Malaysia-India tingkat semula hubungan selepas lima tahun fasa berliku

New Delhi sebelum ini telah menyuarakan bantahan terhadap kenyataan bekas PM Mahathir Mohamad yang mendakwa India menceroboh wilayah Jammu dan Kashmir.
Iskandar Zulkarnain dan Iman Muttaqin Yusof
2024.08.20
Kuala Lumpur
Malaysia-India tingkat semula hubungan selepas lima tahun fasa berliku Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi semasa bercakap pada sidang media di Hyderabad House, New Dehli, 20 Ogos, 2024.
[Ihsan Anwar Ibrahim melalui Facebook]

Kuala Lumpur dan New Delhi mengorak langkah untuk membuka lembaran baharu dengan persetujuan meningkatkan kerjasama antaranya dalam bidang pelaburan digital, semikonduktor dan pertahanan, semasa lawatan rasmi tiga hari ke India oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Anwar menzahirkan komitmen untuk merangsang semula hubungan dua hala sambil menyatakan kedua-dua negara bakal muncul sebagai “dua negara bersaudara yang kuat”, selepas hubungan dua negara rantau Asia itu melalui fasa berliku susulan ucapan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September 2019 yang mendakwa India telah “menceroboh dan menduduki” wilayah autonomi Jammu dan Kashmir yang mempunyai majoriti umat Islam.

Dengan merujuk Perdana Menteri India Narendra Modi sebagai abangnya, Anwar berkata hubungan dua pemimpin itu telah lama terjalin dan lawatan julung kali beliau itu adalah atas tujuan hubungan dua negara dan juga peribadi.

“Saya memberi jaminan bahawa sentimen ini adalah saling bertimbal balik dan kita akan merangsang semula hubungan kerjasama dalam semua bidang yang telah dibincangkan, dalam kedua-dua mesyuarat dua hala serta perbincangan peribadi.

“Kami bercakap sebagai saudara dalam semua isu, sama ada isu sensitif atau sebaliknya kerana ini adalah pengertian sebenar kepada persahabatan.

“Adalah malang, dalam beberapa tahun kebelakangan, tidak banyak momentum. India adalah negara yang penting dan hebat,” ujar Anwar dalam sidang media bersama Modi di Hyderabad House pada Isnin.

Lawatan Anwar, atas jemputan Modi adalah pertama kali oleh pemimpin tertinggi Malaysia sejak lawatan bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 2018 dilihat sebagai usaha penting dalam memulihkan hubungan dua hala yang dingin susulan kritikan keras Mahathir terhadap cara India menangani konflik dengan Jammu dan Kashmir sebelum ini.

New Delhi telah menyuarakan bantahan terhadap kenyataan tersebut, namun Mahathir enggan berganjak daripada pendiriannya, yang telah mencetuskan boikot terpilih ke atas minyak sawit oleh para pengimport India.

Bina semula hubungan

Pendirian Malaysia terhadap India telah berubah selepas Anwar mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada 2022 dengan secara terbuka menyatakan hasrat untuk membina hubungan baik dengan negara itu.

India yang mengatasi China sebagai negara populasi terbesar dunia dengan 1.44 billion penduduk tahun lalu merupakan pengimport terbesar minyak makanan dunia sekali gus menjadi pasaran penting kepada Malaysia yang juga antara pengeluar minyak sawit utama global.

India pula adalah antara pembekal utama beras putih ke Malaysia. Pada Mac lalu, Malaysia telah memohon tambahan bekalan 500,000 tan beras putih akibat kemarau berpanjangan.

Permintaan tersebut adalah tambahan kepada 170,000 tan metrik yang telah sedia diperuntukkan kepada Malaysia untuk tahun ini.

Dalam kenyataan menjelang lawatan Anwar ke negara tersebut, Wisma Putra berkata jumlah dagangan antara Malaysia dan India pada 2023 mencecah RM76.62 bilion [AS$16.53 bilion] dengan lebihan dagangan sebanyak RM15.89 bilion [AS$3.43 bilion], dengan eksport minyak sawit mencatatkan peningkatan.

“Dengan sokongan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, wujud momentum dan kekuatan baharu dalam kerjasama kita.

“Pada hari ini, kami telah memutuskan agar kerjasama ini ditingkatkan kepada ‘Kerjasama Strategik Komprehensif'. Kami percaya masih banyak potensi kerjasama ekonomi. Perdagangan dua hala dan pelaburan harus diperluskan,” ujar Modi dalam sidang media bersama Anwar.

Menurut Modi, Malaysia telah melabur AS$5 bilion di India tahun lalu dan kedua-dua pemimpin telah mengenal pasti bidang semikonduktor, teknologi kewangan, industri pertahanan dan kecerdasan buatan sebagai antara sektor yang berpotensi dalam meningkatkan kerjasama.

“Kami telah bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang keselamatan siber dan meneruskan kerjasama dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan dan teknologi maju.

"Penubuhan universiti India-Malaysia akan terus memperkukuhkan hubungan pendidikan dan mewujudkan peluang-peluang baharu kepada para pelajar.

“Malaysia mempunyai kira-kira tiga juta rakyat yang memiliki susur galur dari India yang memainkan peranan penting dalam hubungan kita. Kehadiran mereka mengukuhkan lagi hubungan kita, dan kami komited untuk memudah cara proses visa,” ujarnya lagi.

Pada pertemuan di Hyberabad House itu, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan masjlis pemeteraian lapan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan lima kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari Malaysia dengan kerajaan India.

MoU itu melibatkan lima kementerian Malaysia iaitu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Digital; Kementerian Luar dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Tingkat kerjasama

Sementara itu, Shahriman Lockman, Pengarah Projek Khas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa berpandangan langkah “kerjasama strategik komprehensif” itu adalah isyarat umum bahawa kedua-dua negara komited untuk membawa mengukuhkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi,

“Sekarang menjadi tanggungjawab para pegawai di kedua-dua belah pihak untuk menjadikan ia satu kenyataan. Sebelum ini wujud suasana dingin antara kedua-dua negara, khususnya dengan peningkatan sentimen nasionalisme Hindu di India dan kenyataan Mahathir mengenai Kashmir yang tidak digemari oleh New Delhi,” ujarnya kepada BenarNews.

Sementara itu, Collins Chong Yew Keat, penganalisis hubungan antarabangsa di Universiti Malaya berpendapat bahawa kunjungan Anwar ke India mampu memperkukuhkan hubungan Kuala Lumpur-New Delhi ke arah mewujudkan salah satu hubungan dua hala strategik dan kritikal yang terpenting di rantau berkenaan.

“Hubungan kerjasama dalam menangani ancaman bukan tradisional dan rentas sempadan akan mewujudkan kesan positif kepada kedua-dua buah negara.

“Bidang pertahanan dan keselamatan bakal menjadi bidang kerjasama strategik yang perlu dimanfaatkan oleh Malaysia, berikutan kebangkitan India sebagai kuasa ekonomi dan pertahanan serta keselamatan khususnya melibatkan bidang pertahanan yang dipacu oleh teknologi,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.