Follow us

Malaysia Tahan Ratusan Pendatang Asing Selepas Tamat Tempoh Pengampunan

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-01-02
E-mel
Komen
Share
Warga asing tanpa dokumen dari pelbagai negara memenuhi ruang kaki lima bangunan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, menunggu giliran untuk mendaftar bagi mendapatkan pas khas program pengampunan Back For Good yang akan berakhir pada hari terakhir bagi tahun 2019, 23 Disember, 2019.
Warga asing tanpa dokumen dari pelbagai negara memenuhi ruang kaki lima bangunan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, menunggu giliran untuk mendaftar bagi mendapatkan pas khas program pengampunan Back For Good yang akan berakhir pada hari terakhir bagi tahun 2019, 23 Disember, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia menahan beratus-ratus pendatang tanpa izin dalam tempoh dua hari, selepas bermulanya tindakan keras yang dijanjikan kerajaan apabila tamatnya program pengampunan lima bulan yang menyaksikan lebih 190,000 pendatang asing bersetuju untuk meninggalkan negara itu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Khairul Dzaimee Daud berkata, lebih 1,800 warga asing diperiksa dalam 124 operasi yang dijalankan oleh jabatan itu di seluruh negara, dengan 474 daripadanya telah ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigeresen Malaysia.

"Sebanyak 1,871 diperiksa dan daripada jumlah itu, 474 warga asing ditangkap kerana pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Daripada jumlah itu, 220 adalah rakyat Indonesia, diikuti China dengan 89 orang, Bangladesh (78), Myanmar (42), Filipina (22) manakala bakinya daripada negara-negara lain. Empat majikan turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, jabatan itu mensasarkan tangkapan kira-kira 70,000 pendatang tanpa izin yang gagal memanfaatkan program pengampunan yang ditawarkan oleh kerajaan untuk tahun ini sahaja.

“Program Back For Good (B4G) tamat pada 31 Disember lalu dengan jumlah 190,471 pendatang tanpa izin mendaftar untuk pulang secara sukarela. Namun, kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh mereka dan segelintir majikan yang masih berdegil. Oleh itu, mereka bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika dikesan dalam operasi," tambahnya lagi.

Menurut Khairul, majikan yang dikesan menggaji pendatang asing tanpa izin boleh diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIPSOM) jika terdapat elemen paksaan atau eksploitasi.

Katanya, Jabatan Imigresen akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi memburu saki baki pendatang asing yang ingkar untuk menyerah diri.

“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pendatang tanpa izin supaya tampil menyalurkan maklumat supaya tindakan lanjut boleh diambil,” katanya lagi.

Sebuah NGO hak asasi manusia walaubagaimanapun berkata, warga asing yang gagal mendapatkan pas khas kerana lewat menghadirkan diri ke pejabat imigresen bagi program B4G, adalah bukan atas kerelaan mereka sendiri.

Tiada kerjasama majikan


Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira memberitahu BeritaBenar terdapat faktor lain yang membantut usaha warga asing untuk mendaftar dan antaranya adalah isu majikan yang tidak memberikan kerjasama.

“Ya, tidak dinafikan kerajaan sudah memberikan masa yang cukup buat mereka tetapi pekerja warga asing ini tidak semuanya dilepaskan pulang oleh majikan mereka. Ada yang hanya dibenarkan oleh majikan untuk mendaftar pada saat-saat akhir,” kata Pereira.

Selain itu, Pereira berkata kerajaan juga perlu melihat semula penggunaan istilah pekerja asing "haram" dalam melabelkan warga asing tanpa dokumen kerana istilah itu bersifat menghina.

Menurut beliau lagi, siasatan juga perlu dilakukan untuk mengenalpasti kenapa warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Dari kes-kes yang kami temui, terdapat banyak cara pekerja asing yang boleh menjadi tidak teratur, terutamanya sebab yang bukan berpunca dari kesalahan mereka atau di luar kawalan mereka," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau turut memberitahu terdapat juga pendatang asing memilih untuk tidak pulang ke negara asal walaupun mendapat peluang melalui program pengampuan B4G atas alasan hutang.

“Bayaran permulaan tinggi yang dibayar kepada ejen dan pengedar juga antara sebab yang menghalang pendatang asing daripada memilih program Back For Good kerana mereka mempunyai hutang dan tidak mempunyai pilihan lain selain untuk terus bekerja di Malaysia walaupun tanpa dokumen dan sanggup berdepan dengan risiko daripada pihak penguatkuasaan Malaysia,” tambah Pereira.

Program pengampunan oleh Malaysia yang bermula pada Ogos lepas dan berakhir pada 31 Disember merupakan program terakhir yang ditawarkan kerajaan kepada pendatang asing tanpa dokumen untuk pulang ke negara masing-masing dengan tidak dikenakan tindakan undang-undang yang berat.

Mereka yang mahu menyertai program ini cuma perlu mendapatkan surat sokongan daripada kedutaan masing-masing dan mendapatkan pas khas dari imigresen untuk keluar dari Malaysia.

Untuk layak menyertai program ini, pemohon perlu membeli tiket kapal terbang pulang ke negara mereka dan membayar denda 700 ringgit (AS$171). Nama mereka turut disenarai hitam oleh kerajaan bagi memastikan mereka tidak kembali ke Malaysia.

Sebelum itu, satu lagi program pengampunan telah bermula pada 2014 yang membawa kepada seramai 840,000 pendatang meninggalkan negara itu selepas mereka membayar kira-kira RM400 juta (AS$95.9 juta) denda.


Lihat Laman Penuh