Follow us

Orang India Tanpa Kerakyatan Perolehi Kad Pengenalan, Sijil Beranak

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-11-27
E-mel
Komen
Share
Seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara sedang membantu pasangan masyarakat India-Malaysia yang tidak mempunyai dokumen kerakyatan untuk membuat permohonan mendapatkan Kad Pengenalan dan Sijil Beranak di Putrajaya, Malaysia, 27 Nov 2018.
Seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara sedang membantu pasangan masyarakat India-Malaysia yang tidak mempunyai dokumen kerakyatan untuk membuat permohonan mendapatkan Kad Pengenalan dan Sijil Beranak di Putrajaya, Malaysia, 27 Nov 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Kira-kira 80 peratus daripada hampir 1,000 rakyat Malaysia berketurunan India tanpa dokumen kerakyataan berjaya memperolehi Kad Pengenalan dan Sijil Beranak mereka daripada Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya selepas menghantar pemohonan pada Selasa.

V. Suresh penganjur ‘Permohonan mendapatkan Kad Pengenalan dan Sijil Beranak Kaum India’ memberitahu BeritaBenar bahawa hampir 1,000 orang India tanpa dokumen kerakyatan berasal dari Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor. Mereka hadir secara sukarela dan beratur di hadapan pejabat JPN bagi mendapatkan dokumen kerakyatan yang sah.

“Mereka datang hari ini secara sukarela dan tidak dibayar ataupun mendapat mana-mana dana. Kebanyakan yang datang mahukan kad pengenalan yang sebelum ini sudah bertahun-tahun dinafikan oleh kerajaan terdahulu. Sesetengah daripada mereka datang membawa anak yang tidak mempunyai sijil kelahiran,” kata V. Suresh.

Beliau berkata satu jaminan daripada JPN dan Kementerian Dalam Negeri telah diperolehinya daripada kedua-dua agensi kerajaan untuk hadir pada Selasa, dalam menyelesaikan masalah yang melanda kaum India di Malaysia itu.

“Kami amat gembira kerana pegawai-pegawai yang bertugas termasuk pegawai berpangkat tinggi bersetuju untuk membantu mereka yang terjejas. Perkara ini boleh diselesaikan dalam satu hari,” kata Suresh.

Beliau berkata kira-kira 80 peratus daripada yang hadir berjaya memperolehi kad pengenalan dan sijil beranak  kerana mengemukakan semua dokumen yang dikehendaki manakala selebihnya gagal kerana dokumen tidak lengkap.

Pengarah JPN Mohammad Razin Abdullah mengesahkan sehingga pukul 4 petang kebanyakan kes berkaitan kaum India yang hadir berjaya diselesaikan.

“Kita turut membuka kaunter tambahan untuk membantu mereka yang hadir pada hari ini,” katanya sambil menambah bahawa masalah tiada kerakyatan tidak hanya membabitkan kaum India tetapi juga golongan minoriti di Sabah dan Sarawak. “Orang Asli di Semenanjung termasuk yang di Sabah dan Sarawak turut mengalami masalah yang sama,” kata Razin.

Suresh berkata, program hari ini adalah yang ketiga dianjurkan beliau bersama rakan-rakannya.

“Ini kali ketiga kami anjurkan… Kali pertama dan kedua dibuat beberapa bulan lepas. Tapi kali ini melibatkan jumlah yang terbesar,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, mereka yang hadir pada Selasa datang bersama dokumen yang sudah siap diisi yang diambil dari JPN pada sesi sebelum ini tetapi gagal kerana mendakwa pentadbiran kerajaan terdahulu, tidak menghiraukan nasib masyarakat India di negara itu.

“Ini adalah masalah yang tiada penghujung bagi kerajaan Barisan Nasional. Mereka sudah lama tidak membantu kaum India tanpa kerakyatan di Malaysia untuk memiliki kad pengenalan dan sijil beranak,” dakwa beliau.

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi berkata masalah kaum India tanpa kerakyatan di negara ini berpunca dari sikap mereka yang terlalu bergantung kepada parti politik.

Jelas beliau masyarakat India tidak mempunyai kekuatan politik untuk mengadakan satu gagasan mengetengahkan isu nasib kaum India.

“Orang India sangat bergantung kepada parti MIC. Parti itu dulu sangat berpengaruh tetapi gagal membantu mereka dan program ‘outreach’ mereka hanya terhad kepada penyokong parti. Mereka tiada kekuatan politik untuk membantu kaum India sebab itulah masalah yang sudah berdekad lamanya telah menjadi semakin rumit,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Tambah Awang Azman, golongan India yang tinggal di kawasan pedalaman tidak mempunyai akses untuk mendapatkan kad pengenalan di pejabat JPN yang hanya terdapat di bandar-bandar besar.

“Mereka ini miskin dan perlu ke pejabat JPN yang terletak di bandar dan itu juga merupakan satu masalah buat mereka. Mereka perlukan bantuan untuk melakukan semua itu,” katanya.

Jelas beliau, perkara ini boleh diselesaikan jika semua parti di dalam Pakatan Harapan (PH) dapat bekerjasama untuk memastikan kaum India tidak dipinggirkan.

Kaum India merupakan salah satu golongan minoriti di Malaysia. Kaum itu membentuk 10 peratus daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 32 juta.

Pada Ogos lepas, pemastautin tetap di Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas, termasuk 3,407 orang rakyat India yang tinggal di negara itu, akan diberi warganegara sekiranya mereka memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan baru, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata, langkah kerajaan itu adalah selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) kepada masyarakat India sebelum ia mengambil alih kuasa berikutan kemenangan besarnya dalam pilihan raya umum 9 Mei.

"Ini untuk menyelesaikan masalah tanpa negara di kalangan masyarakat India negara ini," kata pemimpin itu kepada sidang media, sambil menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas pertemuannya dengan wakil-wakil masyarakat,  anggota Parlimen dan Senator yang berbangsa India.

"Mereka yang berumur 60 tahun (dan ke atas) boleh mendapatkan kad pengenalan biru," kata Mahathir, yang merujuk kepada kad pengenalan bagi warga negara Malaysia.

Lihat Laman Penuh