Lebih 5 Ribu Pekerja Haram, Majikan Ditahan Penguatkuasa Malaysia

Hata Wahari
2017.07.26
Kuala Lumpur
170726-malaysia-raids-620.jpg Pekerja asing duduk di tempat terbuka berikutan serbuan oleh pihak berkuasa Imigresen Malaysia di tapak pembinaan di Port Dickson, Negeri Sembilan, 11 Julai 2017.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan lebih lima ribu pekerja asing tanpa dokumen sejak Kuala Lumpur melaksanakan tindakan gempur imigresen bermula awal bulan ini, menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Rabu.

Mustafar Ali berkata sehingga Rabu, jabatan itu telah menahan seramai 5,173  orang dengan 5,065 daripada mereka merupakan pekerja asing tanpa izin serta 108 majikan selepas jabatan berkenaan  melaksanakan 1,272 operasi di seluruh negara sejak ianya dilancarkan di seluruh negara.

“Seramai 17,955 orang telah berjaya diperiksa dan hasilnya seramai 5,065 pekerja asing tanpa izin dari pelbagai negara telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Selain itu, 108 majikan turut ditahan dan 367 orang diberi notis untuk hadir memberi keterangan sepanjang tempoh itu,” kata Ketua Imigresen itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambahnya, warganegara Bangladesh merupakan tahanan yang paling ramai, iaitu seramai 1,520 orang, Indonesia [1,476],  Myanmar [429], Vietnam [285], Thailand [206], Filipina [261] dan selebihnya dari negara-negara lain.

Malaysia telah menamatkan kempen permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad pada hujung bulan lalu.

E-Kad telah diberikan secara percuma, yang bertindak sebagai pengesahan sementara untuk  menggantikan dokumen perjalanan sah daripada pejabat kedutaan warga asing berkenaan.

Selepas pendaftaran diluluskan, majikan dan warga asing tersebut perlu memohon untuk mendapatkan pasport mereka daripada kedutaan masing-masing.

Tarikh akhir bagi pendaftaran E-Kad itu ialah 30 Jun lalu dan jabatan itu enggan melanjutkan tempoh pendaftaran. Kad tersebut sah sehingga 15 Februari tahun depan dan majikan boleh melengkapkan proses pendaftaran pekerja tanpa izin mereka.

Mustafar juga menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan tanpa henti dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan dan pekerja asing tanpa izin yang ditangkap dalam operasi ini,” katanya sambil mengalu-alukan rakyat Malaysia memberi maklumat mengenai pekerja asing dan majikan tersebut.

Berpuluh ribu rakyat Bangladesh, Myanmar, Indonesia serta rakyat dari negara-negara Asia yang lain telah berhijrah ke Malaysia dalam mengambil peluang pekerjaan berisiko tinggi dan berbahaya demi membina kehidupan lebih baik, kerana pekerjaan sektor itu tidak mendapat sambutan daripada penduduk tempatan.

Lebih 2 juta pekerja asing bekerja secara sah di Malaysia, namun para pegawai menganggarkan terdapat lebih 1 juta pekerja tanpa izin yang membanjiri negara itu.

Sejak beberapa tahun lepas, Malaysia telah dicemari dengan dakwaan bahawa pekerja asing tidak dilayani dengan sewajarnya termasuk tidak dibayar gaji setimpal selain pergerakan mereka disekat majikan yang turut menyimpan pasport mereka.

Gaji minima di Malaysia berbeza mengikut negeri-negeri dengan kadar minima RM1,000 [AS$233] di Semenanjung Malaysia dan RM920 [AS$214] di Sabah dan Sarawak. Bayaran gaji minima itu berkuatkuasa pada 1 Julai tahun lepas untuk pekerja tempatan dan pekerja asing di negara ini.

Pertemuan dengan kedutaan

Selain itu, jabatan itu juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa kedutaan seperti Bangladesh, India, Indonesia dan Nepal yang terletak di sekitar Kuala Lumpur untuk memberi penerangan mengenai usaha yang sedang dibuat oleh pihak berkuasa negara itu.

Beliau memberitahu, program Rehiring adalah inisiatif kerajaan Malaysia kepada majikan supaya dapat menggajikan pekerja asing yang ditahan dari negara-negara sumber yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan.

Tambah beliau, jabatan itu juga telah menubuhkan pasukan khas bagi program rehiring di Semenanjung Malaysia bermula 17 Julai lepas.

Mustafar juga menggesa majikan yang gagal mendaftar pekerjanya untuk menghantar pulang pekerja mereka melalui Program Serah Diri secara Sukarela bagi mengelakkan risiko dikenakan tindakan undang-undang termasuk pendakwaan.

“Melalui program ini PATI dapat pulang ke negara asal melalui cara yang teratur dan mengikut undang-undang.

“Bagi tempoh Januari 2017 sehingga Selasa sebanyak 125, 061 PATI telah pulang ke negara asal melalui program ini,” jelasnya.

Malaysia-Australia komited

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia dan Australia termasuk Perlindungan Sempadan Australia akan berkerjasama dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuk isu pendatang tanpa izin melibatkan kedua-dua negara.

“Malaysia bercadang untuk menghantar pegawai ke Australia bagi mendapatkan latihan seperti mana modul Australia mengawal sempadan negara itu, terutama dalam mengekang kegiatan pemerdagangan manusia dan pemeriksaan dokumen,” kata Mustafar selepas menerima kunjungan hormat wakil Pesuruhjaya Tinggi Australia, Chris Waters dan delegasinya pada Selasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.