kematian dicatatkan di kem tahanan di Langkap, Perak, iaitu seramai 40 orang, Bukit Jalil, Kuala Lumpur (31) dan Lenggeng, Negeri Sembilan (28).

JIM dalam satu kenyataan media pada 17 Mei lepas pula berkata, Pembantu Perubatan yang ditempatkan di depot tahanan akan membuat saringan kesihatan fizikal semasa proses penerimaan tahanan dan bagi mereka yang dikenalpasti menghadapi masalah kesihatan, akan dihantar ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk rawatan susulan.

“Mengikut rekod jabatan, kebanyakan kematian tahanan di depot tahanan Imigresen adalah disebabkan oleh penyakit kritikal atau berjangkit yang dihadapi oleh tahanan sebelum ditempatkan di dalam depot tahanan Imigresen,” kata kenyataan berkenaan.

Pada 16 Mei lepas, akhbar The Guardian yang berpusat di United Kingdom dalam laporannya berkata sekurang-kurangnya 24 pelarian dan pencari suaka mati ketika berada dalam tahanan  Jabatan Imigresen sejak 2015.

Laporan itu juga mendedahkan mengenai keadaan dalam depot yang dikatakan busuk, sesak, tahanan yang dinafikan keperluan asas seperti makanan, air dan rawatan perubatan.

Selain itu, antara sedozen tahanan yang baru dibebaskan dan telah ditemuramah oleh akhbar berkenaan memberitahu mereka melihat sekurang-kurangnya satu kematian yang kebanyakannya adalah disebabkan penyakit tetapi dalam beberapa kes turut di sebabkan oleh penderaan fizikal.

"Kami hanya diberi secawan kecil air dengan makanan, jika tidak cukup, kami terpaksa minum air tandas," kata Mouyura Begum, 18, seorang pelarian Rohingya kepada akhbar itu.

Mouyura, yang ditahan selama setahun di depot tahanan Belantik di Kedah, juga mendakwa pengawal di pusat tahanan itu sering-kali memukul mereka.

"Hanya apabila seseorang itu hampir mati, pengawal akan datang. Jika tidak, jika kita mengadu, atau minta untuk dibawa ke hospital, mereka akan memukul kami, " dakwanya.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Razali Ismail berkata pihaknya telah berulang kali menekankan masalah serius berhubung tempat tahanan termasuk tahanan Imigresen dimana keadaannya tidak boleh diterima.

“Tahanan, terutamanya di pusat-pusat tahanan imigresen tinggal untuk tempoh yang panjang di dalam sel-sel yang sesak tanpa ruang yang cukup untuk bergerak atau tidur,” katanya dalam laporan tahunan 2016 suruhanjaya itu yang dikeluarkan pada April.

“Selain ditempatkan dalam ruang kecil, dan berada dalam keadaan yang tidak sihat, ia menjadikan hak kebebasan itu lebih mencabar. Bukan sahaja maruah sebagai tahanan  terhakis, malah kesihatan mental, emosi dan fizikal turut terjejas”

Tambahnya, pihak beliau telah berulang kali menasihati KDN, Jabatan Imigresen serta agensi kerajaan lain untuk mengikut piawaian antarabangsa.

Tiada data dari UNHCR

Sementara itu, Pegawai Hubungan Luar Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, Yante Ismail ketika dihubungi oleh BeritaBenar pada Selasa menegaskan bahawa agensi itu tidak mengeluarkan sebarang data untuk laporan akhbar berkenaan.

“Kami tak keluarkan apa-apa data. The Guardian membuat penyelidikan tentang isu tahanan imigresen. Mereka telah menemuduga pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM),” katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.

Tambahnya, akhbar itu juga telah mengadakan pertemuan dengan peguam hak asasi manusia, orang pelarian serta UNHCR dan bertanyakan soalan mengenai isu tahanan Jabatan Imigresen.

Imigresen siasat dakwaan

Dalam pada itu, susulan daripada laporan akhbar berkenaan, JIM berkata satu siastan terperinci tanpa kompromi sedang dijalankan berhubung dakwaan  kekerasan oleh pegawai terhadap tahanan.

“Jika hasil siasatan pegawai tersebut melanggar peraturan sebagai pegawai awam, jabatan itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib  berdasarkan kepada Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan 2002,”  kata jabatan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 17 Mei lepas.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa tahanan di depot diberi makan empat kali sehari dan tahanan boleh merujuk kepada pegawai bertugas jika memerlukan makanan atau  minuman yang lebih atau selain waktu makan yang ditetapkan.

“Jabatan juga ingin memaklumkan bahawa urusan pemberian makanan dan minuman di depot tahanan adalah dikendalikan oleh kontraktor yang dilantik oleh KDN dengan syarat-syarat serta pemantuan yang ketat,” kata kenyataan itu.

Pelarian dan pemohon suaka


Menurut statistik terbaru UNHCR, pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dan berada di Malaysia sehingga Mac tahun ini berjumlah seramai 150,845 dimana 67 peratus adalah lelaki dan 33 peratus adalah wanita dengan 35,941 adalah kanak-kanak berusia 18 tahun kebawah.

Menurut statistik UNHCR, seramai 134,175 adalah dari Myanmar dimana 57,619 etnik Rohingya; 39,591 dari etnik Chins; 10,347 orang Islam Myanmar; 4,497 etnik Rakhine dan Arakan serta dari etnik-etnik lain.

Sementara itu terdapat 16,670 pelarian dan pemohon suaka dari negara lain iaitu 3,196 dari Pakistan; 2,562 dari Sri Lanka;  2,025 dari Yemen; 1,943 dari Somalia; 1,921 dari Syria; 1,463 dari Iraq, 1,041 dari Afghanistan; 684 dari Palestin dan selebihnya dari negara-negara lain.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.