Lanjutan program rekalibrasi benarkan pemutihan pekerja domestik

Lebih 95 peratus kes penderaan pekerja domestik Indonesia di Malaysia adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen sah, kata Duta Indonesia.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.01.18
Putrajaya
Lanjutan program rekalibrasi benarkan pemutihan pekerja domestik Wanita warga Indonesia yang bekerja di Malaysia menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, 5 Mac, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Rabu berkata bahawa program pemutihan pekerja asing tanpa dokumen di negara itu, kini meliputi kategori pembantu rumah, satu langkah oleh Putrajaya dan sangat dialukan oleh Jakarta kerana langkah tersebut dilihat dapat membantu mengurangkan kes penderaan pekerja domestik oleh majikan.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja siri kedua, atau RTK 2.0, dibuat bagi pemutihan pekerja asing melibatkan lapan sektor pekerjaan yang pada asalnya berakhir pada 31 Disember lalu, bagaiamanapun telah dilanjutkan setahun lagi oleh Malaysia dalam mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di negara tersebut.

Seorang diplomat Indonesia dalam reaksinya terhadap langkah terbaharu Malaysia yang membenarkan kategori pembantu rumah dalam senarai pemutihannya memberi reaksi positif tetapi meminta Putrajaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka.

"Program rekalibrasi ini meliputi lapan sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perlombongan dan kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian, perladangan dan pembantu rumah asing. Di dalam pelaksanaan rekalibrasi, sebelum ini pembantu rumah tidak dibenarkan, tetapi pada kali ini sektor itu telah dimasukkan.

"Walaubagaimanpun, sektor-sektor yang dibekukan masih tidak dibenarkan menyertai program ini, iaitu sektor perniagaan tekstil, tukang emas, tukang gunting rambut, rumah kebajikan dan perniagaan kitar semula," kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud semasa sesi taklimat kepada media mengenai Program RTK 2.0 di Putrajaya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono semasa diminta mengulas memberikan respon positif terhadap langkah terkini Putrajaya meliputi sektor pekerja domestik dalam program rekalibrasi pekerja asing yang dilanjutkan setahun lagi itu.

Beliau berkata langkah terkini Putrajaya itu akan membolehkan pihak berkuasa mempunyai data para majikan dan sekaligus membolehkan pemantuanan keadaan pekerja dapat dilakukan.

"Kami mengalu-alukan polisi tersebut. Sektor dan pekerja yang paling bermasalah di Malaysia adalah membabitkan pekerja domestik, terutama mereka yang tidak mempunyai dokumen. Lebih 95 peratus kes penderaan yang berlaku terhadap warga kami yang bekerja sebagai pembantu domestik di Malaysia adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen sah.

"Melalui program rekalibrasi ini, saya melihatnya sebagai satu polisi yang positif kerana kita akan mempunyai data-data pembantu domestik, data majikan mereka termasuk di mana mereka bekerja, siapa orang yang boleh dihubungi dan sebagainya. Ini membolehkan kita untuk memantau keberadaan mereka dan juga keadaan para pekerja domestik kita," kata Hermono semasa dihubungi BenarNews.

Beliau bagaimanapun menggesa Putrajaya mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka.

Katanya, perbuatan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen adalah kesalahan di sisi undang-undang Malaysia dan kerajaan perlu memastikan mereka dihukum.

"Masanya sudah tiba bagi Malaysia menghentikan kes-kes penderaan, eksploitasi dan penyeksaan pekerja domestik, kerana ini adalah isu utama kita hadapi di Malaysia. Isu penderaan terhadap pekerja domestik kita," tambah beliau.

Kurangkan masalah tenaga kerja

Sementara itu, persatuan agensi pekerja asing turut menyambut baik tindakan kerajaan Malaysia melanjutkan RTK 2.0, dan menyatakan bahawa ianya dapat mengurangkan masalah kekurangan pembantu rumah.

Foo Yong Hooi dari Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) berkata keperluan untuk tenaga kerja bagi sektor pembantu rumah telah meningkat kepada 50,000 orang pada tahun ini disebabkan permintaan yang tinggi di Malaysia.

"Langkah ini adalah satu yang tepat. Kami mengalu-alukan keputusan kerajaan (mengenai RTK 2.0). Ia juga adalah lebih murah dari segi kos (untuk rekalibrasi pekerja asing tanpa izin) berbanding mengambil pekerja baharu dari luar negara," kata beliau kepada BenarNews.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein turut berkongsi pandangan serupa. Beliau menyatakan bahawa selain kos lebih rendah, program rekalibrasi juga menjimatkan masa bagi majikan mendapatkan tenaga kerja.

"Ia amat memudahkan kerana kita tidak perlu mencari sumber di luar negara, oleh kerana dalam negara sudah ada. Cuma perlu memutihkan mereka sahaja. Kos akan jadi amat kurang, tidak perlu bayar pengangkutan ke sana, serta untuk membayar ejen sebab mereka sudah ada di sini.

"Majikan cuma perlu bawa dan pergi ke imigresen. Tidak perlu ada orang tengah. Majikan hanya isi borang, bayar levi dan apa-apa permit, kemudian buat pemeriksaan kesihatan…. Selesai dan kosnya tidak sampai pun RM4,000, dan proses juga lebih mudah," kata beliau kepada BenarNews.

Menurut beliau, kos berkenaan jauh lebih murah berbanding mengambil pekerja asing dari luar yang turut memberi contoh proses membawa masuk pekerja dari Indonesia memakan kos hampir RM17,000 bagi setiap pekerja.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai jumlah pekerja domestik rakyat asing paling ramai, dengan warga Indonesia dan Filipina yang bekerja sebagai pembantu rumah tertinggi di negara itu.

Berdasarkan maklumat seperti yang disiarkan oleh Portal Data Terbuka Sektor Awam, jumlah pekerja asing yang bekerja sebagai pembantu rumah bagi Malaysia sepanjang 2019 adalah seramai 129,168 dengan 127,169 orang pada 2018.

Daftar online

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata majikan boleh mendaftar maklumat pekerja mereka secara online melalui sistem jabatan tersebut apabila program RTK 2.0 bermula pada 27 Januari depan

Mereka kemudiannya akan diberikan tarikh temujanji dan seterusnya perlu membawa pekerja yang didaftarkan itu ke Bahagian Pekerja Asing di Putrajaya atau mana-mana pejabat Jabatan Imigresen negeri untuk proses verifikasi.

Tambah beliau, proses kelulusan hanya akan mengambil masa sehari, dan majikan kemudiannya boleh membuat pembayaran levi RM1,500 bagi semua sektor kepada Jabatan Imigresen untuk setiap pekerja mereka.

"Proses kelulusan mengambil masa sehari sahaja. Apabila diluluskan, majikan perlu membawa pekerja asing menjalani proses pemeriksaan kesihatan dengan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) bagi memastikan mereka sihat dan dapat bekerja dalam sektor masing-masing.

"Proses seterusnya ialah pembayaran fi rekalibrasi, visa, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pemprosesan dan levi. Apabila semua dokumen telah lengkap, majikan boleh mencetak PLKS," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.