Imigresen Malaysia Bongkar Sindiket Seludup Warga Bangladesh dari Indonesia

Hata Wahari
2018.01.12
Kuala Lumpur
180112-my-imigresen620.jpg Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Mustafar Ali bersama Duta Besar Bangladesh Md. Shahidul Islam melihat proses program ‘rehiring’ dijalankan di Kedutaan Bangladesh, Kuala Lumpur, 14 Disember 2017.
(Hata Wahari/BeritaBenar)

Pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat berjaya membongkar satu lagi sindiket penyeludupan rakyat Bangladesh yang telah disenarai hitam untuk masuk semula ke negara itu melalui jalan laut dari Indonesia dengan tertangkapnya dalangnya serta 50 warga Bangladesh.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Mustafar Ali berkata, serbuan dibuat selepas dalang sindiket itu, yang dikenali sebagai “Abang Bangla”, seorang rakyat Bangladesh yang berusia 43 tahun ditahan di Alam Megah, Shah Alam pada Jumaat pagi.

“Abang Bangla ini ditahan bersama-sama dengan seorang rakyat tempatan yang menyeludup rakyat Bangladesh dari Indonesia di mana kesemua pendatang itu sebelum ini telah ditahan serta telah dihantar pulang ke Bangladesh dan disenari hitam oleh JIM,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya.

Jelasnya, 50 rakyat Bangladesh berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Seksyen 28, Shah Alam pada pukul 2 pagi Jumaat, selepas mendapat maklumat hasil siasatan terhadap “Abang Bangla.”

“Abang Bangla” atau nama sebenarnya Abdul Rauf, kata Mustafar memasuki Malaysia sejak Jun 2013 dan bekerja di sebuah syarikat di Brickfields, Kuala Lumpur.  Turut ditahan ialah rakyat tempatan berusia 49 tahun yang disyaki bersubahat dalam sindiket tersebut.

Jabatan Imigresen juga merampas wang tunai sebanyak RM13, 400 dan 48 pasport Bangladesh.

“Siasatan awal kami mendapati 'Abang Bangla' ini menguruskan kemasukan warga Bangladesh yang ada di antara mereka telah melakukan kesalahan dan telah dijatuhkan hukuman kerana memasuki negara ini secara tidak sah.”

"Sebahagian daripada mereka juga sudah disenarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia dan mereka telah menggunakan khidmat 'Abang Bangla' ini untuk membawa mereka masuk semula ke negara," katanya lagi.

Tambahnya, sindiket yang sudah beroperasi lebih lapan bulan itu menguruskan tiket penerbangan warga Bangladesh terbabit dari Dhaka ke Jakarta, Indonesia.

"Kemudian dari Jakarta, mereka dibawa masuk melalui jalan laut ke Malaysia dan kita mengenal pasti pesisir pantai Sekinchan, Selangor menjadi lokasi pendaratan mereka sebelum dibawa ke rumah penginapan berkenaan,” tambahnya lagi.

Mustafar berkata warga Bangladesh itu membayar antara RM15,000 hingga RM20,000 kepada sindiket berkenan untuk masuk semula ke Malaysia dengan warga asing terbabit disimpan di rumah sementera itu sehingga bayaran tersebut dilangsaikan sebelum mereka diserahkan kepada ejen atau majikan.

Kedua-dua dalang berkenaan ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala 50 warga Bangladesh berkenaan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Sindiket pemalsuan


JIM pada 5 Januari lepas juga telah memberkas dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai mendalangi sindiket pemalsuan dokumen serta membawa masuk pekerja asing sejak 2008 di Pandan Indah, Ampang, Selangor.

“Dua lelaki berumur 30-an yang bergiat dalam sindiket yang digelar 'Dr Harun 2.0' itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan tiga tingkat di kawasan Pandan Indah.”

"Bertindak atas maklumat orang awam, JIM berjaya menumpaskan sindiket membawa pekerja asing secara tidak sah berselindung di sebalik syarikat perniagaan yang diusahakan mereka bersama warga tempatan", ujar Mustafar ketika itu.

Penahanan itu membawa kepada penemuan 258 pasport Bangladesh, dua pasport Indonesia, 26 kad sementara atau E-Kad, 11 cop getah kedutaan asing palsu dan sebuah komputer yang digunakan untuk membuat permohonan pekerja asing dan memalsukan kelulusan pekerja asing, katanya.

Tambahnya, sindiket berkenaan menawarkan perkhidmatan permohonan baru dan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada majikan yang berurusan dengan mereka pada kadar bayaran tertentu.

Bertemu Duta Bangladesh


Mustafar dan Duta Besar Bangladesh ke Kuala Lumpur, Md. Shahidul Islam telah mengadakan pertemuan pada 14 Disember lalu di pejabat kedutaan tersebut di ibunegara dengan kedua-dua mereka membincangkan usaha untuk memperkukuh dan memantapkan lagi keselamatan dan tindakan berkaitan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh ke Malaysia.

Kata Mustafar, pelbagai isu  dibincangkan antaranya untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak Bangladesh bagi membantu JIM dalam mengenal pasti dalang-dalang yang terlibat berhubung kes penyeludupan warganegara Bangladesh.

“Pihaknya juga telah menghantar satu pasukan khas ke Bangladesh yang dianggotai oleh pegawai Bahagian Visa, Pas dan Permit, Bahagian Khidmat Ekspatriat dan Bahagian Integriti bagi memperkukuhkan prosedur operasi standard pengeluaran visa kepada pelawat dari Bangladesh dan melakukan semakan tertentu di negara berkenaan,” ujar beliau sebelum ini.

Mustafar memberitahu penambahan pegawai pasukan khas ke Bangladesh akan dilakukan segera sekiranya perlu bagi mempercepatkan proses prosedur operasi standard itu dan melakukan semakan-semakan tertentu di negara berkenaan dengan lebih lancar.

Sementara itu, Shahidul ketika ditemui BeritaBenar telah merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen atas kerjasama yang telah diberikan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Jabatan Imigresen Malaysia kerana memberikan bantuan sepenuhnya kepada warganegara Bangladesh yang terlibat dalam pendaftaran Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Program Rehiring).

Program ini merupakan satu inisiatif oleh kerajaan Malaysia untuk memberi peluang kepada pendatang asing yang bekerja secara haram di negara itu diberikan pas kerja yang sah yang sekaligus memenuhi permintaan majikan untuk mengisi keperluan pekerja bagi sektor pekerjaan yang dibenarkan sahaja.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.